Like Blog Ini...

Friday, August 7, 2009

Effiza cipta adunan kek segera

Oleh MERAN ABU BAKAR

JIKA anda seorang yang suka membuat kek dan biskut untuk hidangan minum petang bersama keluarga pasti akan berasa seronok kerana kini terdapat tepung kek dan biskut segera keluaran Bumiputera.

Begitu juga dengan anak gadis yang baru hendak belajar membuat kek dan biskut kerana dengan adanya tepung kek dan biskut segera akan lebih memudahkan.

Bukan sahaja tepung kek dan biskut, malah Effiza Abdul Rahman turut membuat tepung pastri, tepung roti, tepung ayam goreng, rempah daging nasi kandar, rempah rendang dan bermacam-macam lagi di bawah jenama Enak Rasa.

Beliau yang telah memulakan usaha ini sejak setahun lalu pada asalnya membuka kelas membuat kek dan biskut di Puchong, Selangor.

Bagaimanapun kata Effiza, beliau terfikir untuk membuat tepung segera selepas ramai rakan-rakannya yang makan kek dan biskut mengeluh kerana sukar mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan.

''Kesemua jenis tepung ciptaan saya ini saya adun sendiri selepas saya mencuba dan berjaya. Cara membuatnya juga begitu mudah, ringkas dan cepat. Kebanyakan bahan asas telah dicampurkan sekali. Pengguna hanya perlu mencampurkan bahan basah seperti mentega, telur dan susu.

''Kesemua bahan dibancuh bersama selama beberapa minit dan terus diterap jika membuat biskut atau masukan dalam loyang jika ia adunan kek bakar hingga masak,'' kata Effiza ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, bagi lebih memudahkan pengguna cara-cara membuatnya ditampalkan di dalam paket tepung segera.

''Tepung segera Enak Rasa ini tahan selama tiga bulan. Jika disimpan dalam peti sejuk ia boleh tahan lebih lama.

''Jadi tepung segera ini amat sesuai untuk dikirimkan kepada sanak-saudara yang berada di luar negara. Bolehlah mereka membuat biskut dan kek sendiri sempena kedatangan hari raya tidak lama lagi,'' ujar wanita yang bertubuh kecil ini.

Beliau menambah, di antara tepung biskut yang dijualnya ialah coklat cip, coffee cip, hitam putih, peppermint, London almond, tat strawberi, bebola trufel coklat , coklat rangup, sarang semut, fancy aiskrim, mix fruit dan havana sparkle.

Sementara tepung kek Enak Rasa pula ialah kek brownies, coklat, marble, lobak merah, pelbagai jenis kek lapis Sarawak dan banyak lagi. Tepung kek yang paling mendapat sambutan ialah tepung kek brownie yang berharga RM8.

Kata Effiza, setiap jenis tepung kek dan biskut dijual pada harga antara RM5 hingga RM10.

Pelanggan boleh mendapatkannya dengan berkunjung ke gerainya di pasar tani Putrajaya, Batu Muda (Batu Caves), Bangi, Bukit Angkasa, Stadium Shah Alam dan Maha Serdang. Beliau turut menunjukkan demonstrasi membuat kek dan biskut.

Kepada yang ingin membeli tepung kek, biskut atau melihat demo membuat kek dan biskut, boleh berhubung dengan Effiza di talian 012-6752858.

No comments: