Like Blog Ini...

Friday, August 7, 2009

Kewajipan bayar hutang puasa

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KIRA-KIRA 14 hari lagi kita akan memulakan ibadat puasa Ramadan, kewajipan ketiga dalam Rukun Islam selepas tuntutan mengerjakan solat.

Puasa merupakan syariat Allah SWT bagi mendidik manusia supaya lebih mensyukuri nikmat selain menjadi amalan paling berkesan untuk menundukkan nafsu.

Apabila membicarakan fardu menunaikan puasa Ramadan, kita sebenarnya tidak akan terlepas untuk menyentuh mengenai kewajipan mengganti puasa sama ada ditinggalkan secara sengaja atau tidak.

Di dalam syarak terdapat golongan yang langsung tidak dibenarkan berpuasa iaitu wanita yang didatangi haid dan nifas. Tetapi berdasarkan hukum, mereka dikehendaki mengganti puasa berkenaan.

Selain mereka, syarak juga membolehkan beberapa golongan dibenarkan tidak berpuasa antaranya musafir (perjalanan 89 kilometer dan lebih), sakit, tua, terlampau lapar dan dahaga, menyusukan anak serta dipaksa berbuka. Bagi golongan ini mereka juga wajib menggantikan puasa pada setiap kali ditinggalkan.

Ia selaras dengan firman Allah: Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari tertentu, maka sesiapa yang di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa (sebanyak hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain... (Al-Baqarah ayat 184)

Persoalannya, sejauh manakah masyarakat Islam mengambil berat tentang kewajipan mengqada puasa? Bagi wanita mengganti puasa sepatutnya tidak menjadi masalah kerana ia adalah rutin setiap tahun. Bagaimanapun tidak dinafikan ada di antara mereka yang mengabaikan tuntutan tersebut.

Bagi golongan yang 'liat' untuk menggantikan puasa, tidak kira lelaki atau wanita, mereka sebenarnya melakukan dosa besar kerana mempermainkan perintah Allah. Lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang sengaja meninggalkan ibadat itu tanpa keuzuran. Mereka bukan sekadar wajib menggantikan puasa tetapi mesti juga membayar fidyah.

Kita harus sedar bahawa ibadat puasa adalah perkara yang membentuk lima asas dalam Rukun Islam dan kegagalan mengerjakannya dengan sempurna (meninggalkan secara sengaja) boleh membawa kepada kemurkaan Allah.

Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili r.a bersabda, dalam mimpinya, Baginda telah mendengar suara ahli neraka menjerit (kerana berbuka sebelum masuk waktunya). Baginda melihat penghuni itu digantung dengan kaki di atas dan darah mengalir dari mulut mereka yang telah robek.

Begitu hebatnya azab Allah terhadap mereka yang berbuka sebelum masuk waktunya. Bayangkanlah azab terhadap mereka yang sengaja meninggalkan puasa. Tentu lebih dahsyat.

Bagaimanapun, syarak turut memberi kelonggaran kepada beberapa golongan. Mereka tidak perlu mengqada puasa tetapi mesti diganti dengan fidyah. Antaranya ialah orang yang sangat tua dan tidak lagi berdaya untuk berpuasa serta orang sakit dan tidak ada harapan sembuh.

Firman Allah yang bermaksud: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin... (Al-Baqarah ayat 184).

Maksud fidyah ialah memberi makan orang miskin sebanyak satu mudd (cupak) beras atau apa-apa jua bijirin yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Satu mudd itu adalah sebagai gantian bagi satu hari puasa yang ditinggalkan dan satu mudd itu bersamaan 566.85 gram.

Kesimpulannya, golongan yang masih mampu mengerjakan ibadat puasa, maka wajiblah membayar hutang puasa berkenaan. Peliharalah ibadat puasa itu agar tidak berdepan dengan kehinaan di akhirat kelak.

No comments: