Like Blog Ini...

Saturday, January 21, 2012

Menghasilkan ubat peribadi

Oleh THOMAS CHONG
(yang mengikuti lawatan media ke kilang Merck di Amerika Syarikat, dikenali sebagai MSD di luar Amerika Utara)

SEJAK dahulu, saintis menyedari wujud perbezaan mutlak antara manusia dengan haiwan. Mereka menyedari ubat yang berkesan ke atas tikus putih atau seekor kera tidak semestinya memberi kesan yang serupa kepada manusia.

Perbezaan kesan ubat terhadap haiwan dan manusia mengikut perspektif sains adalah ekoran kelainan pada genetik yang mewujudkan sempadan biologi antara seekor kera dengan manusia, sekali gus membezakan kesan rawatan itu.

Setapak demi setapak, saintis cuba merungkai misteri yang menyelubungi hubungan antara genetik dengan cara dan keberkesanan rawatan. Kajian mendapati faktor genetik dapat menentukan peluang penyembuhan seseorang pesakit terhadap penyakit tertentu.

Daripada penemuan-penemuan ini, lahir konsep ubat peribadi atau personalized medicine iaitu model yang menentukan cara perubatan itu memenuhi keperluan dan keperibadian pesakit bagi mengoptimumkan peluang penyembuhan. Model ini sering melibatkan penggunaan pelbagai maklumat genetik pesakit.

genetik

Secara ringkasnya, ubat peribadi adalah pemberian ubat yang spesifik dan tepat ke atas jenis penyakit dan populasi pesakit yang betul pada masa dan dos sesuai, selepas mengambil kira pelbagai maklumat termasuk faktor genetik.

Ini berbeza dengan keadaan sedia ada apabila doktor biasanya akan mempreskripsi ubat atau kumpulan ubat tertentu sebaik sahaja mengenal pasti penyakit yang dihadapi pesakit.

''Pada masa depan, apabila pesakit itu dikesan menghidap penyakit tertentu, doktor akan mengkaji maklumat genetiknya barulah kombinasi ubat dan cara rawatan yang lebih spesifik diberikan,'' kata Ketua Pengimbasan Genom syarikat farmaseutikal Merck, Dr. Jing Li.

Beliau berkata, prosedur itu signifikan kerana saintis menyedari bahawa pesakit yang menghidap penyakit dan mengambil rawatan yang sama tidak semestinya menerima hasil yang serupa.

''Hanya sesetengah daripada mereka mengalami tindak balas yang baik, setengah pula tidak, malahan ada pula yang menerima kesan toksik. Hasil rawatan itu berbeza walaupun penyakit dan rawatan adalah sama.

''Ini menunjukkan kepentingan untuk menghasilkan ubat peribadi yang lebih spesifik antara pesakit bagi mengoptimumkan peluang seseorang itu untuk sembuh,'' katanya.

Konsep ubat peribadi ini sedikit sebanyak diamalkan dalam dunia perubatan kini. Umpamanya sejarah penyakit dalam keluarga pesakit diambil kira sebelum seseorang pakar perubatan menentukan kaedah rawatan atau ubat yang sesuai.

Walaupun teknologi farmaseutikal sedia ada masih belum sampai ke tahap penghasilan ubat yang betul-betul peribadi iaitu yang direka khusus untuk seorang pesakit sahaja, namun trend sedia ada menuju ke arah pemberian kombinasi ubat atau cara rawatan yang lebih spesifik untuk sub kategori pesakit yang berbeza.

''Dalam bidang onkologi atau rawatan kanser umpamanya, kita cuba untuk menggunakan ubat kanser yang lebih spesifik terhadap sesejenis tumor itu.

''Bukan semua tumor kanser payu dara adalah sama dan perbezaan yang kecil itu akan menentukan kejayaan rawatan. Jadi penting memberi ubat atau kombinasi ubat yang lebih spesifik untuk kanser payu dara berlainan.

''Setiap tumor berbeza. Kita perlu memahami mutasi yang berlaku untuk menemui rawatan yang betul-betul berkesan bagi seseorang pesakit,'' kata Li.

Teknologi robotik

Li berkata, teknologi robotik berjaya mempercepat uji kaji makmal sekurang-kurangnya 10 kali ganda sekali gus membolehkan lebih banyak ujian dilakukan dan data yang diperolehi itu kemudiannya akan diadunkan dengan data genetik.

''Di Merck, kita melakukan kajian tindak balas ubat terhadap titisan sel kanser berbeza yang mewakili 70 jenis tumor melibatkan berbagai-bagai tindak balas ubat.

''Pada masa sama, kita perlu melihat soal genetik. Apabila dua data digabungkan maka ia akan menghasilkan maklumat tentang rawatan manakah yang lebih sesuai untuk jenis tumor berbeza,'' katanya.

Pengeluaran ubat bagaimanapun bukan semudah yang disangkakan kerana ia perlu melalui ujian klinikal, haiwan dan seterusnya dicuba oleh pesakit yang rela menguji ubat baru itu. Ubat itu seterusnya juga perlu diluluskan oleh pihak berkuasa farmasi yang akan menguji sejauh mana keselamatan dan keberkesanannya.

Tidak menghairankan apabila sejenis ubat itu mengambil masa lebih 10 tahun untuk dihasilkan sebelum dibenarkan memasuki pasaran.

Malangnya, saintis Merck, Tom Rush memberitahu, hanya kira-kira 10 peratus daripada ubat yang diuji pada peringkat awal oleh syarikat farmaseutikal boleh dipasarkan manakala 90 peratus lagi terpaksa digugurkan kerana gagal melalui proses uji kaji dan undang-undang yang ketat.

''Penting untuk syarikat farmaseutikal menentukan peluang kejayaan ubat itu seawal yang mungkin untuk memastikan ubat yang mempunyai peluang kejayaan rendah digugurkan secepat mungkin.

''Keadaan ini dapat membantu menjimatkan kos dan modal yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk membangunkan ubat baru yang lain,'' katanya.

Penghasilan ubat memerlukan kepakaran dalam pelbagai cabang sains tidak kira kimia, biologi atau pun robotik.

''Di Merck umpamanya, kita mempunyai tiga juta sebatian yang disimpan dalam tempat yang seakan-akan sebuah arkib sebatian. Tiga juta sebatian ini boleh diuji 24 jam setiap hari dengan titisan sel berlainan bagi menentukan formula rawatan untuk sejenis penyakit.

''Uji kaji untuk kapasiti seperti ini tidak boleh dilakukan oleh tangan manusia, ia mesti dijalankan melalui robot-robot yang ada. Teknologi robotik di Merck diubah suai daripada robot-robot yang sebelum ini digunakan untuk pengeluaran automobil.

''Penggunaan robot membolehkan lebih banyak uji kaji dilakukan sekali gus memudahkan penemuan ubat baru,'' katanya.

No comments: