Like Blog Ini...

Monday, January 2, 2012

Jangan putus asa dengan rahmat Allah

DULU saya bekerja sebagai pengawal peribadi. Jadi saya ada 'memakai' atau bersahabat dengan makhluk halus untuk membantu saya dalam tugas seharian. Kini saya sudah bersara.

Soalnya, semasa muda dahulu saya sering lalai solat dan sebagainya. Kini saya telah membuang semua 'sahabat' itu. Sekarang baru saya sedar besarnya dosa saya. Bagaimana untuk saya menebus dosa masa silam ini?

JAWAPAN:

Alhamdulillah yang telah memberikan hidayah kepada kita semua. Demikianlah Allah memberikan ujian dan cubaan untuk mengingatkan hamba-Nya, dan berbahagialah orang yang ingat dan mahu mengambil pengajaran dari diari kehidupannya.

Tiada seorang pun yang bergelar manusia terlepas diri dari diuji dengan dunia serta segala penipuan yang ada padanya. Para anbia diuji, para rasul diuji, para aulia diuji.

Ujian tidak kira individu. Ia umpama matahari yang menyinari bumi. Suka atau tidak matahari pasti mengenai penghuni bumi. Itulah lumrah hidup menjadi manusia.

Manusia lahir ke atas dunia dengan sifat lupa. Namun lupa tidak boleh jadi alasan berpanjangan. Dosa yang sudah sedia terpikul pun belum pasti sempat ditebus, janganlah hendaknya ditambah dengan dosa-dosa baru.

Antara penebus dosa adalah taubat nasuha. Para ulama menyebutkan bahwa taubat nasuha memiliki empat syarat:

* Menyesali apa yang telah berlalu.

* Meninggalkan perbuatan tersebut.

* Berniat untuk tidak mengulanginya di masa yang akan datang.

* Mengembalikan hak orang lain

kalau dosa tersebut berkaitan

dengan hak orang (seperti mencuri

dan lain-lain).

Antara penebus dosa tersebut adalah tauhid, kerana Allah akan mengampuni dosa-dosa kita selama kita tidak berbuat syirik kepada-Nya. Gantilah dosa-dosa yang kita lakukan dengan amal-amal kebaikan.

Hendaknya mencari ustaz dan teman-teman yang soleh yang boleh menasihati kita dan membimbing kita kepada jalan istiqamah, dan menjauhi teman-teman yang mengingatkan dan mengajak kita kepada dosa kembali.

Allah SWT telah lama mengajak dan menyeru manusia agar kembali kepada-Nya. Dalam erti kata yang lain, kembali kepada fitrah semula jadi manusia agar menjaga kesucian dirinya seperti ia dijadikan dan dilahirkan ke atas permukaan bumi ini.

Contohnya, kadang-kadang kita dapati di dada akhbar mengenai seruan ibu bapa kepada anak mereka yang lari dari rumah mungkin kerana perselisihan kekeluargaan, kenyataan ibu atau ayah di dalam seruan tersebut adalah: "Pulanglah kepangkuan keluarga, ibu dan ayah telah memaafkan kamu."

Bagi mereka yang membaca iklan itu pasti akan berkata, apa lagi yang dia mahu (yang lari dari rumah) bukankah ibu bapa dia telah memaafkan dia, baliklah, jangan jadi anak yang derhaka. Persoalannya, bukankah Allah SWT menyeru manusia agar kembali kepangkuan-Nya serta menyedari hakikat hamba kepada Pencipta? Kadang-kadang bila saya membaca ayat yang berkaitan dengan seruan taubat, saya sedar, betapa kasihnya dan sayangnya Allah SWT kepada hamba-hambanya.

Panggilan suruh pulang begitu indah dan manja bunyinya, contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman taubatlah kamu kepada Allah (kembalilah kepada Allah) dengan sebenar-benar taubat (nasuha)... (al-Tahrim: 8)

Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda ketika baginda melihat seorang ibu mendakap anaknya, baginda bertanya kepada para sahabat: "adakah si ibu itu akan mencampakkan anaknya ke dalam api?" Para sahabat menjawab, demi Allah tidak Wahai Rasulullah, lantas baginda menjawab: "Allah lebih merahmati hambanya daripada si ibu yang merahmati anaknya". (riwayat al-Bukhari).

Manusia yang beriman disuruh bergantung harap hanya sanya kepada Allah SWT, bukan dengan makhluk halus. Dalam sudut akidah, secara tidak langsung saudara telah syirik kepada Allah SWT dengan berkawan dengan makhluk halus untuk tujuan tertentu. Namun, saudara masih berpeluang untuk bertaubat.

Pertamanya, saudara harus mengulangi penyaksian terhadap ketuhanan Allah SWT dan baginda Rasulullah SAW sebagai utusan dari-Nya. Kemudian disusuli penyesalan sesungguh hati, seterusnya perbanyakkan istighfar serta mengqada amalan-amalan fardu yang tertinggal sebelum ini.

Mengqada solat yang tertinggal bolehlah aturkannya mengikut kemampuan saudara. Saudara perlu yakin bahawa Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Jangan berputus asa, Allah SWT tidak suka mereka yang berputus asa. Firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad kepada hamba-hambaku yang telah melampaui batas atas diri mereka sendiri, jangan sama sekali mereka berputus asa, sesungguhnya Allah menghapus segala dosa yang dilakukan oleh manusia....(al-Zumar: 53)

Bertaubat

Dalam beberapa hadis yang sahih baginda bersabda yang bermaksud: "Setiap anak Adam melakukan dosa, sebaik-baik orang yang melakukan dosa adalah orang yang bertaubat."

Maksudnya, orang yang buat dosa sedar bahawa yang dibuat itu adalah dosa. Ini kerana ramai yang tidak atau sengaja tidak mahu sedar terhadap dosa-dosa yang dilakukannya, sedangkan dia tahu itu adalah dosa. Semoga mereka diberi hidayah untuk kembali kepada Allah SWT.

Taubat bermaksud kembali kepada Allah setelah melakukan maksiat. Taubat adalah rahmat Allah yang diberikan kepada hamba-Nya agar mereka dapat kembali kepada-Nya.

Agama Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan dan dosa sebagaimana Islam tidak membiarkan manusia berputus asa daripada keampunan Allah. Betapa pun dosa yang telah diperbuat manusia.

Di antara kita pernah berbuat kesalahan terhadap diri sendiri sebagaimana terhadap keluarga dan kerabat bahkan terhadap Allah. Dengan segala rahmatnya, Allah memberikan jalan kembali kepada ketaatan, keampunan dan rahmat-Nya dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Penyayang dan Maha Penerima Taubat.

Seperti diterangkan dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan Akulah yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (al-Baqarah: 160)

Taubat daripada segala kesalahan tidaklah membuat seorang terhina di hadapan Tuhannya. Hal itu akan menambah kecintaan dan kedekatan seorang hamba dengan Tuhannya kerana sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang bertaubat dan menyucikan diri.

Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri. (al-Baqarah: 222)

Taubat dalam Islam tidak mengenal perantara, bahkan pintunya selalu terbuka luas tanpa penghalang dan batas. Allah selalu membentangkan tangan-Nya bagi hamba-hamba-Nya yang ingin kembali kepada-Nya. Seperti terungkap dalam hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Musa Al-Asy'ari: Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kesalahan pada malam hari sampai matahari terbit dari barat.

Rugilah orang-orang yang berputus asa daripada rahmat Allah dan membiarkan dirinya terus-menerus melampai batas. Padahal, pintu taubat selalu terbuka dan sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya karena sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha penyayang.

Memang tepat firman Allah dalam surah Ali-'Imran ayat 133.

No comments: