Like Blog Ini...

Friday, August 7, 2009

Pantau keadaan trafik guna telefon bimbit

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my

BUKAN semudah yang disangka, menetap atau bertugas di bandar besar seperti Kuala Lumpur tentunya menuntut penghuninya bersabar dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

Antara cabaran besar yang tidak pernah lepas daripada menjadi rungutan penduduk ibu negara Malaysia ini adalah masalah kesesakan lalu lintas.

Biasanya, kesesakan teruk akan berlaku setiap kali tibanya waktu puncak sama ada pagi, lewat petang dan juga hujung minggu.

Sebenarnya, pelbagai langkah penyelesaian telah diambil oleh pihak-pihak terlibat seperti Polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan harapan masalah itu dapat dikurangkan.

Namun, apa yang mengecewakan, tidak banyak perubahan positif berlaku malah masalah itu terus memberi tekanan kepada pengguna jalan raya setiap hari.

Apa tidaknya, selain membazir masa, kesesakan itu juga tentunya menyebabkan tugasan harian mereka tergendala dan tidak dapat diselesaikan dengan lancar.

Masalah berterusan yang sukar menemui jalan keluar itu telah menarik perhatian sebuah syarikat penyelesaian teknologi, Tricubes Berhad (Tricubes) untuk tampil dengan metodologi moden yang mungkin dapat membantu penduduk kota.

Mengetengahkan aplikasi teknologi sebagai medium utama, Tricubes memperkenalkan penyelesaian pemantauan keadaan trafik secara mobiliti.

Jika selama ini kita hanya memperoleh maklumat keadaan lalu lintas semasa menerusi siaran radio dan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sama ada dalam bentuk teks atau foto, kini pengguna jalan raya boleh melihat sendiri pergerakan trafik dari telefon bimbit mereka untuk gambaran yang lebih jelas.

Menerusi pelaksanaan teknologi itu, pihak Tricubes mendapat kerjasama daripada syarikat peneraju Sistem Integrasi Maklumat Pengangkutan (ITIS) untuk membekalkan visual keadaan lalu lintas di jalan-jalan utama.

Kelebihan pihak ITIS yang mempunyai 250 buah (televisyen litar tertutup (CCTV) dengan 70 peratus daripadanya beroperasi, ia pasti mampu merealisasikan implementasi sistem tersebut dengan lebih berkesan.

Menurut Ketua Bahagian Automasi Akses Sekuriti TricubesNCR JV Sdn. Bhd., Azlan Zakaria, selain ITIS, pihaknya juga bercadang untuk mendapatkan sokongan PBT dari segi penggunaan CCTV di kawasan-kawasan pentadbiran mereka.

''CCTV yang beroperasi di beberapa jalan raya utama serta kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai itu akan digunakan secara menyeluruh bagi menjalankan rakaman.

''Kita menyasarkan golongan pengguna jalan raya khususnya di sekitar Lembah Klang untuk menggunakan perkhidmatan ini,'' katanya ketika di temui di pejabat Tricubes di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada peringkat awal, beberapa projek perintis telah pun mula dilaksanakan di lokasi-lokasi jalan raya yang sering mengalami kesesakan.

Bagi tujuan tersebut, usahasama akan dijalankan dengan beberapa syarikat telekomunikasi tempatan yang bakal mengendalikan sistem itu kelak.

Selain itu, perbincangan akan turut diadakan bersama beberapa syarikat swasta untuk mendapatkan sokongan penajaan menerusi pengiklanan bagi mengurangkan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna.

Ia juga secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada syarikat-syarikat terlibat mengiklankan produk mereka secara terus kepada pengguna.

Melihat dari sudut teknikal, teknologi tersebut menawarkan sistem kawalan trafik pintar melalui rakaman data secara video untuk dimaklumkan kepada pengguna jalan raya.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan sistem tersebut mempunyai matlamat membantu pengguna jalan raya mendapatkan maklumat kesesakan dalam masa nyata dan seterusnya merancang perjalanan mereka dengan mencari laluan alternatif.

Menerusi cara itu, penjimatan dari segi masa dan penggunaan petrol juga dapat dilakukan selain mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta pencemaran yang diakibatkan oleh kesesakan lalu lintas.

Aplikasinya sangat mudah kerana pengguna hanya perlu mendapatkan maklumat keadaan jalan raya dari telefon bimbit mereka secara mobiliti.

Sebelum menggunakan aplikasi berkenaan, pengguna perlu memastikan telefon bimbit mereka menyokong sambungan rangkaian internet sama ada menerusi Perkhidmatan Radio Paket (GPRS), Generasi Ketiga (3G) atau Wi-Fi.

Untuk memulakannya, pengguna perlu mengakses masuk ke portal WAP khas yang berkaitan sebelum memilih nama jalan.

Kemudian, klip video mengenai keadaan trafik terkini di jalan yang telah dipilih akan dipaparkan selama lebih kurang lima hingga sepuluh saat. Akhir sekali, skrin akan memaparkan iklan produk daripada syarikat yang telah mengambil bahagian sebagai penaja.

Menerusi pengenalan perkhidmatan teknologi moden tersebut, adalah diharapkan masalah kesesakan jalan raya di ibu kota dapat ditangani dengan baik.

No comments: