Like Blog Ini...

Saturday, August 8, 2009

Tanggungjawab didik anak

BAGAIKAN tidak lengkap setiap keluarga jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja merupakan permata keluarga, dan kepada anaklah bersandarnya harapan ibu bapa.

Seseorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya.

Apakah sebenarnya tanggungjawab ibu bapa? Adakah ibu bapa itu hanya sekadar "melahirkan anak", dan setelah anak itu dilahirkan maka selesailah tanggungjawab.

Berdasarkan tuntutan kehidupan, bagi meneruskan kelangsungan hidup, anak-anak perlu dididik oleh ibu bapa. Setelah sampai ke satu peringkat, anak-anak akan diajar dengan pelbagai amalan bagi melengkapkan keperluan spiritual, fizikal dan fitrahnya.

Anak-anak yang diibaratkan sebagai harta perlu dijaga sebaik mungkin. Jika dijaga dan dipelihara dengan baik, harta itu akan menjadi "hiasan hidup" yang berharga, jika salah didikan akan pula menjadi "musuh orang tuanya".

Hakikatnya kebanyakan ibu bapa mengharapkan kesihatan yang baik untuk anak-anak, namun seakan lupa bahawa selain faktor keturunan, pendidikanlah yang akan menentukan masa depan keluarga, masyarakat dan negara.

Faktor keturunan juga penting, kerana itu, Rasullullah SAW sering mengingatkan bahawa seorang lelaki mestilah hati-hati dalam menentukan perempuan untuk dijadikan suri teladan dan ibu kepada anak-anaknya.

Kita dapati para ilmuan agama menegaskan bahawa ibubapa berpotensi besar mewariskan kepada anak cucu mereka sifat-sifat jasmaniah dan rohaniah melalui gen yang mereka miliki.

Dalam bahasa hadis, Nabi SAW memberi nama gen dengan 'iriq.

Justeru Rasullulah SAW mengingatkan agar berhati-hati dalam memilih untuk menabur benih yang mengandungi gen kerana al-'irqu dassas, (gen itu sedemikian kecil dan tersembunyi namun memberi kesan dan pengaruh kepada keturunan).

Inilah yang menjadi satu sebab mengapa al-Quran melarang seorang Muslim yang baik dan beriman untuk berkahwin dengan seorang penzina (al-Quran24:3)

Islam memandang dunia kanak-kanak penuh dengan keindahan dan mempesonakan. Agar keindahan dan keterpersonaan itu tidak menyebabkan kanak-kanak leka dan membesar dalam suasana tanpa memahami adab, Islam mengamanahkan ibu bapa agar memberikan perhatian, panduan dan bimbingan.

Jika ibu bapa membiarkan kanak-kanak diselubungi keterpesonaan melampau, kanak-kanak membesar dalam suasana yang tempang dan berbahaya.

Kanak-kanak akan mengambil tindakan berdasarkan rasa dan gerak naluri semata-mata. Akan menyebabkan terjerumus ke lembah bahaya dan penuh kepura-puraan.

Rasulullah SAW menganjurkan agar kita menghormati anak-anak dengan memberi pendidikan dengan sebaik mungkin. Allah SWT memberi rahmat kepada seseorang yang membantu anaknya sehingga anak itu dapat berbakti kepadanya.

Ada seorang sahabat bertanya, ''Bagaimana cara menbantunya? jawab baginda,"Menerima segala usahanya walaupun kecil, memaafkan kesilapannya, tidak membebaninya dengan beban yang berat dan tidak pula memaki sehingga melukai hatinya"

Mengeluh

Kita sering mendengar ibu bapa mengeluh tentang anak-anak yang nakal, degil dan tidak mendengar kata. Sehingga keluar kata-kata seperti "memang dasar anak degil, anak syaitan atau lain perkataan yang tidak baik" daripada mulut ibu bapa sendiri.

Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa kedegilan anak-anak itu adalah berpunca daripada salah asuhan mereka sendiri.

Prof Dr. Hamka menjelaskan cara terbaik mendidik anak ialah: ''Hendaklah perjalanan hidupmu dengan anak-anakmu lurus dan pertengahan. Hendaklah kamu menjadi kaca yang jernih dan bercahaya untuk ditilik oleh anak-anakmu, Jauhkan dirimu dari perbuatan tercela."

Anak-anak mudah meniru. Orang tuanya merupakan idolanya. Bila melihat kebiasaan baik dari kedua orang tuanya, kanak-kanak dengan cepat mahu mencontohinya. Dunia anak adalah dunia permainan. Dengan bermain dan berhubung dengan mereka secara tidak langsung kita juga mendidiknya. Justeru itu Rasulullah SAW menekankan pentingnya bermain bersama anak.

Sabda baginda yang bermaksud: Siapa yang menggembirakan hati anaknya, maka ia bagaikan memerdekakan hambanya. Siapa yang bergurau untuk menyenangkan hatinya, maka ia bagaikan menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Persoalannya sekarang kepada siapa kita harus belajar mendidik anak-anak. Al-Quran dan hadis menawarkan pelbagai metode sebagai panduan yang harus dilaksanakan oleh para pendidik, termasuk ibu bapa.

Rasulullah SAW adalah contoh yang tepat untuk diikuti di mana segala perbuatannya mendidik anak-anak merupakan manifestasi daripada al-Quran.

Rasulullah SAW kadang memberikan nasihat secara langsung kepada anak-anak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Nak, jagalah semua perintah Allah, nescaya Allah memeliharamu. Peliharalah semua perintah Allah, nescaya engkau dapati Dia dihadapanmu. Apabila engkau memohon hal itu kepada Allah, dan bila meminta pertolongan mintalah kepada Allah.

Dan ketahuilah sekiranya seluruh masyarakat sepakat berbuat sesuatu yang bermanfaat bagimu, maka semua manfaat itu hanyalah Allah yang menentukannya dan bila mereka akan berbuat jahat kepadamu, maka kejahatan itu tidak akan menimpamu kecuali yang telah ditetapkan Allah, terangkat Qalam dan keringlah pena. (Riwayat Tarmizi)

Kegelisahan Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW ketika mendengar pengakuan seorang sahabat bahawa mereka tidak pernah mencium anak-anak. Walhal perbuatan itu sangat penting untuk perkembangan mental yang sihat. Sudahkah kita mencium anak-anak kita hari ini?

Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang tidak mengasihi (orang lain) maka dia tidak akan dikasihi. Kehadiran anak-anak dalam sebuah rumah tangga sepatutnya menjadi penyejuk hati dan penenang jiwa. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang berbunyi: …..Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati. (Surah Al-Furqan:74)

Luqman Al-Hakim, seorang yang soleh dan sangat menyedari tanggungjawab itu. Al-Quran telah dijadikan teladan bagi menjadi dirinya sebagai seorang tua yang baik dan bijak. Dalam al-Quran merakamkan nasihatnya kepada anaknya.

"Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya. Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar; dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu."

Begitu besarnya amanat dan nilai yang terdapat di dalam diri seorang anak sehingga ia boleh menjadi penghalang orang tuanya daripada seksaan api neraka.

Kisah Aisyah r.a. isteri Rasulullah SAW yang pernah didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.

Ummul mukminin ini mengisahkan: ''Aku memberikannya dua biji kurma. Kemudian ia memberikan kurma itu kepada kedua-dua anaknya, dan selebihnya ia berniat untuk memakannya. Namun kedua-dua anaknya berusaha merebut sehingga kurma itu pun jatuh dari tangannya. Akhirnya perempuan miskin itu tidak jadi makan satu biji kurma pun."

Lantaran peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri Aisyah lalu ia menceritakan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bemaksud:

Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia memperlakukan secara baik, maka anak-anaknya itu akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

No comments: