Like Blog Ini...

Monday, January 16, 2012

Bertabarruk dengan peninggalan nabi, orang soleh

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

JIKA sebelum ini kita membicarakan tentang kedudukan bertabarruk dengan kesan peninggalan nabi, kali ini kita kaji pula tentang bertabarruk dengan kesan-kesan para nabi terdahulu dan orang soleh selain mereka.

Kita akan mendapati bahawa perbuatan mengambil keberkatan dengan kesan-kesan mereka itu juga dibolehkan dan disokong oleh nas-nas dan pendapat para pakar.

Diriwayatkan daripada Nafi': "Abdullah ibn Umar mengkhabarkan kepada kami bahawa sejumlah sahabat singgah bersama Rasulullah SAW di Hijir di negeri Thamud. Mereka mengambil air daripada perigi-perigi yang terdapat di sana dan mengadun roti dengan menggunakan air itu."

Rasulullah lalu memerintahkan mereka supaya menumpahkan air yang mereka ambil (dari perigi-perigi itu) dan memberikan roti adunan itu kepada unta. Kemudian nabi memerintahkan mereka mengambil air dari perigi yang sering didatangi unta Nabi Hud. (riwayat Imam Muslim dalam kitab Al-Zuhd).

Imam Nawawi berkata dalam Syarh Muslim: "Dalam hadis ini terkandung faedah bertabarruk dengan bekas peninggalan orang soleh. (Al-Nawawi, Syarh Muslim, 18: 112)."

Bertabarruk dengan Tabut

Allah SWT telah menyebut dalam al-Quran tentang kelebihan Tabut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman". (al-Baqarah: 248)

Ringkasan kisah ini, bahawa peti Tabut tersebut ada pada Bani Israel. Mereka memohon pertolongan dengan keberkatan Tabut dan bertawassul kepada Allah melalui perantaraan barang-barang peninggalan yang terdapat dalam Tabut tersebut.

Inilah yang dinamakan bertabarruk dengan benda yang kita kehendaki dan maksudkan. Allah SWT telah menjelaskan tentang kandungan Tabut itu sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (berisi) sebahagian daripada apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun.

Baki peninggalan itu adalah barang-barang yang ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan Harun iaitu tongkat Nabi Musa sebahagian pakaian baginda, pakaian Nabi Harun beserta kedua belah capalnya, Alwaah (batu bertulis) daripada kitab Taurat, dan mangkuk basuh tangan.

Perkara tersebut disebut oleh para ahli tafsir dan pakar sejarah seperti Ibnu Kathir, al-Qurtubi, al-Suyuti, dan al-Tobari. Maka rujuklah kepada (kitab-kitab) mereka dan ternyata ia menunjukkan kepada banyak makna.

Antaranya, bertawassul dengan peninggalan orang soleh. Di antaranya lagi, suruhan memelihara harta peninggalan seperti itu, dan di antaranya juga, menunjukkan perbuatan bertabarruk dengan barang-barang tersebut.

Bertabarruk dengan Masjid al-'Asysyaar

Diriwayatkan daripada Soleh ibn Dirham, berkata: "Pada suatu hari, kami bertolak untuk menunaikan ibadah haji. Tiba-tiba, seseorang berkata kepada kami: Berhampiran kalian ada sebuah kampung yang dipanggil al-'Abilah?"

Kami menjawab: "Ya". Dia berkata: "Siapa di antara kalian yang sanggup menjamin bagiku supaya aku dapat melakukan solat di Masjid al-'Asysyaar sebanyak dua atau empat rakaat?" Kemudian dia berkata: "(Solat) ini (pahalanya) untuk Abu Hurairah r.a. (Abu Hurairah r.a pernah berkata:) "Aku pernah mendengar kekasihku, Abu al-Qasim (Nabi Muhammad) SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT akan membangkitkan dari Masjid al-'Asysyaar pada hari kiamat syuhada; yang tidak bangkit bersama syuhada Badar itu selain mereka."

Riwayat Abu Daud, dan beliau berkata: "Masjid ini terletak berhampiran sungai. (al-Tibrizi, Mishkat Masabih, 3: 5434)."

Berkata al-Allamah al-Muhaddith al-Kabir Sheikh Khalil Ahmad al-Saharanfuri, di dalam kitabnya, Bazl al-Majhud Syarh Sunan Abi Daud: "Di dalam hadis tersebut menunjukkan bahawa ketaatan yang dilakukan oleh badan seseorang, pahalanya boleh disampaikan kepada orang lain, dan bekas peninggalan orang-orang soleh dan muqarrabin boleh diziarah dan dijadikan alat untuk mengambil berkat. (Al-Saharanfuri, Bazl Al-Majhud, 17: 225)."

Al-Allamah al-Muhaddith Sheikh Abu al-Toyyib, penulis kitab 'Aun al-Ma'bud, berkata: "Masjid al-'Asysyaar adalah masjid terkenal yang sering dijadikan tempat solat untuk mengambil berkat." (Al-'Azim al-'Abaadi, 'Aun al-Ma'bud, 11: 422)

Daripada perbahasan di atas kita telah melihat pelbagai pendapat dan hujah yang mendokong perbuatan bertabarruk dengan kesan peninggalan orang soleh yang datang sebelum kita.

Cuma, kita perlu berhati-hati dengan mempastikan bahawa mereka itu benar-benar diakui kesolehan, tidak melanggar batas syarak dalam bertabarruk dan tidak meyakini bahawa bekas-bekas tersebut mampu memberi kesan dengan sendiri melainkan dengan izin dan kuasa Allah SWT jua. Wallahu a'lam.

No comments: