Susunan SITI AINIZA KAMSARI
AKHIRNYA tiada satu pun cadangan-cadangan dari Kaab yang merupakan pemimpin kaum Yahudi Bani Quraizah yang sedang dikepung oleh tentera Islam itu diterima oleh anak-anak buahnya.
Sebagai pemimpin, Kaab sangat kesal sedangkan keadaan menjadi semakin runcing tetapi jalan keluar masih tidak ditemui.
Lalu Kaab pun menyerahkan kepada anak-anak buahnya menentukan nasib mereka sendiri.
Akhirnya, mereka beroleh satu cadangan yang dirasakan akan dapat mengeluarkan mereka dari kepungan tentera Islam.
Mereka setuju menghantar seorang wakil atau utusan dari Bani Quraizah kepada Nabi Muhammad. Tujuannya, bukan melakukan sebarang perbincangan damai secara terus dengan baginda, sebaliknya meminta kebenaran menghantar wakil dari pihak Islam untuk berunding dengan mereka.
Mereka meminta supaya Abu Lubabah atau nama sebenarnya Mubsyir bin Abdul Munzir daripada suku kaum Aus yang antara terawal memeluk Islam dihantar kepada Bani Quraizah untuk menjadi orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi.
Mungkin kerana Abu Lubabah sebelum ini terkenal sebagai individu yang banyak menjayakan perjanjian dan tolong menolong dengan kaum Yahudi Bani Quraizah, maka beliau lebih dipercayai oleh kaum itu.
Beliau seorang yang bijak. Buah fikirannya sentiasa bernas. Sebab itu digelar Abu Lubabah, bererti bapa yang berfikiran baik yang juga seorang yang rapat dengan Nabi SAW. Maka tentulah kata-katanya tidak akan ditolak oleh baginda.
Walaupun ada kalangan para sahabat yang lain membantah dan meminta baginda menolak sahaja permintaan wakil Bani Quraizah itu, namun baginda masih memberi peluang.
Lalu dimaklumkan kepada Abu Lubabah supaya pergi menemui kaum Yahudi itu untuk berunding pada keesokan paginya.
Keesokan harinya Abu Lubabah seorang diri memasuki perkampungan Bani Quraizah. Beliau disambut dengan penuh penghormatan dan mendapat layanan yang cukup baik.
Dikatakan beliau terus dibawa di mana semua kaum wanita dan kanak-kanak Bani Quraizah dikumpulkan.
Apabila melihat kedatangan Abu Lubabah itu, seluruh kaum wanita itu menghampirinya dan terus meratap dan menangis sambil merayu-rayu supaya meminta Nabi Muhammad membebaskan mereka daripada kepungan itu.
Ini kerana mereka telah kehabisan bekalan makanan yang menyebabkan anak-anak mula menangis kelaparan dan jatuh sakit.
Agak tersentuh hati Abu Lubabah menyaksikan ratap tangis kaum wanita dan penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak tersebut.
Tetapi mengenangkan perbuatan bapa kanak-kanak tersebut yang mengkhianati perjanjian dengan Nabi Muhammad yang menyebelahi pihak musuh dalam perang Khandaq, Abu Lubabah kembali marah dan kesal kepada kaum tersebut.
"Kebodohan kamu yang menyebabkan anak-anak kamu menjadi mangsa dan menderita, jika kamu tidak berpaling tadah tentulah tidak jadi begini," kata Abu Lubabah.
Sungguh kesal
Mengakui akan kesilapan tersebut lalu Kaab pun menyerahkan kepada kebijaksanaan Abu Lubabah bagi menentukan nasib mereka.
"Mungkin lebih baik kami menyerah diri sahaja kepada Muhammad dan menerima sahaja apa sahaja hukuman yang bakal ditentukan oleh Muhammad kepada kami," tanya Kaab.
Abu Lubabah pun menjawab: "Ya".
Tetapi telah berlaku satu kesilapan yang sangat besar di sini, walaupun mulut Abu Lubabah berkata "ya" tetapi tanpa beliau sedari, yang disaksikan oleh seluruh hadirin beliau meletakkan jarinya ke leher yang digerakkan kiri ke kanan.
Yang lazimnya bermaksud akan disembelih!
Ini menyebabkan kaum Yahudi itu sangat terkejut dan tidak menyangka bahawa Abu Lubabah akan bertindak sedemikian rupanya.
Yang diharapkan Abu Lubabah akan menyelamatkan mereka, tetapi rupa-rupanya Abu Lubabah yakin bahawa mereka sebenarnya akan mati dibunuh juga akhirnya.
Ini menyebabkan kaum Yahudi terus menghalau beliau. Abu Lubabah sendiri sebenarnya berasa sangat malu dan menyesal kerana seolah-olah beliau telah mendahului Rasulullah dalam menentukan hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan oleh kaum Yahudi itu.
Sedangkan beliau sepatutnya berbincang dan sama-sama mencari jalan keluar dan bukannya menjatuhkan hukuman.
Lalu sejurus tiba di rumahnya, beliau meminta rantai besi daripada isterinya lalu dibawa ke Masjid Nabawi dan dengan bantuan isterinya itu Abu Lubabah mengikat dirinya sendiri di salah satu tiang besar yang ada di masjid itu.
Beliau sungguh kesal dan menangis serta sanggup agar dirinya dirantai sebagai menyesali perbuatannya itu.
Abu Lubabah mengarahkan isterinya agar beliau dilepaskan hanya untuk tujuan bersolat, makan minum dan melepaskan hajat.
Selain itu beliau rela dirantai dan diikat pada tiang tersebut atas rasa bersalah beliau yang menggagalkan rundingan dengan Yahudi Bani Quraizah itu.
Apabila ditanya oleh orang ramai dan mereka cuba melepaskan beliau dari rantai itu, Abu Lubabah enggan dilepaskan sehinggalah Allah mengampuni dosa dan kesalahannya itu.
"Saya tidak akan melepaskan diri daripada rantai ini apatah lagi pergi dari tempat ini melainkan Allah menerima taubat saya.
"Saya berjanji kepada Allah bahawa saya tidak akan memijak lagi bumi Bani Quraizah dan tidak akan melihat negeri yang menjadikan saya khianat kepada Allah dan rasul-Nya itu buat selama-lamanya," kata beliau.
Taubat
Beliau rela diikat dan dirantai pada tiang masjid itu dan tidak henti-henti menangis, bertaubat dan memohon kepada Allah agar dosanya diampunkan.
Dikatakan selepas enam hari dan enam malam Abu Lubabah menghukum dirinya sendiri seperti itu, akhirnya Allah pun menurunkan wahyu dan ayat kepada baginda, Nabi Muhammad;
Dan ada golongan yang mengakui dosa-dosa mereka. Mereka mencampur adukkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (at-Taubah: 102)
Sebelum itu dikatakan ayat yang turun berhubung dengan apa yang dilakukan oleh Abu Lubabah itu, Allah telah berfirman dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan rasul-Nya (Muhammad) dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diberikan kepercayaan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahui. (al-Anfaal: 27)
Rasulullah sendiri tidak dapat melepaskan Abu Lubabah daripada rantai yang kuat mengikatnya di tiang itu sebagai menghormati permintaan Abu Lubabah yang mahu dilepaskan sehinggalah Allah sendiri mengampuninya.
Sedangkan Rasulullah sedia memaafkannya kalau Abu Lubabah menemui baginda untuk memohon maaf.
Wahyu yang menerima taubat Abu Lubabah itu diterima oleh baginda pada waktu tengah malam.
Baginda lalu memberitahu isteri Abu Lubabah, Ummu Salamah supaya menyampaikan berita gembira itu kepada suaminya yang sedang dirantai di masjid.
Sudah pastinya Abu Lubabah begitu gembira kerana Allah akhirnya mengampuni beliau.
Begitupun beliau masih tidak mahu dilepaskan dari rantai yang mengikatnya sehinggalah Rasulullah sendiri yang melepaskan ikatan rantai itu.
Kebetulan pula baginda masuk ke masjid itu kerana hendak mengerjakan solat Subuh, maka pada subuh hening itu bersama linangan air mata kegembiraan Abu Lubabah, baginda pun membebaskan sahabat itu dan baginda sendiri tidak pernah menyalahkan Abu Lubabah atas apa yang telah beliau lakukan!
No comments:
Post a Comment