Like Blog Ini...

Saturday, January 21, 2012

Jangan takut derma darah

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my

RAMAI yang tidak mahu menderma darah. Alasannya selera makan bertambah, berat badan naik tapi ada juga yang fobia melihat saiz jarum yang digunakan sebesar straw minuman!

Benarkah semua itu? Atau segalanya hanya sekadar alasan?

Menurut Pakar Runding Haematologi dan Heamato Onkologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Datuk Dr. Vijaya Sangkar Jaganthan, kebimbangan kononnya berat badan naik kerana menderma darah sebenarnya tidak berasas.

"Menderma darah mempunyai banyak kebaikan kepada penderma lebih-lebih lagi penerima," katanya semasa ditemui sempena Kempen Derma Darah anjuran Hospital Pantai Kuala Lumpur di Bangsar baru-baru ini.

Apa yang berlaku, menurutnya, ada penderma merasakan mereka perlu makan lebih banyak untuk menggantikan darah yang hilang.

"Jadi mereka makan lebih banyak daripada biasa. Walaupun sebenarnya mereka hanya perlu makan seperti biasa," katanya.

Mengenai fobia jarum menderma darah yang lebih besar daripada biasa, Dr. Vijaya Sankar berkata, penderma tidak patut bimbang kerana akan diberikan bius setempat terlebih dahulu.

"Selepas dibius, pesakit tidak akan rasa sakit walaupun jarum lebih besar digunakan," katanya.

Beliau menambah bukan semua orang boleh menderma darah dan hanya mereka yang menepati spesifikasi yang ditetapkan saja boleh berbuat demikian.

Antara yang tidak layak menderma darah; mempunyai berat kurang 45 kilogram, menghidap penyakit kronik seperti HIV dan siflis, dalam rawatan selain tidak sihat.

"Jadi penderma perlu benar-benar sihat untuk menderma kerana mereka perlu menjalani saringan kesihatan," katanya.

Penderma juga perlu tahu jenis darah sama ada A, B, AB atau O serta faktor Rhesus sama ada antigen positif atau negatif.

Walaupun jenis darah nampaknya tidak utama tetapi ia merupakan maklumat yang penting bagi Pusat Darah Negara.

Penderma dengan jenis darah yang sukar ditemui seperti Rhesus negatif sama ada A, B, AB atau O amat penting sebagai penderma simpanan.

"Ini kerana satu pek darah terbahagi kepada tiga komponen iaitu plasma, platlet dan sel darah merah yang mempunyai jangka hayat tersendiri.

"Tiga komponen ini boleh membantu tiga golongan masyarakat yang memerlukan," kata Dr. Vijaya Sakaran.

Misalnya platlet amat diperlukan untuk pesakit denggi, leukimia dan jangkitan kuman, sel darah merah pula untuk mereka yang kurang darah manakala plasma untuk mereka yang mengalami pendarahan banyak seperti kemalangan.

Dr. Vijaya Saranan menyarankan mereka yang sihat seelok-eloknya menderma darah satu pain dalam tempoh tiga atau empat bulan sekali.

Hospital Pantai Kuala Lumpur telah memulakan kempen derma darah sejak dua tahun lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kakitangan dan pelawat.

"Kami berharap lebih ramai orang akan tampil menjadi penderma bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.

No comments: