Like Blog Ini...

Friday, August 7, 2009

Pengkhianat meruntuhkan kesejahteraan ummah

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

SEJAK permulaan sejarah manusia, hakikat kehidupan penuh dengan tragedi. Tragedi itu juga biasanya dipenuhi oleh suasana permusuhan dan persengketaan.

Jika diteliti, manusia bersifat pengkhianat telah muncul silih berganti sejak zaman Nabi Adam a.s sehinggalah kini. Setiap kali Allah mengutuskan rasul, ada sahaja manusia bergelar pengkhianat pada zaman berkenaan.

Begitu juga ketika Nabi Muhammad SAW berdakwah. Lebih malang kerana pengkhianat tersebut wujud di kalangan umat Islam sendiri.

Kalau kita imbas sejarah Islam, jelas bahawa tercetusnya perang saudara seperti Perang Jamal dan Siffin, disebabkan penyusupan masuk golongan pengkhianat.

Malah kematian tiga Khalifah Ar-Rasyidin – Saidina Omar Al-Khattab, Saidina Othman Affan dan Saidina Ali Abi Talib – juga kerana angkara pengkhianat. Peranan pengkhianat juga yang menyebabkan runtuhnya dinasti besar seperti Umayyah, Abassiah, Andalusia, Fatimiah, Othmaniah dan Moghul.

Golongan pengkhianat “menjadi duri dalam daging” dan seterusnya menghancurkan peradaban Islam.

Justeru, Allah mengingatkan Rasul-Nya agar tidak cenderung bersahabat dengan pengkhianat kerana mereka sentiasa berusaha untuk menghancurkan Islam.

Antaranya menerusi firmannya: Janganlah kamu terpengaruh dengan golongan pengkhianat tersebut, yang selalu bersumpah dan hina sikap dan amalannya, lagi yang selalu mencela dan menyebarkan fitnah untuk perpecahan (umat), menolak segala kebajikan (dan kemajuan orang), mereka yang melampau dan menentang (ajaran agama) dan melakukan dosa (Surah Al-Qalam Ayat 10-12).

Dalam diri manusia ada beberapa tabiat buruk yang akan lenyap jika selalu bermuhasabah diri dan mendekati Allah. Namun ada juga tidak hilang tabiat tersebut akan muncul apabila wujud sesuatu isu atau gejala yang membawa kepada perpecahan.

Bagi menjamin keamanan dan keselamatan, Islam menetapkan peraturan antaranya kisas, hudud dan takzir. Ini kerana rakyat yang tidak berdosa berhak mendapat kawalan dan jaminan keselamatan.

Demonstrasi 1 Ogos 2009 lalu jelas membuktikan adanya unsur-unsur pengkhianatan. Para pengkhianat tersebut telah menyebabkan kerosakan dan merampas hak rakyat majoriti. Ini kerana hak asasi rakyat majoriti dicabuli ketika itu.

Namun bagi golongan pengkhianat tersebut, mereka tetap tidak mengaku melakukan kerosakan. Malah mereka tetap yakin telah melakukan perkara yang betul walaupun hakikatnya mereka mencetuskan kerugian kepada masyarakat.

Ingatlah, Allah memerintahkan kita mempersiapkan kekuatan, bukan untuk digunakan bagi mengancam dan menakutkan orang ramai. Memiliki kekuatan bukan untuk menganiaya atau memusnahkan. Ia perlu digunakan untuk membangunkan ummah.

Bagi penulis, keadaan yang berlaku Sabtu lalu membuktikan kerajaan perlu mempertahankan undang-undang keselamatan dengan lebih tegas. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah undang-undang yang boleh menjadi faktor pencegahan awal untuk mengelak keamanan negara diganggu-gugat.

Hakikatnya, langkah pencegahan dan pengawalan tersebut dilakukan untuk mengawal keselamatan harta benda awam. Ia perlu dilaksanakan melalui kawalan keselamatan berserta tindakan undang-undang yang tegas demi kesejahteraan negara.

Langkah pencegahan tersebut juga sangat penting untuk menghadapi keganasan yang ditimbulkan oleh mana-mana pengkhianat atau penjenayah tanpa sebarang tolak ansur.

Selain itu ia juga akan memberi kesempatan dan pertimbangan kepada mereka yang mengaku silap dan sebagainya.

Agama telah menggariskan kata-kata panduan iaitu kesilapan pemerintah dalam memaafkan pesalah itu lebih baik dan lebih disenangi Allah daripada kesilapannya dalam mengambil tindakan kepada pesalah.

Kita mahukan istiqamah dalam agama sebagai jalan penyelesaian kepada semangat assabiyah atau sikap melampau yang makin berleluasa.

Bagi mengelakkan perpecahan di antara umat, kita semua seharusnya kembali ke jalan yang dirintis oleh para anbia. Kita pasti menemui kebahagiaan dan keamanan sekiranya menjadikan para anbia sebagai pedoman.

PENULIS ialah Pengurus Penyelidik,

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

No comments: