Like Blog Ini...

Thursday, February 26, 2009

Sejarah pembesaran Masjidil Haram

SEWAKTU Nabi Ibrahim a.s. dengan bantuan puteranya, Ismail a.s. mendirikan Kaabah atas perintah Allah SWT, ia adalah sebuah bangunan yang didirikan di tengah-tengah kawasan terbuka. Kedudukannya ini mendefinisikan arah kiblat umat Islam.
Pada masa itu solat dan tawaf dilakukan di kawasan yang terbuka. Malah binaan bangunan ini tidak berubah-ubah sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW.

Had ruang terbuka ini ditentukan oleh kawasan kediaman dan bangunan-bangunan komersial yang semakin berkembang dari semasa ke semasa di sekelilingnya.
Malah pelaksanaan ibadat sa'ie telah dilakukan sepanjang lorong sempit yang selari dengan kedai-kedai dan rumah-rumah yang terletak di bahagian antara bukit Safa dan Marwah.
Kini ruang terbuka tersebut telah diubah menjadi laman dalam (courtyard) sebuah masjid agung iaitu Masjidil Haram, Mekah.

Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas seperti sekarang.

Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah.
Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) daripada kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil.
Kaum Quraisy yang merupakan ketua puak Arab direkodkan adalah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan pembesaran pertama sekeliling Kaabah iaitu pada 604. Diikuti sekurang-kurangnya 10 fasa pembesaran Masjidil Haram.

Yang pertama padan zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar ini telah menetapkan sempadan dan yang terakhir dilakukan semasa pemerintahan Al-Malik Fahd, kerajaan monarki Arab Saudi yang kelima.
Walau bagaimanapun, sehingga pembesaran pertama pada 1955 di bawah Raja Abdulaziz Al-Saud, masjid itu hanyalah sekadar ruang terbuka yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan beratap yang bersebelahan, sekali gus menandakan sempadan.

Khalifah ketiga, Othman bin Affan merancang semula terutamanya untuk ruang tawaf dengan merobohkan khemah-khemah yang kurang penting.

Pada 1988, sekali lagi Masjidil Haram melalui pembesaran secara besar-besaran pada masa pemerintahan Al-Malik Fahd. Selepas perluasan itu, keluasan Masjidil Haram menjadi 117,480 meter persegi iaitu 16,745 peratus lebih besar saiznya pada zaman Baginda Rasulullah SAW.
Penambahan kawasan lantai yang lebih teguh serta pertama kalinya diperkenalkan pengunaan penghawa dingin merupakan pembesaran kali kedua Masjidil Haram.

Pembesaran kali kedua ini juga melibatkan kawasan berbumbung yang terbuka untuk tujuan solat dan tawaf serta pelebaran perkarangan di pintu gerbang Bab Al-Malik dan Bab al-Salam.
Hamparan jernih batu marmar yang berkilat di laluan perkarangan pintu masuk turut memberi keselesaan kepada tetamu Allah terutamanya sewaktu mendirikan solat di sebelah malam.
Namun yang paling penting ialah penambahan penyediaan kemudahan tandas dan tempat berwuduk yang dibina di bahagian bawah tanah, telah berjaya menjadikan urusan jemaah haji lebih selesa dan dapat memberi tumpuan kepada penyerahan diri kepada Allah SWT.

Tercetusnya perang Uhud

PERANG Uhud adalah lanjutan daripada Perang Badar. Kaum Quraisy ingin menuntut bela di atas kekalahan yang mereka alami dalam Perang Badar. Mereka berasa aib dan malu atas kekalahan tersebut. Mereka ingin menebus kehormatan dan nama mereka dengan serangan pembalasan.

Setelah kaum Quraisy kalah teruk dalam Perang Badar, perasaan dendam semakin memuncak dalam hati sanubari mereka. Kekalahan tersebut telah menjatuhkan maruah dan harga diri mereka. Mereka berasa sangat malu dan hina. Pada masa yang sama, kaum Quraisy tidak henti-henti berusaha sedaya upaya untuk membalas dendam terhadap Nabi Muhammad SAW dan tentera-tenteranya.

Dalam Perang Badar, banyak harta benda kaum Quraisy dirampas oleh tentera Muslimin. Ini menambahkan lagi perasaan dendam dan marah mereka. Oleh itu, ketua-ketua kaum Quraisy telah mengadakan mesyuarat bagi memutuskan cara untuk memusnahkan tentera Muslimin.
Antara ketua-ketua kaum Quraisy yang terlibat dalam mesyuarat itu ialah Abu Sufyan bin Harb, Abdullah bin Rabi'ah, Ikrimah bin Abi Jahl, Syofwan bin Umaiyyah, Jubair bin Muta'in, Harith bin Hisyam, Huwith bin Abdul Uzza, Ubay bin Khalaf dan lain-lain.
Mereka mula mengumpul dana dan mengerah tenaga tentera yang ada. Antara sumber dana yang digunakan sebagai persediaan untuk menebus kembali kekalahan mereka ialah wang hasil perniagaan mereka.

Hasil keuntungan daripada penjualan barang-barang dagangan yang dibawa oleh kafilah Abu Sufyan dari Syam digunakan untuk menyediakan kelengkapan perang yang akan datang.
Dengan persetujuan Abu Sufyan, beliau menjual segala barangan dagangannya sebagai aset peperangan. Oleh kerana usaha ini, Allah SWT menurunkan firman-Nya dalam ayat di atas.
Selain itu, ketua-ketua Quraisy telah membangkitkan semangat orang-orang yang kehilangan ahli keluarga dan saudara mara dalam perang yang lalu supaya menuntut bela atas kematian mereka.

Desakan daripada pihak atasan ini telah menyuntik semangat orang Quraisy untuk membalas dendam. Akhirnya tercetuslah perang Uhud antara orang-orang Islam dan Musyrikin Quraisy.
Dalam tempoh setahun, pihak Quraisy telah berjaya melengkapkan kekuatan bala tenteranya. Kekuatan tentera Quraisy adalah seramai 3,000 orang. Bilangan wanita sebagai pembakar semangat seramai 15 orang. Tentera berkuda seramai 200 orang termasuk 3,000 ekor unta. Setelah berkumpul mereka terus mara menuju ke Madinah.

Kemunculan Nabi Isa

SOALAN

Nabi Muhammad SAW adalah rasul terakhir yang menyebarkan agama dan menyempurnakan ajaran Islam kepada umat manusia. Baginda wafat seperti mana seorang makhluk manusia.
Nabi Isa pula yang menyebarkan agama Kristian tidak wafat tetapi diselamatkan dari pembunuhan pengikut agama Kristian sendiri dan Allah naikkan ke langit untuk diturunkan semula ke dunia di akhir zaman sebelum hari kiamat bagi melawan dajal untuk menolong umat manusia sekelian.
Adakah ini bermakna Allah memberi kelebihan atau keistimewaan kepada Nabi Isa untuk menyelamat umat manusia termasuk umat Islam padahal semasa hayat baginda tidak menyebar agama Islam tetapi Kristian. Ini boleh diambil sebagai modal oleh penganut-penganut Kristian untuk mengatakan bahwa Kristian adalah sebenarnya agama yang benar dan diredai tuhan?

JAWAPAN

Firman Allah SWT menjelaskan bahawa setiap sesuatu yang bernyawa pasti akan menemui fitrah kehidupan: Setiap sesuatu yang bernyawa pasti merasakan mati. (ali-‘Imran: 185)
Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang maksudnya: Setiap sesuatu yang bernyawa pasti merasakan mati sesudah itu kepada kami kamu dikembalikan. (al-Ankabut: 57)
Menerusi ayat tersebut jelas bahawa Allah menetapkan kematian ke atas segala sesuatu. Setiap yang ada permulaan pasti ada pengakhirannya. Hanya Allah SWT yang tiada pengakhiran baginya. Selain Allah yang bergelar makhluk ada penghujungnya.
Ini termasuklah Nabi Allah Isa a.s yang akan turun di akhir zaman, iaitu sezaman dengan Imam Mahdi seperti mana dijelaskan dalam hadis-hadis fitan (fitnah) akhir zaman. Kebanyakan riwayat yang menegaskan kedatangan Nabi Isa a.s adalah sahih. Ada sebahagiannya daif malahan ada juga riwayat yang direka oleh golongan pendusta.

Di sini saya tidak akan membincangkan kategori atau kedudukan riwayat-riwayat itu. Malah lebih fokus kepada persoalan meyakini kedatangan Nabi Isa a.s dan mengakhir kehidupan sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Mengikut kepercayaan agama Islam, apa yang dibawa oleh semua dan rasul bermula dari Nabi Adam a.s sehingga Muhammad SAW semuanya adalah agama yang satu bertunjangkan seruan mengesakan Allah SWT semata-mata.

Sekali gus mengajak manusia membebaskan diri daripada pengabdian kepada selain Allah seperti penyembahan berhala atau penyembahan makhluk sesama makhluk.
Rasulullah SAW bersabda, “Sekelian nabi adalah (bagaikan) saudara seibu, dan agama mereka juga satu.” Ayat al-Quran juga menegaskan perkara yang sama: Rasulullah itu telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, begitu juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang (rasul) dengan rasul - rasul yang lain,”...mereka berkata lagi: Kami akur dan Kami taat keampunan-Mulah yang kami harapkan Wahai Tuhan kami, dan kepadamu jualah tempat kembali (kami). (al-Baqarah: 285)

Demikian halnya tentang hubungan antara Nabi Muhammad dengan Nabi Isa berdasarkan sambungan sabda baginda dari hadis di atas, “Dan sesungguhnya aku adalah nabi terdekat dengan Isa ibnu Maryam kerana antara dia dan aku tidak ada nabi.

“Sesungguhnya ia (Isa) akan turun. Apabila kamu melihatnya, maka kenalilah ia lebih dahulu; warna kulitnya putih agak kemerah­merahan, ia mengenakan dua helai pakaian. Rambut kepalanya seakan- akan menitiskan air sekalipun tidak basah, ia mematahkan palang salib dan membunuh babi, memansuhkan pajak dan menyeru manusia untuk memeluk agama Islam. Di zaman turunnya, Allah melenyapkan semua aliran agama kecuali Islam.
“Pada zamannya, Allah membinasakan Dajal, kemudian terciptalah keamanan dan kedamaian di bumi hingga kita akan menyaksikan seekor macan boleh berjalan bergandingan dengan unta, singa bergandingan dengan lembu, serigala dengan domba.

“Anak-anak kecil bermain dengan ular, tetapi anak-anak itu tidak digigit ular. Isa hidup selama 40 tahun kemudian ia wafat dan disolatkan oleh kaum muslimin”.
Dalam membicarakan berkenaan penurunan Nabi Isa ke bumi pada akhir zaman, Al-Munawi, dalam buku Syarh al-Jami’ ash-Shagir mengatakan: Para ulama sependapat dengan faham turunnya Nabi Isa a.s tetap sebagai nabi, tetapi tetap menerapkan syariat Islam.
Di lain pembahasan, masih dalam buku Syarh al-Jami’ ash-Shagir, al-Munawi mengatakan: Dalam buku al-Mathaami’ diterangkan kesepakatan umat akan turunnya Nabi Isa, dan tiada seorang pun dari ulama syariah yang membantah hal itu. Hanya saja hal itu tidak diterima para ahli falsafah dan penganut ateisme.

Ijmak umat ini disepakati, bahawa Isa akan turun dan menegakkan syariat Muhammad. (al-Munawi).
Justeru, kedudukan Nabi Isa kelak bukan lagi sebagai nabi baru, tetapi penyambung syariat Rasulullah SAW.

Ia bagi umat Islam dan bukan untuk mendukung ajaran Kristian yang telah diseleweng oleh penganutnya selepas 300 tahun dari diangkatnya Nabi Isa ke langit.
Perlu ditegaskan, sewaktu turun ke bumi, Nabi Isa a.s bukan datang sebagai nasrani tetapi sebagai muslim yang menjalankan syariat dan ketentuan agama Islam.
Beliau akan solat bersama muslimin di masjid, menghadap kiblat, mengharamkan khamar, khinzir dan ideologi triniti yang jelas tidak mengesakan Allah. Selain menghancurkan salib yang menjadi sumber kemusyrikan.

Semua keterangan itu bersumberkan hadis-hadis Rasulullah yang sampai kepada umat Islam, antara lain:
l Isa Al-Masih a.s Mengikuti Syariah Islam dan Bukan Menghapusnya Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi SAW, beliau bersabda: Tidak akan terjadi hari kiamat hingga Nabi Isa a.s turun (ke bumi) menjadi seorang hakim yang bijaksana dan pemimpin yang adil, menghancurkan salib, membunuh babi-babi, meletakkan ufti, harta melimpah-ruah hingga tidak ada seorangpun yang menerimanya. (diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari, Kitabul Buyu’ bab Qatlil Khinziri no. 2222, Kitabul Mazhalim bab Kasri Ash-Shalib wa Qatlil Khinziri no. 2476, Kitab Ahaditsil Anbiya` bab Nuzuli Isa bin Maryam no. 3448, 3449; Al-Imam Muslim rahimahullahu dalam Kitabul Iman bab Nuzuli Isa bin Maryam Hakiman Bisyariati Nabiyyina Muhammad SAW no. 242; Al-Imam At-Tirmidzi, no. 2233)
Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa dia ada mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sekumpulan dari umatku akan memperjuangkan kebenaran dan akan berterusan kehadiran kumpulan seumpama itu sehingga Hari Kebangkitan (Hari kiamat). Isa anak Maryam akan turun, ketua kumpulan itu akan mengajaknya bersama mereka dan menjadi imam solat mereka, tetapi baginda (Nabi Isa) akan berkata: Tidak, sebahagian dari kamu adalah ketua kepada yang lain. Ini adalah satu penghormatan kepada umat Islam ini. (Sahih Muslim, jilid 1, muka surat: 155)

Berdasarkan kepada beberapa riwayat dan hujah para ulama jelas bahawa Nabi Isa a.s pasti akan turun dan menjadi makmum kepada Imam Mahdi sebagai pengiktirafan baginda terhadap Imam Mahdi yang menjadi umat Nabi Muhammad SAW.

Nabi dibekalkan mukjizat

Ayat ke-49Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israel, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah, dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah, dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.

Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman".

Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: "Tafsiran perkataan akmah dengan pelbagai maksud, antaranya: Yang dapat melihat pada waktu siang dan tidak pada waktu malam atau sebaliknya dan pendapat mengatakan buta adalah lebih kuat dari sudut mukjizat.
"Nabi Isa AS dibangkitkan pada zaman kedoktoran atau mereka yang mempunyai banyak maklumat berkenaan ilmu. Justeru, kelebihan merawat pelbagai jenis penyakit hatta menghidupkan yang telah mati sebagai tanda dan sokongan syariat yang dibawa".
ii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini bermaksud Allah SWT telah mengutus baginda sebagai rasul kepada Bani Israel. Menurut satu riwayat, baginda menerima wahyu yang pertama ketika berumur 30 tahun. Baginda menjadi nabi selama tiga tahun, tidak lama kemudian baginda telah diangkat ke langit".
iii. Mohamad Quraish Shihab: "Tanda atau mukjizat sangat perlu bagi setiap nabi atau rasul kerana mereka diutus kepada kaum dengan membawa ajaran yang secara tegas mereka akui dari Allah SWT.
"Tidak semua masyarakat dapat mempercayai nabi dan rasul kerana itu perlu ada bukti untuk menyerlahkan kebenaran yang nyata.
"Seharusnya bukti tersebut hal yang luar biasa untuk meyakinkan kaum yang tidak mempercayai dan menolak ajaran yang dibawa oleh nabi dan rasul. Sesungguhnya mukjizat membuktikan kebenaran yang dibawa oleh nabi dan rasul".
iv. Hamka berkata: "Kepada Bani Israel tujuan beliau yang pertama dan utama sekali. Diterangkan juga seruan Nabi Isa a.s kepada Bani Israel dengan dibuktikan mukjizat yang ada padanya untuk membuktikan kekuasaan Allah SWT kepada kaumnya.
Nabi Isa menyeru pada kaumnya: "Satu tanda yang tidak akan dapat kamu mungkiri lagi bahawa aku ini memang utusan Allah SWT untuk kamu. Semua yang terjadi pada mukjizat itu hanya semata-mata keizinan dari Allah SWT, bukan daya upayaku sendiri. Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah SWT".
Ayat ke-50

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu, dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Iktibar dan fiqh ayat:
i. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Dakwah Nabi Allah Isa atas dua perkara: Takwa kepada Allah dan manusia wajib mentaatinya dalam mengikut manhaj".
ii. Al-Maraghi berkata: "Aku (Isa a.s) datang kepada kamu dengan membawa tanda demi tanda, kebenaran daripada Tuhan kamu, yang membuktikan kebenaranku dan kebenaran kerasulanku.
"Sebagaimana yang telah aku sebutkan kepada kamu, antara lain, seperti membuat burung, menyembuhkan penyakit kusta dan cacar, menghidupkan orang mati dan mengkhabarkan hal-hal yang tersembunyi, dan lain-lain lagi".
iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Setelah menjelaskan mukjizat Nabi Isa, dijelaskan pula ajarannya iaitu beliau diutuskan kepada Bani Israel untuk membenarkan Taurat kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Musa jauh sebelum kelahiran Isa".
iv. Hamka berkata: "Nabi Isa bukanlah didatangkan untuk mengubah hukum Taurat. Banyak perkara yang diharamkan kepada Bani Israel kerana kesalahan mereka sendiri, persoalan yang banyak maka kedatangan Nabi Isa adalah mencabut kembali beberapa larangan itu sehingga tidak menyempit".
Ayat ke-51

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Nya. Inilah jalan yang lurus.

Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Alusi berkata: "Ayat ini menerangkan supaya disuruh berkata sesungguhnya Allah SWT, Tuhanku dan Tuhan kamu semua".
ii. Al-Maraghi berkata: "Ini adalah perintah Allah SWT kepada mereka agar memiliki pegangan yang benar, iaitu kepercayaan tauhid.
Kemudian perintahkan agar tetap taat melalui jalan menunaikan perintah-perintah Allah SWT kepada mereka dan menjauhi larangan-Nya.
"Seiring dengan ayat ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah SWT. Kemudian tetapkanlah diri (di atas kebenaran)".
iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata shirath terambil dari kata yang bermakna menelan. Sesuatu yang menelan pastilah lebih lebar dari yang ditelan. Jalan yang dinamai shirath adalah jalan yang sangat luas dan dapat menampung semua yang berjalan di atasnya.
"Penyembahan kepada Tuhan yang Maha Esa serta tuntutan-tuntutan agama pada hakikatnya adalah jalan yang sangat luas dan mudah untuk diselusuri.
"Demikianlah agama, penuh dengan toleransi dan kemudahan sehingga para penganutnya tidak akan merasa berat dan terdesak oleh tuntutan-tuntutannya".
iv. Hamka berkata: "Demikianlah diceritakan tentang Maryam mengandung dan Nabi Isa a.s lahir kemudian diangkat Allah SWT menjadi utusan-Nya. Tidak ada Isa al-Masih menyeru manusia untuk menempuh jalan lain ataupun untuk menuhankan dirinya sendiri".

Ayat-ayat yang dibincangkan ini jelas menunjukkan betapa kuasanya Allah SWT dan peranan rasul untuk membawa ajaran Islam serta berdakwah kepada seluruh manusia.

Nabi Allah Isa a.s adalah seorang Nabi dan Rasul yang bertauhidkan Allah SWT. Baginda dikurniakan pelbagai keistimewaan sebagai mukjizat untuk membenarkan risalah yang dibawanya. Inilah sunnatul anbiya' al-Mursalin.

Remaja dan masyarakat

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

"JOHAN, mari kita ke rumah Pak Ramli. Ada kenduri doa selamat," ujar ayah Johan, Pak Abu.
"Malaslah, Johan penat," balas Johan yang sedang leka menonton televisyen.
"Penat tengok televisyen? Apa nak jadilah anak ayah ni. Susah betul kalau nak ajak pergi kenduri atau ke majlis. Kalau pergi membeli-belah terutama sekali barang permainan komputer, dialah yang paling cepat tunggu dalam kereta. Nak-nak lagi kalau kawan dia ajak keluar," ujar Pak Abu sambil menggeleng-geleng kepala.
"Takpelah ayah. Kalau Johan tak datang pun, mereka pun tak rugi, kan?" selamba Johan menjawab sambil tersengih-sengih.

"Kau kena belajar hidup bermasyarakat, Johan. Kita tidak boleh selama-lamanya hidup seorang diri dan hanya terlingkup selesa dalam golongan kawan-kawan sahaja. Melalui bermasyarakat kita kenal siapa jiran, siapa kawan. Meluaskan pergaulan yang sihat dapat meluaskan kotak pemikiran. Tak lah terkongkong dengan pemikiran yang sama sahaja".
"Kalau tak nak pergi, sudahlah. Tapi ibu tak masak juga, ibu ada kat sana sejak pagi tadi, bantu masak. Pandai-pandailah cari makan. Ayah pergi dahulu," kata Pak Abu kepada Johan.
"Ohh.. laparlah saya…" keluh Johan.

Pasti Pak Abu ada tujuan di sebalik ajakan kepada Johan, bukan hanya setakat mengajak makan sehingga kenyang, kemudian balik. Tetapi ajakan seorang ibu atau bapa sudah tentunya membawa tanggungjawab sosial untuk hidup bermasyarakat. Namun, ramai remaja yang tidak faham akan kepentingan hidup bermasyarakat dan pentingnya peranan mereka dalam masyarakat.

Pentingnya Hidup Bermasyarakat
Pergaulan secara sihat amat dituntut oleh Islam. Bahkan Islam tidak menganjurkan pemeluknya mengasingkan diri daripada masyarakat. Dalam konteks remaja, mereka secara umumnya memiliki dorongan untuk bergaul dengan manusia lain agar dapat hidup berdampingan dengan sesamanya.

Untuk itu, remaja perlu memiliki kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan orang lain. Remaja menghabiskan sebahagian besar waktunya di dalam kelompok yang seusia dengan mereka serta mempunyai pola pemikiran yang lebih kurang sama.
Pergaulan sosial adalah suatu proses perubahan pada diri remaja dalam rangka penyesuaian diri dalam kehidupan bermasyarakat. Justeru, setiap individu akan menjalani proses tersebut sepanjang hidupnya, melakukan penyesuaian terus menerus dalam kehidupannya sebagai anggota masyarakat.

Dalam pandangan Islam, sebuah masyarakat adalah kumpulan individu yang berinteraksi secara berterusan, memiliki satu pemikiran, satu perasaan dan di bawah aturan yang sama agar terjalin hubungan yang aman dan harmoni.

Apabila ada sebahagian anggota masyarakat yang menderita, maka individu yang lain menolongnya dengan semampu mungkin. Begitu juga ketika ada salah seorang anggota masyarakat yang melakukan kesalahan ada individu yang lain menegur dan menasihatinya.
Masyarakat Melayu umpamanya menjadikan tempat berkenduri, majlis-majlis adat serta majlis agama di masjid bukan hanya sebagai tuntutan ibadat dan adat. Tetapi juga sebagai lapangan untuk mereka bertemu sesama sendiri dan bertanya khabar.

Interaksi sosial sebegini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan, tetapi juga memperkembangkan ruang lingkup pemikiran dan mendapat pengetahuan baru, hasil daripada percakapan, pengalaman dan tingkah laku seseorang anggota masyarakat yang lain.
Terdapat pelbagai peranan dalam setiap kelompok sosial. Dalam suatu organisasi, terdapat peranan sebagai ketua, pengurus, setiausaha dan sebagainya. Di keluarga terdapat fungsi sebagai ayah, ibu, anak. Di sekolah ada pengetua, guru, penjaga sekolah, pegawai pentadbiran dan sebagainya. Setiap peranan memiliki hak dan kewajipan yang berbeza.

Masa remaja merupakan suatu tahap yang menuntut remaja untuk melakukan penyesuaian sosial dari sudut pergaulan dengan teman-teman dan orang-orang di sekelilingnya ke arah pergaulan sebagai orang dewasa. Ini yang dikatakan sebagai transisi sosial.

Oleh itu, remaja perlu belajar agar kelak mampu menjalankan peranan yang sesuai dengan kedudukannya di suatu kelompok sosial. Ketika ia berada di sekolah, haruslah menjalankan peranannya sebagai pelajar. Tetapi ketika berada di rumah, peranan sebagai anak tidak boleh dilupakan. Apabila ia terlibat di suatu organisasi, maka peranan dan tanggung jawabnya di organisasi perlu dilakukan sebaik-baiknya.

Remaja dewasa ini harus memahami kepentingan hidup bermasyarakat. Mereka perlu diberi peluang menikmati kehidupan bermasyarakat, memahami masalah masyarakat dan mengambil bahagian dalam proses pembangunan sosial masyarakat.
Remaja seharusnya mampu membina kebolehan menabur khidmat untuk komuniti sebagai generasi baru yang mempunyai kesedaran terhadap tanggung jawab sosial, berkesedaran sivik dan mengutamakan solidariti masyarakat.

Namun begitu terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi selama bersosial sesama anggota masyarakat dengan sihat tanpa merugikan satu sama lain. Justeru, Islam menganjurkan dalam bermasyarakat, hendaklah sentiasa bersifat ihsan, berakhlak mulia dan sentiasa memahami antara kehendak dan keperluan masing-masing.

Amat penting juga untuk menitikberatkan peranan nasihat dan sabar dalam hidup bermasyarakat. Ini kerana bergaul atau berinteraksi dengan orang lain, sudah tentu akan mengakibatkan munculnya perasaan yang berbeza-beza pada setiap peribadi.
Lantaran itu, ukhuwah yang benar dan baik adalah saling memberikan nasihat kebaikan. Firman Allah SWT: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan saling berpesan-pesan kebenaran dan saling berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-Asr: 1-3)

Kesimpulan
Pembinaan watak remaja amat berkait rapat dengan masyarakat sekelilingnya. Anggota masyarakat yang baik dan beramanah akan membina masyarakat yang hidup dalam keadaan rukun dan harmoni serta membentuk generasi yang berdisiplin, bersemangat waja dan berketerampilan.

Masyarakat yang mempunyai budaya hidup yang kucar-kacir akan mencetuskan kecelaruan dan kekeliruan dalam anggotanya. Oleh itu, ibu bapa dan anggota masyarakat sangat berperanan dalam mendidik remaja agar dapat menyesuaikan diri dengan anggota masyarakat dan menerapkan nilai-nilai murni dalam hidup bermasyarakat.

Tuesday, February 24, 2009

Contohi kegemilangan Islam Andalusia

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

PEMBINAAN negara maju hendaklah berteraskan kepada al-Quran dan al-Sunah serta nilai-nilai asas universal yang baik yang tidak bertentang dengan kedua-duanya agar sesuai dengan konsep baldatun tayyibah wa rabbun ghafur (negara yang baik dan mendapat berkah dari Allah).

Demikianlah salah satu daripada resolusi 'Seminar Baldatun Tayyibah: Model Andalusia' anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) cawangan Selangor di Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Masjid Negeri itu diisi dengan pembentangan lima kertas kerja ditutup dengan ucapan penangguhan oleh Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir.

Menurut Pengarah seminar, Rumaizi Ahmad, seminar tersebut cuba mengupas tentang tamadun Islam Andalusia dan kaitannya dengan pembinaan sebuah negara maju zaman moden berdasarkan konsep baldatun tayyibah wa rabbun ghafur sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dalam Surah Saba' ayat 15.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PUM Cawangan Selangor berkata, banyak teladan yang boleh dipelajari daripada sejarah kegemilangan tamadun Islam di Andalusia yang kini merupakan negara Sepanyol dan Portugal.
Justeru adalah sangat tepat pada masanya bagi sebuah negeri seperti Selangor ini untuk mencontohi dan meneladani Andalusia.
Kata Rumaizi, walaupun zaman yang dirujuk telah berlalu berabad lamanya namun Andalusia tetap relevan.

Ini kerana sehingga kini tidak ada negara baik di Barat mahupun Timur, waima negara Islam sendiri yang mampu mencapai seperti apa yang dicapai oleh empayar Islam Andalusia itu.
"Perkara ini tidak mustahil untuk dilakukan berikutan kedudukan demografi politik dan pola penduduknya mempunyai persamaan dengan realiti Selangor dan negara kita amnya yang multi-etnik dengan pelbagai kepercayaan agama.

"Kita boleh mempelajari bagaimana masyarakat yang pluralistik (terutama antara Islam, Kristian dan Yahudi) di Andalusia boleh hidup secara harmoni dan saling bekerjasama membangunkan sebuah tamadun yang amat memberikan sumbangan besar kepada era renaissance di Eropah kemudian hari di bawah pemerintahan yang berteraskan Islam," katanya.
Pembentangan kertas kerja dimulakan dengan tajuk 'Selangor Maju: Mengapa Andalusia?' oleh Pengerusi PUM Cawangan Selangor, Zamri Shafik.

Ia diikuti kertas kerja oleh Pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor, 'Sejarah Perkembangan dan Kejatuhan Pemerintahan Islam di Andalusia: Teladan dan Sempadan', 'Faktor-faktor Kejayaan Andalusia' oleh Felo Penyelidik, di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, Dr. Khalif Muaamar, 'Perkembangan Fiqh dan Usul di Andalusia' oleh Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, UKM, Hasnan Kasan dan 'Peranan dan Kewarganegaraan Bukan Islam di Bawah Kerajaan Islam Andalusia' oleh pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Berahim.

Sebanyak tujuh resolusi dihasilkan dalam seminar ini. Antaranya: "Dalam ruang lingkup keadilan dan kedaulatan undang-undang serta perlembagaan; menyuburkan dan meluaskan dialog dan perbincangan antara kaum dan agama demi memupuk toleransi bermasyarakat atas asas kesefahaman, keharmonian dan saling hormat-menghormati.

"Di samping menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang; mengukuhkan institusi ilmu, menyebarluaskan ilmu pengetahuan dan dakwah Islamiah serta mengangkat martabat ilmuwan khususnya ulama dan cendekiawan di semua peringkat; dan membentuk kebudayaan dan kesenian masyarakat yang menjurus kepada mendidik jiwa dan membentuk keperibadian".
Seminar tersebut menghimpunkan para ulama, cendekiawan Muslim, aktivis pertubuhan bukan kerajaan dan beberapa pemimpin politik termasuk dari luar Selangor.

Resolusi seminar itu nanti bakal diserahkan kepada Menteri Besar Selangor untuk dijadikan panduan asas membangunkan negeri sesuai dengan status Selangor Negeri Maju.
Namun apa yang penting, pihak penganjur diharapkan dapat membuku kertas-kertas kerja yang dibentangkan sepanjang seminar ini.

Ini kerana pada faktanya Andalusia, sebuah empayar yang dirakam betul dan tepat apabila pemimpinnya yang bijaksana mampu menjadikan Kota Kordoba (Cordova) memiliki hampir 600 masjid, 900 tempat mandi umum, 50 hospital dan pelbagai lagi perkembangan tamadun yang berada di puncak gemilang.

Kebijaksanaan pemimpin-pemimpin tersebut mesti dicontohi oleh para pemimpin yang ada hari ini agar kepimpinan mereka itu tidak dipersoalkan di akhirat kelak.

Andalusia, bukan menjanjikan fenomena untuk umat Islam berkhayal dan mimpi, pada mereka ada sejarah yang meminta umat sekarang mencontohi mereka. Begitu juga kegemilangan Madinah, Bani Umaiyah, Bani Abbasiah hatta kegemilangan Islam di Melaka dan di Aceh.

Jika semua sejarah ini diambil pengajaran, wajarkah umat Islam berwajah yang rata-ratanya memilukan? Ini jika kita menyebut mengenai pelarian Islam Rohingya sehinggalah yang paling lama menunggu kedamaian, Palestin!

Siti Masitah pertahankan akidah

KISAH ini berlaku di negara Mesir ketika pemerintahan Firaun yang terkenal sebagai pemerintah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Firaun ingkar kepada Allah dan membunuh sesiapa sahaja yang tidak mengakuinya sebagai tuhan. Pada ketika itu, ada seorang tukang andam istana bernama Siti Masitah yang beriman kepada Allah di istananya.

Suaminya bernama Hazaqil yang menjaga perbendaharaan kerajaan Mesir dan menjadi sahabat Firaun. Walaupun dia rapat dengan Firaun, hatinya sudah beriman kepada Allah. Pada suatu hari, Hazaqil tidak berpuas hati dengan hukuman mati yang dijatuhkan Firaun kepada 40 ahli sihir yang beriman kepada Allah. Dia berdebat dengan Firaun.

"Tuanku, saya tidak bersetuju dengan hukuman mati kepada ahli sihir kita. Walaupun mereka beriman kepada Allah, mereka sudah berjasa kepada negara Mesir." Hazaqil mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan oleh Firaun.

"Mereka dihukum mati kerana tidak mengaku beta sebagai Tuhan mereka!" Firaun kelihatan marah dengan kata-kata Hazaqil itu.

"Sekiranya kamu mempertahankan nasib ahli sihir itu, beta percaya kamu sebenarnya juga salah seorang daripada mereka yang beriman kepada Allah". Firaun mula berfikir mengapa Hazaqil mempertahankan nasib ahli sihir yang dihukum mati.

"Oleh kerana kamu salah seorang daripada mereka, beta jatuhkan hukuman mati ke atas kamu". Firaun tanpa teragak-agak menjatuhkan hukuman ke atas Hazaqil walaupun dia merupakan sahabat dan pegawai kerajaannya.

Hazaqil terus ditangkap oleh pegawai Firaun dan dibawa keluar dari istana. Dia diikat pada sebatang pohon kurma dan dipanah oleh pengawal Firaun sehingga mati. Kematian Hazaqil membuatkan hati Siti Masitah tidak tenteram dan hatinya semakin benci melihat muka Firaun yang membunuh suaminya.

Pada suatu pagi, Siti Masitah menyikat rambut puteri Firaun di bilik tidur. Pada mulanya dia menumpukan perhatian menyikat rambut puteri Firaun. Tiba-tiba hatinya teringat kepada Hazaqil yang mati dibunuh oleh Firaun kerana beriman kepada Allah. Jiwanya mula menjadi keluh resah sehingga dia hilang tumpuan. Justeru, sikat yang sedang dipegangnya terjatuh ke lantai.
"Allah". Kata Siti Masitah, lalu mengambil sikat dari lantai.

"Kamu akan dihukum kerana berkata begitu! Adakah tuhan lain selain bapa beta?" puteri Firaun bertanya kepada Siti Masitah dengan keras.

Siti Masitah tidak memohon maaf atas kata-katanya itu. Dia juga menyatakan ada tuhan lain yang patut disembah dan bukan bapanya.

Puteri Firaun terus mendapatkan ayahnya dan mengadu tentang apa yang diucapkan oleh Siti Masitah kepada Firaun. Firaun menjadi marah lalu memanggil Siti Masitah bagi dibicarakan.
"Siapakah Tuhan kamu?" bergema suara Firaun menakutkan Siti Masitah yang berdiri di hadapannya.

"Tuhan saya Allah," balas Siti Masitah dengan tenang dan berani.

"Kamu akan dijatuhkan hukuman berat atas kesalahan menghina beta!" Firaun memerintahkan pengawal memasak minyak panas di dalam sebuah kuali besar. Firaun juga memerintahkan tenteranya memanggil rakyatnya berkumpul dan melihat hukuman yang bakal dilaksanakan kepada Siti Masitah.

"Dengar rakyat semua, inilah hukuman kepada orang yang tidak mengaku beta sebagai Tuhan." Firaun terus memandang Siti Masitah. Dia berkata, "Beta berikan satu peluang terakhir kepada kamu, adakah kamu mengaku beta sebagai tuhan kamu?"

Sebelum Siti Masitah menjawab, syaitan datang lalu membisikkan hasutan di hatinya. "Kamu tidak sayang nyawa anak-anak kamu. Kamu tidak kasihan kepada bayi yang masih kecil itu.

Beta tidak akan hukum kamu sekiranya kamu mengaku beta sebagai tuhan." Siti Masitah mula berjalan menaiki tangga menuju ke kuali besar yang berisi minyak mendidih.

"Wahai ibu, janganlah terpedaya dengan kata-kata syaitan yang dilaknat Allah. Kematian kita mendapat rahmat daripada Allah dan pintu syurga terbuka menanti kedatangan kita," tiba-tiba, bayi dalam gendongan Siti Masitah berkata dengan izin Allah.

"Allahhu Akbar!" teriak Siti Masitah lalu terjun bersama dua orang anaknya ke dalam kuali besar berisi minyak mendidih itu.

Rakyat Mesir yang hadir melihat kejadian itu terhenti nafas seketika melihat keimanan Siti Masitah dan dua orang anaknya yang rela berkorban demi mempertahankan kebenaran agama Allah. Tiba-tiba mereka tercium bau wangian harum keluar dari periuk besar berisi minyak mendidih itu apabila Siti Masitah dan dua orang anaknya menghembuskan nafas terakhir di dalam minyak mendidih itu.

Keteguhan iman Siti Masitah sekeluarga tidak disembunyikan daripada pengetahuan Firaun. Mereka berterus terang dan mendapat hukuman Firaun kerana mengejar cinta Allah yang lebih agung dan yang lebih dirindui.

Program Bulan Dakwah dekati umat Islam

BULAN Dakwah yang dihidupkan semula selepas 30 tahun dan dilancarkan minggu lepas mengambil pendekatan berbeza yang mencakupi pelbagai aktiviti untuk berlainan kumpulan sasaran, dengan satu tujuan -- mengubah mentaliti masyarakat bahawa dakwah itu hanya dalam bentuk ceramah, syarahan dan forum yang dianjurkan di masjid dan surau.

Selama sebulan setengah dari 15 Februari hingga 31 Mac di peringkat kebangsaan, program yang diatur dibahagikan kepada dua - pendekatan tradisional dan bukan tradisional.

"Gambaran bahawa ustaz dan ustazah, tok lebai dan tok guru sahaja yang dipikulkan dengan tanggungjawab itu patut diubah kerana amanah dakwah tergalas di bahu semua umat Islam sebagaimana hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud "sampaikanlah dariku walaupun satu ayat," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa prapelancaran bulan dakwah peringkat kebangsaan di Putrajaya, baru-baru ini.

Dr. Ahmad Zahid mahu mengubah mentaliti masyarakat Islam terhadap tanggapan sebegitu melalui pendekatan "Dakwah Bil Hal" iaitu dengan kaedah teori dan praktikal yang lebih mudah difahami dan diterima masyarakat.

Disebabkan itu, sambutan Bulan Dakwah 2009 meliputi program berbentuk kemasyarakatan, keilmuan, kesihatan, kesenian, keusahawanan, kebudayaan, kekeluargaan dan pendidikan.
Pendekatan ini cuba memberi kefahaman kepada masyarakat Islam tentang peranan mereka sebagai pendakwah dan status sebagai Khaira Ummah (umat terbaik)

Masyarakat berbeza

Beliau berkata, perubahan pendekatan ini disebabkan kelompok masyarakat yang ada pada 30 tahun lalu (Bulan Dakwah pertama kali diadakan pada 1978) amat berbeza dengan komuniti masyarakat masa kini kerana sosiobudaya dan sosioekonominya telah melalui pelbagai proses dinamika yang mempengaruhi kehidupan masyarakat.

Katanya, saudara baru atau para mualaf yang mendapat Nur Islam juga memerlukan model contoh yang tepat dalam kalangan masyarakat Islam dan rasa kebolehpercayaan ini tidak akan dapat dibina jika masyarakat Islam sendiri lemah dan tidak progresif, miskin dan berpecah belah.

Dakwah ialah suatu gerakan massa yang tidak boleh mengecualikan walau seorang pun anggota masyarakat, tegas beliau.

Tingkah laku dan adab seorang Islam akan dinilai dan diperhati, maka itu Bulan Dakwah ini merupakan program mega, pertama di peringkat kebangsaan, dan akan diperluas ke negeri-negeri bermula dengan Perlis pada 23 Feb dan lain-lain mulai Mac.
Aktiviti keseluruhannya dijadual berlanjutan sehingga November.

10 kluster dengan pemimpin

Program yang dilaksanakan berasaskan kepada 10 kluster:
l Akidah dan Pegangan Hidup dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
l Perpaduan Ummah di bawah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
l Kekeluargaan di bawah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
l Pendidikan dan Dakwah di bawah Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pelajaran.
l Ekonomi dan Keusahawanan di bawah Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.
l Kesihatan dan Kebersihan Alam Sekitar di bawah Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan.

Sains dan Teknologi di bawah Universiti Malaya

Kebajikan dan Masyarakat Prihatin di bawah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Keselamatan dan Perundangan di bawah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri serta Kesenian dan Kebudayaan di bawah seorang senator.
Tidak stereotaip

Antara aktiviti yang dikatakan tidak stereotaip dalam menyampaikan mesej dakwah kali ini ialah Kembara Dakwah Bermotosikal yang melibatkan 400 peserta remaja, belia, kakitangan kerajaan dan orang perseorangan.

Mengikut Takwim Bulan Dakwah yang diedarkan, pengembaraan peringkat pertama kumpulan konvoi ini bermula dari Masjid Negara pada 22 Feb dan akan melalui Bandar Raya Melaka, Tanjung Keling, Segamat, Gemas, Palong, Bahau, Kuala Pilah, Seremban sebelum berakhir di di Kuala Lumpur pada 26 Feb.

Di sepanjang penjelajahan itu, mereka akan melakukan khidmat bakti memelihara alam sekitar, membersihkan masjid, melawat hospital, mengadakan ceramah motivasi, sukaneka, senamrobik, persembahan nasyid dan sebagainya, yang kesemuanya bertujuan melibatkan peserta dan masyarakat kepada nilai murni dan aspek disiplin untuk cemerlang di dunia dan akhirat.
Di Sabah dan Sarawak akan diadakan Ekspedisi Dakwah di Kampung Nakadong, Ulu Sugut Sabah pada 23-26 Feb dan di Kampung Salong Pagalungan, Pensiangan pada 2 hingga 4 Mac manakala di Sarawak, ekspedisi akan melibatkan kawasan Kuching, Debak, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit dan Belaga pada 1 hingga 12 April.

Program ini diharapkan dapat membina tautan ukhuwah dalam kalangan peserta, sambil mendekati dan memahami masyarakat Islam pelbagai suku kaum dan budaya di kawasan luar bandar serta memberi pendedahan kepentingan pendidikan dan kesihatan kepada masyarakat luar bandar.

Di Sarawak, sekurang-kurangnya 70 sukarelawan akan mengambil bahagian, terdiri daripada anggota Majlis Amal Islam Malaysia (Maim) sementara di Sabah akan disertai pelbagai agensi seperti JPA3, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Pertubuhan Islam seluruh Sabah, Jabatan Kemajuan Islam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Khidmat sosial

Program Khidmat Sosial (OPS-Tautan Kasih) pula merupakan program khidmat masyarakat yang diadakan di tiga zon - utara, timur dan selatan - melibatkan anggota sukarelawan Al-Falah di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) , sekretariat induk Bulan Dakwah.
Para peserta program akan tinggal di rumah keluarga angkat di kampung-kampung terpilih, Mereka akan membina rumah keluarga termiskin di situ secara bergotong royong dengan Angkatan Tentera Malaysia dan penduduk setempat, mengadakan aktiviti semarakkan masjid dengan membaiki masjid atau surau, mengecat, menanam bunga dan mencantikkan kawasan sekitarnya, mengadakan klinik solat dan Forum Perdana Ehwal Islam.

Di bawah aktiviti kesenian dan kebudayaan, Takwim Bualan Dakwah itu menetapkan sepanjang Mac hingga Julai, akan diadakan penilaian pelbagai karya seni dalam empat kategori - skrip drama, lagu, filem animasi dan filem pendek - untuk Anugerah Karya Seni Berunsur Dakwah.
Penganjurannya diharapkan menjadi medium penting dalam mendidik masyarakat tentang keperluan menghasilkan bentuk seni dan hiburan dalam lunas-lunas Islam.

Fokus

Sepanjang Bulan Dakwah ini, kem solat dan kem motivasi akan diutamakan untuk semua peringkat umur tetapi fokus kepada remaja dilebihkan dalam usaha menangani masalah sosial yang melibatkan mereka seperti penagihan dadah, gengsterisme, seks bebas, pengguguran bayi dan hedonisme.

Melalui program seperti itu diharapkan jati diri mereka dapat diperkukuh dan menerapkan semula amalan mulia Islam dalam diri generasi muda.

Bagi penjelasan mengenai akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang masih belum difahami sepenuhnya oleh umat Islam, seminar serantau Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah akan diadakan selama tiga hari di peringkat kebangsaan mulai 19 Feb dan dilanjutkan ke beberapa negeri.
Untuk hubungan antara agama, dialog tertutup "Ke arah Masyarakat Yang Aman dan Harmoni" akan diadakan yang melibatkan golongan intelektual dan tokoh agama yang membincangkan isu semasa serta mencari mekanisme persefahaman terhadap pelbagai persoalan global dan tempatan.

Karnival Halal di tiga negeri - Melaka, Terengganu dan Pulau Pinang - selain mempromosi industri makanan halal, akan turut mengadakan program "Keselamatan dan Mutu Makanan" menerusi konsep "Halalan Toyyiban", kempen derma darah dan tidak merokok serta pencegahan HIV/Aids.

Sains dan teknologi

Hadis Rasullullah s.a.w.: "Barang siapa menginginkan dunia, dia harus berilmu, barang siapa menginginkan akhirat dia harus berilmu dan barang siapa yang menginginkan kedua-duanya maka dia harus berilmu".

Sehubungan itu, di bawah kluster sains dan teknologi, beberapa program diatur bagi memenuhi tuntutan masyarakat Islam yang ingin mengikuti perkembangan semasa sains dan teknologi. seperti Antarabangsa, sambutan Hari Hutan Sedunia dan sambutan Hari Air Sedunia, kedua-duanya menurut perspektif sains dan agama, Kem Memahami Kepentingan Solat menurut perspektif Islam dan sains, serta seminar Keajaiban Al-Quran dari sudut sains.

Selain aktiviti kebajikan semasa ekspedisi ke negeri-negeri, Bulan Dakwah ini juga banyak mengatur program di rumah kebajikan melalui "Program Masih Ada Yang Sayang" dan "Tautan Kasih Warga Emas", kursus keibubapaan di Rumah Tunas Harapan dan menganjurkan seminar keganasan rumah tangga dan hak wanita, keluarga bahagia dan seminar saudara Muslim.

Selain yang dinyatakan, program Bulan Dakwah ini begitu menyeluruh melibatkan rancangan bual bicara dan forum di televisyen dan radio, khutbah, bengkel penghayatan Islam, multaqa dan wacana, kursus dan program motivasi, lawatan, acara larian dan perhimpunan dakwah, dengan harapan dapat melibatkan serta memanfatkan seluruh umat Islam di Malaysia.
-- BERNAMA

Berjayakah Amerika dan Zionis diboikot?

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SEWAJARNYA kerana Palestin kita sanggup melakukan apa sahaja, hatta mengangkat senjata bagi beradu jantan dengan pihak Israel kerana telah terang-terangan memerangi Islam. Tidak ada rasionalnya di sebalik perbuatan hampir 60 tahun mereka mencabuli kedaulatan dan hak-hak kemanusiaan penduduk Islam.

Justeru itu, sebagai pengguna, kempen memboikot produk dan perkhidmatan daripada sekutu rapat Yahudi terutamanya Amerika Syarikat (AS) sewajarnya dapat dijayakan tanpa sebarang masalah, kerana ia lebih mudah, tiada risiko dan tidak menjadi satu kesalahan.

Mengapa untuk tindakan seperti ini hendak diragukan? Telah terbukti boikot seperti ini tidak mustahil kerana telah ada pihak yang terkesan dengan tindakan seperti ini sebelum ini.
Jenama makanan segera yang terkenal dengan kepelbagaian jenis burger, syarikat XXX terpaksa menutup operasi mereka di kebanyakan negara di Asia Tengah pada tahun 2002 kerana kerugian akibat kesan secara langsung daripada usaha boikot.

Di Jordan sahaja, dua daripada enam francais makanan segera ini terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Di salah sebuah negara di Asia Barat, syarikat XXX itu terpaksa menukar jenama mereka kepada Manfoods sebagai usaha untuk mengelirukan pelanggan.

Namun usaha ini tidak berjaya dilakukan dan ini menyebabkan pihak berkuasa negara itu terpaksa diarahkan mengawal rangkaian restoran XXX akibat tindakan masyarakat yang membaling batu ke arah restoran berkenaan.

Tetapi apa salahnya Syarikat XXX ini? Pemimpin utama syarikat itu, tidak sahaja lahir sebagai Yahudi, tetapi beliau juga merupakan Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce and Industry yang menjadikan syarikat yang diterajuinya itu "rakan korporat utama" kepada Jewish United Fund (JUF).

JUF pula telah menggelarkan diri mereka sebagai bekerja untuk ketenteraan Amerika, sokongan ekonomi dan diplomatik kepada Israel serta memerhati dan sekiranya perlu, memberi respons kepada laporan media.

Sekiranya syarikat gergasi seperti XXX boleh menerima kesan dan tekanan akibat boikot, sudah tentu syarikat-syarikat yang lebih kecil, yang menyokong Israel, akan membuka mata dan berhati-hati dengan usaha boikot ini.

Kita seharusnya mengambil situasi ini sebagai peluang untuk membina ekonomi sendiri, bukan kehilangan punca ekonomi.

Sebagai contoh, minuman kola terkenal yang sekian lama mendominasi pasaran Asia Tengah telah mengalami kemerosotan jualan sehingga 60 peratus akibat boikot. Kemerosotan ini telah membuka peluang kepada produk alternatif milik perniagaan Muslim dari Iran, Zam Zam Cola. Apa yang tidak disangka berlaku, syarikat ini tidak dapat menampung permintaan bagi memenuhi kekosongan pasaran minuman itu.

Mereka berjaya menjual sebanyak 4 juta tin minuman dalam minggu pertama, sesuatu yang tidak sekali-kali dijangka. Sekarang? Zam Zam Cola meluaskan perniagaan dengan membuka kilang-kilang di negara-negara Teluk, sekali gus memberi peluang pekerjaan yang jauh lebih menyeluruh kepada masyarakat. Buat pertama kalinya sebuah negara dari Eropah, iaitu Denmark. mula mengimport Zam Zam Cola.

Dalam kes memboikot ini juga, Amazon.com pula, iaitu perniagaan menjual buku dan produk berkaitan melalui Internet, telah menghentikan kerjasama dengan Jerusalem Post pada bulan November 2002. Ini apabila Jerusalem Post telah menyumbang sebahagian daripada keuntungan hasil kerjasama dengan Amazon.com kepada tentera Israel yang pulang daripada tugasan mereka di daerah Palestin.

Ketika itu iklan-iklan Amazon.com yang berbunyi "Buy Amazon.com & Support Israel " dipaparkan dalam hampir setiap muka surat Jerusalem Post. Amazon akhirnya dikatakan memberhentikan kerjasama tersebut akibat desakan pelanggan yang prihatin.
Beberapa syarikat di AS yang tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap Palestin, turut membuat keputusan untuk memboikot Israel .

Pada bulan Mei 2002, Texas Automotive Export, iaitu sebuah syarikat di AS yang mengeksport peralatan kereta telah memutuskan untuk tidak meneruskan perniagaan mereka dengan Israel .
Kejayaan dan sambutan boikot memang membimbangkan AS dan Israel, sehinggakan AS mengancam untuk mengenakan denda terhadap syarikat yang terlibat dengan boikot ini. Jabatan Perdagangan AS telah mengenakan lebih daripada AS$26 juta denda serta tidak lagi mengeluarkan lesen eksport kepada syarikat yang terlibat.

Pensyarah Kanan di Bidang Kemanusiaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, Dr. Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, tidak dinafikan boikot merupakan salah satu kaedah untuk mengajar pihak Zionis itu, cuma umat Islam harus bersatu dan senada dalam memboikot barangan mereka secara berterusan bukan secara bermusim.

"Ini kerana usaha yang telah dilakukan sejak dulu lagi, ibarat melepaskan batuk di tangga sahaja. Yang menariknya bila ramai orang hendak memboikot, masyarakat pun beria-ia hendak memboikot juga, tapi malangnya produk rokok pelbagai jenama dari AS seperti tercicir ataupun sengaja dicicirkan daripada senarai pemboikotan tersebut," katanya.

Menurut Dr. Zaharuddin lagi, pengharaman berurusniaga atau memboikot melalui fatwa adalah satu cara bagi memastikan usaha ini dapat dijayakan sebagaimana Iran mengeluarkan fatwa diketuai Ayatollah Ali Khamenei yang mengharamkan terus segala urusan perniagaan yang berkaitan dengan Israel.

"Kalau sebelum ini Majlis Fatwa Kebangsaan menimbulkan isu pengharaman Yoga, kenapa tidak untuk pengharaman barangan dari negara Zionis yang secara terang dan nyata melakukan kekejaman yang bertentangan dengan ajaran semua agama," katanya.

Usaha memboikot barangan Israel dan sekutunya kata Dr. Zaharuddin boleh dianggap sebagai satu jihad di jalan Allah.

"Usaha memboikot barangan mereka ini adalah lebih baik berbanding daripada sumpah seranah serta memaki hamun mereka," katanya.

Beliau tidak menafikan antara kekangan bagi menjayakan boikot ini, sikap kaum-kaum lain, yang bertindak sepi atau tidak mengambil peduli dengan beranggapan, isu ini hanya melibatkan masyarakat Islam.

Dr. Zaharuddin turut menyenaraikan beberapa kekangan atau kelemahan utama dalam kempen pemboikotan produk Israel dan sekutunya, iaitu;

l Kekurangan hasil tempatan yang produktif, berkualiti dan berdaya saing di peringkat tempatan mahupun global.

l Persepsi pengguna terhadap barangan keluaran tempatan terutamanya barangan bumiputera yang agak dingin.

l Sistem pemasaran dan pengiklanan yang tidak cekap terutama daripada pengusaha bumiputera.

Namun beliau lebih menggesa individu serta pertubuhan yang ingin memboikot produk Israel dan sekutunya supaya menoleh seketika sejarah, terutamanya apa yang pernah dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah SAW.

"Bahkan ketika Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, Baginda tidak pernah melakukan pemboikotan ekonomi kepada Yahudi yang menguasai pasar di Madinah tetapi Baginda memecahkan monopoli Yahudi dengan mengajak para sahabatnya ikut serta dalam perniagaan sehinggakan ekonomi Madinah dikuasai sepenuhnya oleh kaum Muslimin," katanya.

Dr. Zaharuddin meminta supaya produk tempatan harus dipertingkatkan kualiti serta berdaya saing, bukan sahaja dari segi mutu, malah dari segi harga.

"Maka inilah kaedah terbaik dalam melaksanakan embargo serta menghancurkan ekonomi Zionis, bukan sekadar mengangkat sepanduk menyeru pemboikotan produk keluaran Israel dan sekutunya.

"Konsep muamalah itu sebenarnya wujud tanpa paksaan. Cuma kita harus bertukar kempen, dari kempen memboikot ke kempen membeli… Belilah Barangan Buatan Muslim!" katanya.

Orang Malaysia terus boikot

PENULIS sendiri sebagai pengguna ‘aktif’, sehingga kini menjadikan boikot terhadap produk berjenama AS dan sekutunya itu menjadi sebahagian gaya hidup!

Mungkin tidak 100 peratus tetapi yang termampu termasuk tidak lagi singgah di sebarang restoran makanan segera berjenama barat, boikot tetap penulis boikot!

Sementara tinjauan rambang di sekitar restoran-restoran itu berbanding sebelum kempen seperti ini dilancarkan, penulis dapati ternyata boikot itu ada kesannya.

Ini termasuk ketika penulis tiba pada waktu sebelum sehingga selepas makan tengah hari di sebuah restoran tersebut di KL Sentral. Seperti yang menjadi telahan, penulis dapati hanya terdapat segelintir umat Islam yang mengunjungi restoran tersebut untuk mengisi perut.
Hatta ketika waktu puncak pada tengah hari itu, didapati umat Islam yang menjamu selera boleh dibilang jari!

Begitupun di sebuah premis kafe kopi segera, didapati ada juga umat Islam yang menjadi pelanggan, tetapi sangka baiknya mungkin atas tujuan perbincangan perniagaan dan seumpamanya, lebih-lebih lagi dengan rakan bukan Islam, kafe itu dirasakan mungkin lebih selesa.

Sementara itu, Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Noor Nirwandy Mat Noordin berkata kempen boikot ini telah berjaya membuktikan masyarakat pengguna (Islam khususnya) di negara ini berupaya melakukannya bagi membantah tindakan kejam Israel.

“Maklum balas positif juga diterima daripada mereka yang berikrar untuk terus memboikot produk Yahudi.

“Kempen boikot terpilih produk Yahudi ini telah membuka dimensi baru kepada mentaliti masyarakat pengguna Islam berhubung kuasa pengguna,” katanya.

Laman Web PPIM (www.muslimcons) sendiri tidak putus-putus dikunjungi sehingga kini terutama bagi pengunjung mendapatkan senarai produk-produk yang mesti kita boikot.

YAANM tidak sendirian bela anak yatim

Oleh AZMI ABDUL MALEK

MEMEGANG amanah menjaga dan membesarkan anak yatim bukanlah satu usaha yang mudah kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

Tambahan pula anak yatim terbabit masih mentah dan perlukan kasih-sayang sepanjang masa.
Pengurus pusat anak yatim mestilah sanggup mengasuh mereka dengan baik serta mengatasi segala macam masalah dihadapi.

Malah kakitangan pusat terbabit harus sanggup menjadi ayah dan ibu yang sentiasa mendengar rintihan dan kepayahan hidup mereka.

Inilah yang dilalui 10 kakitangan Yayasan Amanah An-Nur Maisarah (YAANM) yang diketuai pengerusinya, Dr. Fazillah Nordin.

Dr. Fazillah adalah orang yang bertanggungjawab menjaga beberapa anak yatim antara usia dua bulan hinggalah ke peringkat usia remaja.

Selain dijaga aspek pemakanan mereka, anak yatim ini juga diberi pendidikan sempurna setanding dengan kanak-kanak lain yang masih mempunyai ibu dan bapa.

Yayasan itu yang diamanahkan kepada Jeneral (B), Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid, Datuk Dr. Razak Kechik dan Dr. Fazillah sendiri memulakan operasi mengambil anak yatim sejak enam tahun lalu.

Sehingga kini seramai enam penghuni pusat itu berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.

Mohd. Imran Mohd. Noor, Nurul Liyana Abd. Aziz dan Siti Khatijah Abd. Rahman sedang menuntut di Kolej Teknologi Bestari, Setiu, Terengganu dalam jurusan kejururawatan.
Manakala Zamhaliza Osman, (Multimedia) dan Nurul Wahida Mohd. Noor (Pentadbiran Perniagaan) di kolej yang sama.

Mohd. Shafiq Mohd. Som mengambil jurusan Landskap di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Zairul Attifi sedanmg mengikuti bidang kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pertak, Kuala Kubu Baru, Selangor dalam jurusan pastri.

Yayasan itu kini menjaga tiga orang bayi berumur dua bulan hingga setahun iaitu Nur Ahmad Rizqi (dua bulan), Nur Iman (tujuh bulan) dan Nazimuddin Mustaqimbillah (setahun) berikutan kesempitan hidup keluarga dan kematian bapa.

Dr. Fazillah berkata, yayasan berkenaan mempunyai 56 anak yatim dan miskin dari seluruh negara.

"Sejak ditubuhkan enam tahun lalu, yayasan itu berjaya mendidik anak yatim dalam bidang akademik sehingga enam daripada mereka melanjutkan pelajaran di menara gading," katanya ketika ditemui di YAANM, Chemor, Perak baru-baru ini.

Katanya, seramai 11 penghuni yayasan itu turut berjaya belajar di sekolah asrama penuh dan selebihnya dihantar ke sekolah berdekatan.

"Kami mahu mereka berjaya dalam akademik, sekali gus dapat merubah kehidupan masa depan keluarga masing-masing," katanya.

Pelbagai aktiviti diatur sepanjang hari supaya mereka memenuhi tanggungjawab masing-masing kepada yayasan berkenaan.

Setiap Sabtu dan Ahad rutin mereka bermula dengan solat Subuh sebelum melakukan senaman, mengemas kawasan, bersarapan dan mengulangkaji pelajaran.

Selepas makan tengah hari mereka menyambung aktiviti dengan mengulangkaji pelajaran dari pukul 4 hingga 7 petang.

Selepas solat Maghrib mereka makan malam dan mengulangkaji pelajaran sehingga pukul 10.30 malam.

Pada hari persekolahan, setiap penghuni akan ke sekolah selepas solat Subuh dan bersarapan kira-kira pukul 7.15 pagi.

Mereka akan menjalani kegiatan mengikut jadual harian sebelah petang pada hari Sabtu dan Ahad kecuali sekiranya ada kegiatan kokurikulum di sekolah.

Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengadakan kelas motivasi diri, teknik menjawab soalan peperiksaan dan fardu ain dua kali sebulan.

Sementara Kolej Komuniti Sungai Siput turut mengadakan program pengurusan diri selama lapan jam setiap minggu selain kelas fardu ain, Bahasa Inggeris dan komputer.

Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor pula memperkenalkan reka bentuk landskap dan gerakan minda selama tiga hari di kampus itu pada setiap tiga bulan.
Pada setiap hujung tahun Kolej Taj, Ipoh turut mengadakan kursus komputer kepada beberapa penghuni yayasan itu selama sebulan.

Sementara itu, Dr. Fazillah berkata, beliau sentiasa mengharapkan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pengurusan dan perbelanjaan makan minum penghuni di situ yang dianggarkan lebih RM30,000 sebulan.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya menyumbang RM20,000 setahun, manakala selebihnya disumbangkan pemegang amanah dan orang ramai.
Sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan boleh datang ke yayasan berkenaan atau menghubungi telefon 05-2014 423.

Katanya, setakat ini kanak-kanak di situ diasuh 10 kakitangan tetap termasuk beliau sendiri mengikut peraturan dan disiplin yang ditetapkan.

Sementara itu Dewan Industri Buku Melayu Malaysia (DIBMM) terus menyumbang buku kepada YAANM, di Batu 9, Jalan Ipoh Chemor, Chemor, Perak, baru-baru ini dalam usaha membantu meningkatkan bahan bacaan di perpustakaan pusat anak yatim dan miskin berkenaan.

Presidennya, Datuk Abdul Ghani Ngah berkata, anak yatim perlu diberi ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat menara gading supaya mereka dapat menaiki taraf hidup diri masing-masing apabila dewasa nanti.

Sehubungan itu beliau berkata, golongan korporat bertanggungjawab membantu mereka mencapai matlamat hidup yang diperlukan.

"Salah satu caranya ialah menggalakkan mereka belajar sehingga berjaya lulus di peringkat ijazah dan memperoleh jawatan penting suatu masa nanti," katanya selepas menyampaikan sumbangan buku bernilai kira-kira RM1,000 kepada perpustakaan YAANM, baru-baru ini.
Abdul Ghani berkata, selain menjalankan perniagaan berkaitan buku bacaan, DIBMM turut menyempurnakan tanggungjawab sosialnya kepada golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, setakat ini DIBMM telah menyumbangkan buku di pusat sumber sekolah dan anak yatim untuk membantu kerajaan meningkatkan taraf pendidikan rakyat, sekali gus mengubah status kehidupan mereka suatu masa nanti.

Beliau berharap penerima sumbangan ini dapat menggunakan kemudahan disediakan dengan baik supaya matlamat utamanya tercapai.

Jalan-jalan keberkatan

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

MANUSIA memang mencari keberkatan. Kerana keberkatan memberikan kepuasan. Kepuasan pada hati sehingga mententeramkan jiwa, melegakan emosi dan menenangkan minda. Tanpa keberkatan, maka manusia tidak merasa lega dan puas. Bak mereguk air laut kala dahaga, makin diminum makin haus jadinya.

Allah SWT menyatakan yang bermaksud: Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: 'Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun'. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 155 - 157)

Betapa bertuahnya orang Islam, kerana Allah SWT telah memberikan suatu cara bagi mendapat berkat pada harta. Bahkan, ia membuka jalan keberkatan pada hidup dan keluarga. Itulah namanya sedekah, infak dan zakat. Berkat pada zakat misalnya, amat besar kesannya.

Ia bisa menatijahkan kesejahteraan yang berpanjangan walau di mana sahaja kita berada. Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya," (Sebahagian hadis Riwayat Ahmad)

Berkat pada zakat ibarat baja pada pokok. Fungsi baja menyuburkan pokok, agar pokok yang ditanam hidup subur, tegak menjulang ke langit dan akarnya kuat mencengkam bumi. Dahannya kukuh dan rantingnya tidak rapuh. Daunnya subur hijau merimbun dan meneduhkan. Paling akhir, pokok itu akan berbunga dan berbuah lebat, masak meranum dan mengenyangkan ramai orang.

Maka, demikianlah fungsi zakat pada harta manusia. Zakat memberikan kesuburan kepada harta. Kesuburan dalam bentuk yang tidak nampak lahiriahnya, namun ditandai dengan pelbagai perkara. Harta kita tidak cepat rosak, tahan bertahun lamanya diguna. Ia juga memberikan manfaat kepada ramai orang.

Harta-harta kita juga terselamat daripada nafsu rakus manusia, tidak dicuri dan disamun. Bahkan harta itu juga dapat membawa kita kepada jalan mendekati Allah SWT; bukan sebaliknya. Rasulullah SAW pernah memperihalkan harta dan keberkatannya. Kata nabi: "Kawallah keselamatan harta benda kamu dengan benteng- benteng zakat". (riwayat Abu Daud)
Terdapat beberapa kaedah yang tepat untuk beroleh berkat pada harta, iaitu:
lMemastikan harta yang diperoleh itu menerusi jalan yang halal lagi berkat. Ini kerana jika jalannya halal namun tidak menjaga syariat yang lain, misalnya sengaja membuka aurat atau meninggalkan solat, maka rezeki itu halal tetapi tidak berkat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. (al-Baqarah: 168)

lMemastikan amanah harta ditunaikan secara sepatutnya. Amanah harta antara lain ialah menyalurkannya kepada tanggungan kita yang berhak, misalnya kepada ibu bapa dan anak isteri. Amanah harta juga ialah memastikan ia tidak disalah guna, misalnya dibelanjakan ke meja judi atau membeli keseronokan duniawi semata-mata. Infak, zakat dan sedekah juga adalah amanah harta.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (ali-'Imran: 92)

lMenunaikan hak yang wujud pada harta dengan ikhlas tanpa riak dan sombong. Ini kerana, Allah SWT amat membenci golongan yang memberi tetapi hatinya diselaputi rasa sombong, perasaannya penuh riak dan mengharapkan pujian daripada orang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. (an-Nisa': 36)

Sudah jelas kepada kita, bahawa Islam mendidik kita agar berhemah dalam kehidupan. Anjuran Islam sama ada supaya kita suka berderma, bersedekah, berinfak dan berzakat, hakikatnya adalah demi kebaikan kita kembali. Ini kerana, itu adalah jalan menuju kesejahteraan hakiki.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah. (al-Lail: 5 - 7)

Maka, terpulanglah kepada kita cara untuk mengambil keberkatan itu. Petunjuk sudah di hadapan, tinggal kaki melangkah membuat pilihan. Wallahua'lam.

Doa mohon ditambahkan ilmu

WAHAI Tuhanku, tambahkanlah ilmuku. (Taha: 114)Keterangan AyatMenurut al-Tibi, ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat yang sebelumnya.

Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya yang menimbulkan rasa kagum kepada sesiapa yang memahami ayat-ayat Allah. Disebabkan perkara itu, maka agungkanlah Allah dan bersungguh-sungguh untuk menghafaz ayat-ayat-Nya tetapi jangan tergopoh-gapah.

Nabi SAW para peringkat awal diturunkan wahyu sentiasa mengikut Jibrail a.s. membaca al-Quran sebelum Jibrail berhenti. Perkara ini dilakukan oleh Nabi kerana takut Jibrail pergi sebelum Baginda dapat mengikut kesemuanya.

Allah SWT menurunkan ayat ke-114 ini untuk menegur kesilapan Nabi SAW itu kerana ia mungkin menyebabkan Nabi tidak dapat mengikuti apa yang akan dibacakan seterusnya.
Kemudian Allah SWT mengajarkan Nabi Muhammad SAW agar berdoa meminta Allah menyemarak dan menambahkan ilmu Baginda. (Tafsir Ruhil Ma’ani, ayat ke 114 surah Taha)
Khasiat dan kaifiat beramal

Menurut al-Imam Ibnu Badis al-Sanhaji, hati tidak akan sekali-kali memperoleh apa yang sedang dipelajari sehinggalah lidah berhenti daripada berkata-kata. Dengan sebab itu, seseorang pelajar hendaklah mendiamkan diri daripada berkata-kata sama ada secara jelas atau berbisik semasa proses pembelajaran berlaku. (Tafsir Ibnu Badis, tafsir ayat 114, surah Taha)

Perkara ini patut menjadi amalan semua golongan. Tidak terbatas kepada para pelajar sahaja malah setiap orang yang berkomunikasi dan berinteraksi. Inilah tips dan petua menyelamatkan keadaan daripada berlakunya silap faham dalam hubungan suami isteri, dengan kawan-kawan di tempat kerja, dalam perdebatan dan lain-lain. (Tafsir Ibnu Badeis, tafsir ayat 114, surah Taha).

Saturday, February 21, 2009

Tak salah jadi tabligh tapi...

SOALAN
Tidak lama selepas pencen sebagai pengurus di cawangan sebuah bank, suami saya didatangi oleh seorang lelaki berjubah hijau, berserban mengajaknya masuk tabligh. Seperti yang lepas-lepas dia menolak, hendak rehat dahulu, rehat-rehat dengan anak dan keluarga, setelah bekerja lebih daripada 35 tahun. 

Setelah beberapa kali dipujuk, seumpama dipaksa, akhirnya suami saya ikut kumpulan tabligh. Mula-mula pergi seminggu. Balik ke rumah sebulan, kemudian pergi lagi. Kali ketiga pergi paling lama, lebih sebulan. Mula-mula ada menelefon, tetapi lama-lama tidak memberi khabar. Alih-alih sudah ada di rumah.

Saya menjadi kebingungan. Lebih daripada setahun setengah keadaan seperti ini berlaku Anak tidak dipedulikan. Tidak pernah menjenguk buku pelajaran, jauh sekali mengajar muqaddam pada dua anak yang masih kecil. Saya masih muda, 35 tahun, perlukan kasih sayang, keyakinan diri dan keselamatan.

Sebagai seorang guru, kedua-dua anak saya di tinggalkan dengan pembantu rumah yang saya tidak berapa yakin dengan kerjanya. Suami selalu tidak ada di rumah. Biarpun wang belanja tidak diberi, saya reda kerana saya ada gaji. Sebelum ini kami tidak ada masalah, sejak suami masuk tabligh, rumah tangga seumpama terabai, tidak menentu. Kedatangan ketua kumpulan tabligh berjubah hijau menjadikan saya fobia. 

- Guru bingung, Sepang, Selangor.

Jawapan:
Sumbangan mubaligh dalam usaha menyebarkan Islam, di Semenanjung, di Sabah, Sarawak, juga di Nusantara begitu besar, termasuk dalam golongan ini ialah ahli-ahli sufi, yang akhirnya menjadi penulis diraja, pengarang kitab dan wartawan, mendirikan pondok, sekolah-sekolah Arab dan sebagainya.

Daripada kalangan mereka inilah yang memberi sumbangan dalam memperkayakan perbendaharaan kata Melayu, yang diambil daripada istilah-istilah Arab, yang merangkumi istilah fiqah, tauhid, pertuturan harian dan sebagainya membolehkan perbendaharaan kata Melayu itu kaya lagi luas.

Di Malaysia, kegiatan para mubaligh akhirnya menjadi lebih terhad, lebih sempit, khusus kepada golongan tertentu, iaitu mereka yang berjubah, kepala berlilit serban dan sebahagian daripada mereka memakai pakaian yang banyak dipakai di Pakistan juga India.

Mereka berjuang, menyebarkan Islam, menghuni di masjid-masjid, di surau-surau. Di antara mereka ada yang membawa tilam, periuk dan sebagainya yang diperlukan. Yang terkini keperluan ini tidak dibawa bersama, sesetengah daripada mereka tidak dibenarkan tinggal di surau-surau tertentu, kerana sebab-sebab tertentu, di antara mereka dikatakan menyebabkan kotor, tidak memberi sumbangan untuk bayaran api, air dan sebagainya.

Di sinilah mereka belajar dengan membentuk kelompok-kelompok kecil, yang memberi syarahan oleh orang-orang tertentu, biasanya diberi oleh ketua mereka, juga orang yang terdiri daripada kumpulan tersebut. Kegiatan tabligh buat masa kini tidak serancak 20 tahun yang lalu. Walaupun demikian, kegiatan ini tetap bergerak. Sesetengah masyarakat mempersoalkan kegiatan ini, memandang dengan mata sebelah, biarpun tidak ada protes supaya kegiatan ini dihentikan.

Saya perhatikan, kegiatan tabligh boleh dikatakan tidak melibatkan politik. Sebahagiannya berkunjung dari rumah ke rumah sebelum waktu maghrib atau sebelum asar, mereka berdakwah, mengajak orang Melayu Islam sama-sama ke masjid, terutamanya untuk mendirikan sembahyang berjemaah.

Beberapa kali kumpulan ini datang menemui saya ketika saya sedang menyangkul di kebun, mengajak bersama untuk berjemaah. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana memperingatkan saya dan saya rasa kesal tidak dapat mengajak minum bersama dengannya untuk menghormati tetamu yang saya hormati.

Saya terfikir, kenapa mereka datang menemui saya yang ada di kebun, dekat rumah. Kenapa tidak pergi ke rumah-rumah orang Islam yang tidak pernah pergi ke masjid, termasuk pekerja-pekerja asing dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Filipina, dari Pakistan, India termasuk mereka yang bekerja di restoran yang sebahagian daripada mereka tidak sembahyang Jumaat atau mereka yang bekerja di restoran yang taukenya India bukan Islam, tetapi meletakkan ayat-ayat al-Quran di dinding-dinding.

Terfikir saya, kenapa kumpulan ini hanya pergi ke tempat-tempat seperti kampung tempat saya tinggal, tidak pergi berdakwah ke tempat-tempat yang lebih utama, di Chow Kit, sarang-sarang pelacur, sarang-sarang pondan, kelab-kelab malam yang penuh dengan marijuana, syabu, ganja, arak atau kediaman golongan elit.

Memang benar, di sesetengah tempat perumahan begitu besar, hingga 400 buah rumah, tetapi untuk mendirikan sembahyang Maghrib yang datang tidak sampai 40 orang jemaah. Pekerja-pekerja di restoran di mana ayat-ayat al-Quran ditampal atau disangkut di dinding, boleh dikatakan tidak nampak mereka pergi sembahyang Jumaat di kampung berkenaan.

Mungkin mereka menganggap sembahyang Jumaat itu tidak wajib bagi mereka. Mereka tetap musafir. Tidak pernah kita dengar adanya tangkapan oleh jabatan-jabatan agama dilakukan ke atas mereka yang tidak sembahyang Jumaat, sekali, lebih tiga kali atau seumur hidup. Sama halnya dengan mereka, yang bukan Islam bekerja di restoran yang dipenuhi orang Melayu Islam. Pihak tertentu sepatutnya memberi garis panduan yang mesti dipatuhi oleh restoran ini supaya mengambil pekerja yang beragama Islam sahaja. Islam itu suci, zahir dan batin, kesucian batin melibatkan akidah, iaitu pegangan agama Islam.

Keadaan yang sama juga berlaku di hotel-hotel yang sebahagian besar daripadanya menyediakan makanan yang enak-enak tetapi tidak ada sijil halal. Tidak pernah terdengar, ada pihak-pihak tertentu yang meminta supaya pihak kerajaan, pihak jabatan agama Islam atau Jakim memastikan supaya hotel-hotel berusaha mendapatkan sijil halal dalam semua aktiviti penyediaan makanan.

Apabila sijil halal itu tidak diperlukan, maka dengan sendirinya makanan yang disajikan itu tidak tertakluk kepada hukum halal.

Pada pemikiran kebanyakan orang bukan Islam, terutamanya dari Barat, apabila menyebut tentang halal food atau muslim food yang dimaksudkan ialah datang yang bukan daripada daging babi. Pada hal makanan halal itu bermaksud makanan hasil daripada ternakan yang disembelih menurut syariat. Kerana itu apabila ayam, kambing atau kerbau itu disembelih oleh orang bukan Islam, maka sembelihan, pemotongan leher atau ketukan pada kepala yang menyebabkan binatang itu mati tidak diiktiraf oleh Islam. Apabila tidak diiktiraf, daging adalah tetap bangkai, haram dimakan.

Dalam kapal terbang, apabila kita minta halal food atau muslim food, pramugari akan membawa makanan yang bukan daripada daging babi. Terfikir saya, dari Rusia hendak ke Kuala Lumpur, kita minta daging halal. Adakah orang yang menyediakan makanan itu akan menyediakan daging khas yang disembelih oleh orang Islam, pada hal yang minta makanan halal itu hanya dua orang sahaja?

Terlalu banyak tanya, lagi cerewet, payah sangat hendak hidup, kalau begitu makan telor sahaja, Minta telor yang belum dikupas kulitnya. Kalau sudah dikupas, mungkin sambalnya bercampur dengan minyak babi atau bahan yang tidak halal.

Begitu besar skop kegiatan para mubaligh kalau hendak dilakukan secara terancang dan rapi, malangnya masih ada segelintir masyarakat yang memandang mereka dengan mata sebelah, kerana sesetengah golongan lebih gemar mendengar dan melihat bintang-bintang filem, pelakon atau penyanyi berkahwin dengan hantaran RM40 ribu, hampir sejuta ringgit, dipaparkan dalam akhbar-akhbar. Pasangan ini diserbu, dalam suratkhabar dipenuhi gambar-gambar pasangan ini, tanpa difikiri bahawa berita seumpama ini tidak memberi manfaat atau maklumat yang bersifat ilmiah yang menambah kaya khazanah berfikir dan muhasabah diri.

Peranan para mubaligh seperti seorang kapten juga awak-awaknya berjalan tegak ke hadapan, ke satu destinasi praktikal. Akhbar-akhbar, televisyen dan radio jangan terlalu banyak memaparkan berita-berita yang berwarna-warni atau bergula-gula yang pastinya dikerumuni oleh manusia semua, lalu akhirnya mereka yang mengerumuni itu keletihan, manakala gulanya cair begitu sahaja, tanpa memberi apa-apa manfaat. Dalam keadaan ini kalau kapten itu terlajak pendakwah termasuk para mubaligh perlu mengajak mereka yang terlibat kembali ke pangkal jalan.

Tidak ada salah dengan tabligh atau amalan berdakwah, malah rasulullah sendiripun seorang pendakwah, menyampaikan kalimah tauhid kepada mereka yang belum beriman, menjadi contoh ikutan, yang bersifat sidek, amanah, tabligh dan fatanah dalam tindak-tanduk yang telah ditetapkan oleh Allah disampaikan melalui Malaikat Jibrail.

Kewajipan bertabligh adalah jelas, lagi mulia amalannya. Namun kesilapan tetap wujud pada diri mereka yang bertabligh, antaranya meninggalkan rumah tangga, anak isteri seperti yang berlaku ke atas puan. Meninggalkan mereka menyebabkan seolah-olah kasih sayang itu dibawa bersama ketika bertabligh di perjalanan, menyebabkan terasa seolah-olah bertabligh itu adalah segala-galanya dengan membelakangkan kewajipan terhadap anak isteri, keselamatan, kasih sayang, hal-hal yang berkaitan dengan pelajaran, pengajian dan keselamatan keluarga, pada hal kedua-duanya adalah perlu untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Amat malang sekali sekiranya seseorang itu bertabligh, mensasarkan syurga firdaus di akhirat kelak, namun isteri terasa terabai dan kehadiran para mubaligh di rumah menimbulkan fobia, anak-anak terabai pelajarannya serta tidak tahu mengaji al-Quran, lebih malang kalau pergi bertabligh berbulan-bulan itu menyebabkan isteri menanggung segala-galanya hal urusan rumah tangga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab si suami.

Friday, February 20, 2009

Padah abai ibu

PADA zaman dahulu, ada seorang pemuda bernama Juraij yang tinggal bersama ibunya yang sudah tua. Juraij berasal daripada kaum Bani Israel. Dia sangat tekun dalam ibadatnya, sehinggakan dia mendirikan biara peribadi untuk dijadikan tempat ibadatnya.

Pada suatu hari, sedang Juraij bersembahyang dalam biaranya, ibunya telah memanggilnya.

Namun, Juraij meneruskan sahaja tanpa mempedulikan panggilan ibunya itu.

Keesokkan harinya, ibu Juraij datang lagi memanggilnya ketika dia sedang solat. Namun Juraij masih juga tidak menyahut. Dia mengeluh, 

"Ya Tuhanku, kenapa dengan ibuku ini, memanggil-manggil aku, sedangkan aku tengah solat?" Juraij tidak mempedulikan juga panggilan ibunya, malah dia tetap meneruskan ibadatnya.

"Wahai anakku, kalau ya pun engkau mahu beribadat, sahutlah dahulu panggilanku! Kemudian barulah engkau meneruskan ibadatmu," kata ibu Juraij di dalam hatinya.

Ibunya tidak berputus asa, lalu dia datang lagi memanggil-manggil nama anaknya itu pada keesokkan harinya.

"Juraij, Juraij, ibu mahu bercakap denganmu sekejap," kata ibunya.

Namun panggilan ibunya tetap tidak disahut oleh Juraij. Juraij meneruskan sahaja ibadatnya, tanpa memikirkan perasaan ibunya yang telah memanggilnya tiga hari berturut-tutut untuk bercakap dengannya.

Ibunya berasa tidak sabar lagi dengan Juraij. Maka keluarlah daripada mulutnya, "Ya Allah, janganlah engkau matikan anakku ini, selagi dia tidak melihat wajah perempuan jalang". Ibunya sangat kecewa dengan sikap anaknya yang tidak mahu mempedulikan panggilannya.

Pada suatu ketika, sekumpulan penduduk sedang bercakap tentang Juraij yang tekun beribadat. Kebetulan pada masa itu, datang seorang gadis melalui mereka di situ. Gadis itu terdengar perbincangan sekelompok orang tentang Juraij, lalu berkata, "kalau tuan-tuan mahu, biarlah aku sahaja yang menggoda Juraij itu".

Apabila gadis itu sampai di tempat Juraij, lalu digodanya Juraij dengan pelbagai cara. Tidak berapa lama kemudian, gemparlah seluruh Bani Israel kerana gadis itu telah mengandung dan mengaku bahawa anak di dalam kandungannya itu adalah anak Juraij.

Penduduk di situ datang ke tempat itu dengan marah, lalu mengheret Juraij keluar dari biaranya. Juraij telah dipukul dan biaranya dimusnahkan.

"Kenapa kamu semua membuat begini terhadapku?" tanya Juraij.

"Wahai Juraij, bukankah engkau telah berzina dengan perempuan sundal itu? Kini dia telah melahirkan seorang anak," kata mereka dengan marah.

Berita Juraij dipukul telah sampai kepada pengetahuan ibunya. Tiba-tiba hati ibunya yang pernah kecewa itu menangis tersedu-sedu sambil berkata dalam hatinya, "Kalau ini yang berlaku ke atas anakku, aku tidak akan menyumpahinya".

Ibunya tahu bahawa anaknya Juraij tidak akan melakukan perbuatan yang sekeji itu. Lalu ibunya berdoa, "Ya Tuhanku, lepaskan anakku daripada tuduhan itu".

Sementara itu, Juraij masih berhadapan dengan penduduk yang marah kepadanya. "Bolehkah engkau bawa bayi itu kepadaku? Aku akan tanya pada bayi itu sendiri," kata Juraij.

"Mana boleh engkau tanyakan kepada bayi itu!" kata mereka dengan marahnya.

Bagaimanapun, bayi itu dibawa juga kepada Juraij, lalu Juraij meminta izin untuk menunaikan solat terlebih dahulu. Selesai sahaja solat, Juraij mendekati dan mengusap bayi itu dengan jarinya sambil bertanya, "Siapakah bapamu?"

"Fulan, si penggembala," jawab bayi itu.

Alangkah terkejutnya orang di situ mendengar jawapan daripada bayi itu. Maka mereka memohon maaf kepada Juraij walaupun masih dalam keadaan terkejut.

Pelbagai keistimewaan Nabi Isa

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Kisah ini berterusan berkenaan perkara yang luar biasa yang dipaparkan oleh Allah SWT". 

Al-Maraghi berkata: "Selepas diutarakan kisah mengenai Maryam, lalu diterangkan pula beberapa kisah mengenai Nabi Isa AS, kemudian disusuli pula beberapa kisah tentang Nabi Zakaria AS padahal jarak di antara kedua-duanya agak jauh. 

"Tujuan penyajian kisah seperti ini adalah untuk menguatkan lagi kebenaran di sebalik kisah tentang Maryam dan mengingatkan bahawa Allah SWT sendiri sudah cukup membuktikan kebenaran keperibadian individu yang diberi wahyu oleh-Nya".

Iktibar dan fiqh ayat ke-45:

i. Ibn Kathir berkata: "Ayat ini sebagai berita gembira yang disampaikan malaikat kepada Maryam bahawa beliau akan melahirkan seorang putera yang mulia dan mempunyai kelebihan iaitu Nabi Allah Isa a.s".

ii. Al-Maraghi berkata: "Kemuliaan Nabi Isa AS di dunia kerana baginda mempunyai tempat di hati manusia dan dihormati. Tempatnya di hati orang yang beriman tidak dapat digantikan oleh yang lain, sedangkan kebaikan yang baginda bawa akan terus berjalan meskipun baginda telah wafat.

"Kemuliaan seperti ini lebih penting ertinya daripada kemuliaan para penguasa dan raja. Mereka (penguasa) dimuliakan kerana orang berasa takut terhadap kejahatan dan gangguan daripada mereka atau kerana sekadar manis di bibir dan ingin mengaut keuntungan daripada mereka kerana mengharapkan kesenangan dunia daripada tangan mereka. 

"Kejadian seperti ini suatu yang lumrah dan tidak akan mempunyai sebarang pengaruh di hati manusia, sebaliknya ia menanamkan perasaan kebencian dan kemarahan".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Suatu ketika para malaikat, yakni malaikat Jibril AS sendiri sebagaimana telah dikemukakan pada ayat-ayat yang lalu berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah SWT menggembirakan engkau dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan dengan kalimat yang datang dari-Nya. 

"Untuk lebih menjelaskan bahawa kalimat dimaksud bukan berupa ucapan tapi satu tubuh manusia, sekali gus untuk menjelaskan kedudukannya maka berita gembira itu berlanjutan dengan menyampaikan bahawa nama insan yang akan engkau lahirkan telah dipilih Allah SWT adalah Isa al-Masih". 

Sejak baginda lahir berbagai kelebihan dan keistimewaan yang telah dianugerahkan kepadanya oleh Allah SWT berupa mukjizat yang tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa.

Iktibar dan fiqh ayat ke-46:

i. Al-Alusi berkata: "Sangkaan Nasara bahawa Nabi Isa tidak berkata-kata dalam buaian untuk membersihkan ibunya. Begitu juga pendapat Yahudi yang menuduh ibunya berzina dengan Yusuf al-Najjar adalah sebesar-besar pembohongan".

ii. Al-Maraghi berkata: "Baginda (Nabi Isa a.s) tergolong dalam golongan orang soleh yang telah mendapat nikmat daripada Allah SWT. Mereka terdiri daripada para Nabi dan orang siddiq, dan mereka yang diketahui oleh Maryam kejujuran tingkah lakunya".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata kahlan yang diterjemahkan di atas dengan dewasa difahami oleh banyak ulama sebagai usia antara 30 ke 40 tahun, demikian Mufasir al-Jamal dalam al-Futuhat al-Ilahiyah.

iv. Hamka berkata: "Di dalam surah Maryam akan bertemulah penjelasan lagi tentang Nabi Isa a.s yang bercakap membela kesucian ibunya ketika dia masih dalam buaian atau ayunan. Satu keterangan yang hanya adalah dalam al-Quran. "Tidak ada di dalam semua kitab yang dipercayai oleh orang Kristian. Kesolehan Nabi Isa a.s, tawaduknya dan tunduk kepada Allah SWT terkenal di kalangan para nabi dan rasul. Sehingga ahli-ahli tasauf Islam terutama Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin banyak mengambil perumpamaan tentang zuhud kepada diri Nabi Isa a.s".

Iktibar dan fiqh ayat ke-47.

i. Ibn Jauzi berkata: "Allah SWT menciptakan sesuatu mengikut kehendak-Nya sama ada dengan sebab atau tanpa sebab".

ii. Al-Maraghi berkata: "Perkataan Maryam, Dapatkah aku mempunyai seorang anak lelaki tanpa bersuami", sebenarnya ia mengandungi pelbagai pengertian.

Antaranya: Boleh jadi ia membawa erti apakah beliau segera dapat suami, sehingga dapat melahirkan seorang anak lelaki? Atau lahirnya anak ini terjadi dengan kekuasaan Engkau, Ya Allah? Atau ia membawa erti bahawa beliau begitu takjub dengan kekuasaan Allah SWT dan berasa masalah yang dihadapinya begitu hebat.

Al-Maraghi juga berkata: "Terdapat perbezaan yang menarik antara dua kisah ini, iaitu kisah Nabi Zakaria a.s dan kisah Maryam. Kisah pertama mengunakan perkataan yaf'alu (berbuat), manakala kisah yang kedua menggunakan perkataan yakhluqu (menciptakan, menjadikan).

"Menurut kebiasaan, bahawa perkataan 'berbuat' seringkali diterjemahkan dalam menjadikan benda-benda yang dikenal atau proses-proses alam yang umum. Sedangkan, perkataan 'menciptakan' sering digunakan untuk menyatakan sebarang perbuatan yang baru sama sekali atau sesuatu penemuan yang baru, sekalipun prosesnya tidak diketahui. 

"Oleh itu, dikatakan Allah SWT mencipta langit dan bumi dan dikatakan Allah membuat langit dan bumi".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata kun dalam ayat ini digunakan sekadar untuk menggambarkan betapa mudah Allah SWT menciptakan sesuatu dan betapa cepat terciptanya sesuatu bila Dia menghendaki. Cepat dan mudahnya itu, diibaratkan dengan mengucapkan kata kun".

iv. Hamka berkata: "Bagaimana aku boleh beranak sedangkan aku belum berkahwin? Akupun tidak pernah berhubungan dengan mana-mana lelaki. Mungkin juga aku akan dikahwinkan membawa erti aku akan mengandung? (Pertanyaan Maryam kepada malaikat)".

Iktibar dan fiqh ayat ke-48:

i. Al-Maraghi berkata: "Kitab di sini bermaksud membaca, menulis dan pengetahuan yang benar membangkitkan kemahuan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang memberi manfaat serta memahami dengan betul kandungan kitab Taurat. 

"Allah SWT turut mengajar baginda (nabi Isa a.s) rahsia-rahsia hukum Taurat sehingga al-Masih menjadi orang yang mengetahui, lalu memimpin kaumnya dan membimbing mereka kepada rahsia dan maksud Taurat. Pada masa yang sama Allah SWT juga mengajarkan kandungan kitab Injil yang diwahyukan kepadanya.

ii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Nabi Isa a.s menegaskan bahawa apa yang dilakukannya adalah atas izin Allah SWT. Ini untuk menghapus segala kesan yang timbul dari apa yang dilakukannya. 

"Oleh itu beliau perlu menyebutkan izin tersebut khususnya dalam hal yang sama tidak dapat dilakukan oleh manusia iaitu meniupkan roh kehidupan, menghidupkan manusia yang telah mati. Adapun penyembuhan, ia berlaku dengan izin Allah SWT".

iii. Hamka berkata: "Dijelaskan keutamaan anugerah Tuhan kepada beliau. Dia (nabi Isa a.s) akan diajari kitab, iaitu akan diberi pengetahuan menulis dan membaca. Firman Allah SWT itu akan menambah kepercayaan umat Muhammad SAW bahawasanya nescaya Nabi Isa ada mencatatkan Injil sebagai wahyu yang diterimanya dari Tuhan. 

"Diajarkan pula kepada beliau hikmat iaitu kebijaksanaan dan akal budi yang luas dan jauh pandangan. Diajar Tuhan pula kepada beliau kitab Taurat dan diberi pula dia wahyu sendiri iaitu Injil. Injil itulah syariat yang khas bagi beliau".

Daripada ayat-ayat yang ditafsirkan ini jelas menunjukkan kuasa Allah SWT yang boleh melakukan apa sahaja dengan kehendak-Nya sekalipun dianggap mustahil oleh akal manusia. Semoga kita menjadi golongan yang beriman dan percaya dengan kekuasaan Allah SWT sifat kudrat dan iradat-Nya.

Abu Hassan popularkan Bicara Kifayah

Oleh ZUARIDA MOHYIN

LUMRAH apabila menyentuh hal-hal yang bersangkutan fardu kifayah seperti pengurusan jenazah, adab ketika menziarahi orang sakit, menghafaz al-Quran, waima soal salam sekalipun, ramai daripada kita tidak mengambil pusing mengenainya atau mengkelaskan ia sebagai perkara remeh. 

Sedangkan hakikatnya, fardu kifayah adalah perkara yang wajib dilakukan oleh sesebuah komuniti umat Islam yang baligh dan berakal. 

Meskipun ia tidak perlu dilakukan ke atas setiap orang Islam kerana kewajipannya itu telah dilakukan segolongan yang lain, namun perlu ada usaha daripada individu Islam itu untuk sekurang-kurangnya mempelajari serta menguasai cabang ilmu ini.

Yang pastinya, dengan penguasaan pelbagai ilmu berkaitan fardu kifayah, masyarakat akan mempunyai kekuatan. Sesungguhnya ilmu ini adalah asas penting ke arah kemantapan sesebuah masyarakat, sekali gus mampu berdikari serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka sendiri.

Terpanggil dengan keperluan memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai kepentingan penguasaan ilmu fardu kifayah dalam kehidupan seharian serta menjelaskan kekaburan yang wujud natijah daripada kurang keprihatinan masyarakat Islam itu sendiri, Astro Oasis mengambil inisiatif menyiarkan program yang diberi nama Bicara Kifayah.

Program yang berkonsep dokudrama (gabungan dokumentari dan drama) telah mula bersiaran pada 26 Disember lalu menerusi saluran 106 yang dikemudikan oleh ikon Oasis terkenal, Datuk Abu Hassan Din al-hafiz. 

"Idea awalnya datang daripada Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar lebih setahun yang lalu. Sungguhpun ruang perbincangan mengenai ilmu fardu kifayah amat terbatas. 

"Namun memandangkan keperluan dan desakan daripada beliau, maka saya cuba menyiapkan skrip-skrip dan alhamdulillah diterima dan terus melalui proses penggambaran," kata beliau.

Menurut Abu Hassan, dengan menggunakan kaedah dokudrama ini, mesej yang cuba dihantar lebih sampai kepada sasarannya serta berkesan kepada para penonton setia Astro Oasis. 

Malah, selepas beberapa siri penayangan program Bicara Kifayah tersiar, beliau diberitahu bahawa rating dan respons yang diterima begitu memberangsangkan serta tidak ketinggalan pujian. Ini membuktikan pendekatan yang cuba diketengahkan Astro Oasis berjaya dan diterima penonton, khususnya yang beragama Islam.

"Di samping itu, usaha Astro Oasis yang semakin serasi dengan imej berdakwah menerusi media elektronik tidak sia-sia. Apa lagi dengan situasi orang semakin sibuk dengan urusan kerja sehingga tiada masa untuk menghadiri mana-mana majlis ilmu. 

"Apabila program ini sentiasa diulang tayang, jadi memberi peluang mereka menonton mengikut kelapangan sendiri," terang Abu Hassan, mantan Pegawai Agama Istana Negara yang juga pernah mengendalikan program Bicara Haji dan salah seorang panel bagi program Jemputan Umrah. 

Akui Abu Hassan lagi, beliau tidak menghadapi masalah menyiapkan skrip kerana memang meminati bidang penulisan skrip drama. Ditambah dengan pengalaman menulis sejak 1970-an sama ada untuk media cetak mahupun media elektronik.

Malah boleh dikatakan, kekuatan dokudrama ini juga adalah kerana faktor olahan jalan ceritanya yang banyak berlandaskan kepada pengalaman luas beliau sebagai tokoh agama yang disegani. "Sesuatu tajuk yang dipilih juga adalah merujuk kepada realiti yang berlaku di dalam kemelut kehidupan seharian umat Islam itu sendiri, bukan yang direka-reka," jelasnya.

Orang mengantuk disorongkan bantal

Oleh itu, apabila adanya pelawaan daripada pihak Astro Oasis, Abu Hassan menganggapnya seperti 'orang mengantuk disorongkan bantal'. 

Selain sebagai satu peluang untuk beliau meluaskan serta mempelbagaikan bentuk dakwah ia juga 'keluar' daripada kebiasaan dalam penyampaian dakwah cara tradisi seperti berceramah.

Harapan Abu Hassan, semoga usaha ini dapat menarik perhatian generasi Muslim untuk memahami dan mudah menghayati kepentingan menguasai ilmu fardu kifayah ini. Ini kerana medium seperti televisyen diakui amat rapat dengan generasi muda masa sekarang.

Untuk program malam ini, Astro Oasis mengetengahkan episod bertajuk 'Menghafaz al-Quran' akan bersiaran pukul 7.30 malam di siaran saluran 106. Pada minggu-minggu akan datang penonton akan disajikan dengan tajuk seperti 'Bertani', 'Menjaga Keselamatan', 'Menjadi Nelayan' dan 'Kedoktoran'.

Bagi mereka yang tidak berpeluang menyaksikan program Bicara Kifayah pada hari Jumaat berkesempatan menonton siaran ulangannya PADA SABTU, PUKUL 2.30 PETANG DAN RABU 11.30 PAGI.

Menuju pemodenan perniagaan Muslim

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS (fikrahremaja@yhoo.com)


PERNIAGAAN merupakan satu kaedah untuk memenuhi keperluan atau kehendak orang lain bersandarkan kepada sesuatu nilai tukaran yang berbentuk barangan ataupun mata wang. Natijahnya ialah si pembeli mendapat sesuatu barangan atau perkhidmatan manakala si penjual mendapat pulangan hasil jualan tersebut. 

Perniagaan menjadi satu urusan fardu kifayah yang perlu dipenuhi kerana melalui perniagaan, keperluan barangan dan perkhidmatan tertentu dapat dipenuhi. Perniagaan itu sendiri merupakan sembilan daripada sepuluh sumber rezeki sebagaimana sabda Rasulullah SAW.

Pemodenan dalam Perniagaan

Pemodenan dalam perniagaan bertujuan meningkatkan kapasiti perkhidmatan terhadap pelanggan, menarik lebih ramai pelanggan dan seterusnya menjana lebih banyak keuntungan. Hal ini meliputi aspek model perniagaan, pengurusan, pembangunan premis, penjenamaan serta penyelidikan dan pembangunan. 

Hari ini kita dapat melihat percambahan model perniagaan baru umpamanya rangkaian francais dan pasar raya besar. Secara umumnya corak model perniagaan baru menuju ke arah ekonomi skala besar dan peningkatan nilai komersial. 

Pihak kerajaan juga telah menyediakan pelbagai skim suntikan modal kepada golongan peniaga kita seperti skim pinjaman mikro agar perniagaan dapat dikembangkan lagi ke tahap yang lebih baik. 

Justeru para peniaga Muslim juga sewajarnya berusaha memperbesar perniagaan mereka agar potensi pulangan keuntungan dapat ditingkatkan. Di samping itu, model perniagaan yang tersendiri dapat memberikan kelebihan berbanding kepada peniaga berbanding pesaing yang lain.

Aspek pengurusan pula dapat ditingkatkan dengan aplikasi teknologi maklumat serta automasi mesin. Penggunaan program serta pangkalan data elektronik dalam pengurusan stok dan transaksi jual beli dapat meningkatkan lagi kecekapan pengurusan.

Penggunaan automasi mesin seterusnya dapat meningkatkan keupayaan pengeluaran agar dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat seta mengurangkan tempoh menunggu pelanggan terhadap barangan yang ditempah.

Pembangunan premis turut perlu diberi perhatian kerana hal ini bakal mempengaruhi aspek kebersihan dan keselesaan premis untuk pelanggan. Tapak premis yang luas dapat memudahkan pelanggan membeli belah serta membolehkan lebih banyak barangan jualan dipamerkan. 

Penyelidikan yang berterusan pula dapat menjamin peningkatan kualiti barangan atau perkhidmatan yang disediakan. Pelanggan akan tertarik kepada produk yang sentiasa mengalami evolusi inovasi berbanding produk pesaing yang sedia ada.

Di kala situasi ekonomi semasa yang menuju ketidaktentuan, para peniaga Muslim turut menghadapi cabaran peningkatan kos operasi, penguncupan prestasi jualan serta pengawalan kemudahan kredit oleh pihak bank.

Namun peniaga Muslim boleh terus membuat penambahbaikan terhadap perniagaan mereka dengan pengurusan kos yang lebih efektif, implementasi aliran kerja yang efisien dan strategi pemasaran yang kreatif. 

Kaedah sedemikian mampu menjadikan peniaga Muslim lebih berdaya saing serta maju ke hadapan walaupun menghadapi persekitaran pasaran yang lebih mencabar. Seterusnya kekuatan ekonomi ummah diharapkan dapat terus berkembang di samping aplikasi sistem ekonomi Islam dapat diperluaskan.

Kaitannya dengan Remaja

Perbincangan berkenaan memajukan perniagaan mungkin agak terlalu awal bagi golongan remaja. Namun pada masa ini tentunya sudah ada remaja yang menceburi bidang perniagaan, sama ada sebagai pemilik atau pekerja. 

Namun, sebenarnya isi perbincangan di atas bertujuan membuka mata remaja tentang sejauh mana kemajuan dalam perniagaan bagi peniaga di kalangan kita berbanding peniaga bukan Islam. 

Secara perbandingan mata kasar, kita mungkin boleh melihat contoh sebuah kedai runcit milik orang kita dan bandingkannya dengan kedai runcit milik bukan Islam.

Perbandingan keadaan premis sahaja mungkin sudah menggambarkan perbezaan yang agak jelas dari sudut keselesaan dan kebersihan premis, teknologi transaksi jual beli dan mungkin juga jenis barangan yang ada.

Oleh sebab itu anjakan paradigma tentang pemodenan perniagaan diperjelaskan di sini supaya golongan remaja Muslim dapat melihat hala tuju perniagaan milik kita yang seharusnya berkembang seiring zaman. 

Faktor pemilikan modal yang terhad mungkin merupakan satu cabaran yang dihadapi tetapi ia tidak seharusnya menghalang kita daripada membina cita-cita besar untuk mengembangkan perniagaan. 

Dahulu, Kini, Akan Datang

Jika dahulu berniaga di pasar malam, kini mungkin sudah memiliki premis tetap sendiri. Insya-Allah pada masa akan datang cawangan baru perniagaan dapat dibuka di tempat lain. 

Jika dahulu pengurusan stok dilakukan secara manual, kini mungkin sudah menggunakan teknologi kod bar untuk mengimbas barangan jualan. Insya-Allah pada masa akan datang teknologi pengenalpastian frekuensi radio (RFID) pula akan digunakan.

Jika dahulu jenama produk kita hanya dikenali oleh masyarakat setempat, mungkin kini sudah dipromosikan ke seluruh negara. Insya-Allah akan datang jenama produk kita akan dikenali di peringkat antarabangsa.

Kesimpulan

Pemodenan dalam perniagaan bukan sahaja dapat memperkembang perniagaan ke tahap yang lebih baik, tetapi juga dapat meningkatkan keupayaan peniaga untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan. 

Dari sudut ekonomi makro pula, kekuatan ekonomi ummah juga dapat ditingkatkan di samping mewujudkan produk alternatif keluaran Muslim yang lebih terjamin kualitinya, kesuciannya dan status halalnya.

Thursday, February 19, 2009

Menuju pemodenan perniagaan Muslim

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS (fikrahremaja@yhoo.com)

PERNIAGAAN merupakan satu kaedah untuk memenuhi keperluan atau kehendak orang lain bersandarkan kepada sesuatu nilai tukaran yang berbentuk barangan ataupun mata wang. Natijahnya ialah si pembeli mendapat sesuatu barangan atau perkhidmatan manakala si penjual mendapat pulangan hasil jualan tersebut.

Perniagaan menjadi satu urusan fardu kifayah yang perlu dipenuhi kerana melalui perniagaan, keperluan barangan dan perkhidmatan tertentu dapat dipenuhi. Perniagaan itu sendiri merupakan sembilan daripada sepuluh sumber rezeki sebagaimana sabda Rasulullah SAW.

Pemodenan dalam Perniagaan

Pemodenan dalam perniagaan bertujuan meningkatkan kapasiti perkhidmatan terhadap pelanggan, menarik lebih ramai pelanggan dan seterusnya menjana lebih banyak keuntungan. Hal ini meliputi aspek model perniagaan, pengurusan, pembangunan premis, penjenamaan serta penyelidikan dan pembangunan.

Hari ini kita dapat melihat percambahan model perniagaan baru umpamanya rangkaian francais dan pasar raya besar. Secara umumnya corak model perniagaan baru menuju ke arah ekonomi skala besar dan peningkatan nilai komersial.

Pihak kerajaan juga telah menyediakan pelbagai skim suntikan modal kepada golongan peniaga kita seperti skim pinjaman mikro agar perniagaan dapat dikembangkan lagi ke tahap yang lebih baik.

Justeru para peniaga Muslim juga sewajarnya berusaha memperbesar perniagaan mereka agar potensi pulangan keuntungan dapat ditingkatkan. Di samping itu, model perniagaan yang tersendiri dapat memberikan kelebihan berbanding kepada peniaga berbanding pesaing yang lain.

Aspek pengurusan pula dapat ditingkatkan dengan aplikasi teknologi maklumat serta automasi mesin. Penggunaan program serta pangkalan data elektronik dalam pengurusan stok dan transaksi jual beli dapat meningkatkan lagi kecekapan pengurusan.

Penggunaan automasi mesin seterusnya dapat meningkatkan keupayaan pengeluaran agar dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat seta mengurangkan tempoh menunggu pelanggan terhadap barangan yang ditempah.

Pembangunan premis turut perlu diberi perhatian kerana hal ini bakal mempengaruhi aspek kebersihan dan keselesaan premis untuk pelanggan. Tapak premis yang luas dapat memudahkan pelanggan membeli belah serta membolehkan lebih banyak barangan jualan dipamerkan.

Penyelidikan yang berterusan pula dapat menjamin peningkatan kualiti barangan atau perkhidmatan yang disediakan. Pelanggan akan tertarik kepada produk yang sentiasa mengalami evolusi inovasi berbanding produk pesaing yang sedia ada.

Di kala situasi ekonomi semasa yang menuju ketidaktentuan, para peniaga Muslim turut menghadapi cabaran peningkatan kos operasi, penguncupan prestasi jualan serta pengawalan kemudahan kredit oleh pihak bank.

Namun peniaga Muslim boleh terus membuat penambahbaikan terhadap perniagaan mereka dengan pengurusan kos yang lebih efektif, implementasi aliran kerja yang efisien dan strategi pemasaran yang kreatif.

Kaedah sedemikian mampu menjadikan peniaga Muslim lebih berdaya saing serta maju ke hadapan walaupun menghadapi persekitaran pasaran yang lebih mencabar. Seterusnya kekuatan ekonomi ummah diharapkan dapat terus berkembang di samping aplikasi sistem ekonomi Islam dapat diperluaskan.

Kaitannya dengan Remaja

Perbincangan berkenaan memajukan perniagaan mungkin agak terlalu awal bagi golongan remaja. Namun pada masa ini tentunya sudah ada remaja yang menceburi bidang perniagaan, sama ada sebagai pemilik atau pekerja.

Namun, sebenarnya isi perbincangan di atas bertujuan membuka mata remaja tentang sejauh mana kemajuan dalam perniagaan bagi peniaga di kalangan kita berbanding peniaga bukan Islam.

Secara perbandingan mata kasar, kita mungkin boleh melihat contoh sebuah kedai runcit milik orang kita dan bandingkannya dengan kedai runcit milik bukan Islam.

Perbandingan keadaan premis sahaja mungkin sudah menggambarkan perbezaan yang agak jelas dari sudut keselesaan dan kebersihan premis, teknologi transaksi jual beli dan mungkin juga jenis barangan yang ada.

Oleh sebab itu anjakan paradigma tentang pemodenan perniagaan diperjelaskan di sini supaya golongan remaja Muslim dapat melihat hala tuju perniagaan milik kita yang seharusnya berkembang seiring zaman.

Faktor pemilikan modal yang terhad mungkin merupakan satu cabaran yang dihadapi tetapi ia tidak seharusnya menghalang kita daripada membina cita-cita besar untuk mengembangkan perniagaan.

Dahulu, Kini, Akan Datang

Jika dahulu berniaga di pasar malam, kini mungkin sudah memiliki premis tetap sendiri. Insya-Allah pada masa akan datang cawangan baru perniagaan dapat dibuka di tempat lain.

Jika dahulu pengurusan stok dilakukan secara manual, kini mungkin sudah menggunakan teknologi kod bar untuk mengimbas barangan jualan. Insya-Allah pada masa akan datang teknologi pengenalpastian frekuensi radio (RFID) pula akan digunakan.

Jika dahulu jenama produk kita hanya dikenali oleh masyarakat setempat, mungkin kini sudah dipromosikan ke seluruh negara. Insya-Allah akan datang jenama produk kita akan dikenali di peringkat antarabangsa.

Kesimpulan

Pemodenan dalam perniagaan bukan sahaja dapat memperkembang perniagaan ke tahap yang lebih baik, tetapi juga dapat meningkatkan keupayaan peniaga untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

Dari sudut ekonomi makro pula, kekuatan ekonomi ummah juga dapat ditingkatkan di samping mewujudkan produk alternatif keluaran Muslim yang lebih terjamin kualitinya, kesuciannya dan status halalnya.