Oleh: SITI AINIZA KAMSARI
BAGAIMANA kita dapat memberitahu pihak Israel, bahawa mereka merupakan manusia paling pengecut dan bacul kerana menjadi pembunuh kanak-kanak dan mereka yang tidak berdaya!
Namun katakanlah apa pun, bagi Israel tidak sedikit pun menjadi kudis kepada mereka. Sementelah sekarang, kita sebenarnya lebih berlawan atau berperang dengan masa. Sekarang adalah masa-masa emas untuk menyelamatkan kanak-kanak Palestin yang menjadi mangsa paling trauma dalam serangan rejim Zionis selama 22 hari, baru-baru ini.
Seusai perang, di celah-celah runtuhan rumah, sekolah hatta masjid di Bandar Gaza kanak-kanak yang terselamat terpinga-pinga. Dia melihat sekeliling dan tercari-cari. Tentulah yang dicari; Aina Abi? Aina Ummi? Aina kullukum! ("Mana ayah! mana Ibu! Di manakah semuanya?") Akhirnya, si anak hanya mampu menangis dan menangis kerana sedar bahawa dia kini keseorangan di dunia ini!
Jika mereka dikumpulkan bagi memberitahu bahawa mereka sebenarnya tidak keseorangan. Malah terdapat beratus-ratus lagi sepertinya yang kini bergelar anak yatim. Tetapi tidak adakah mana-mana rakyat di negara ini mampu menghapuskan air mata kanak-kanak pejuang Palestin ini walaupun dari jarak beribu batu?
Sebenarnya, anda berpeluang untuk menjadi pengganti kepada ibu bapa kanak-kanak Palestin yang syahid kerana tidak berganjak walau seinci demi mempertahankan tanah air dan Islam.
Andai syahid, mereka telah meredakan ketentuan itu. Namun, tentunya mengharapkan ada rakyat Malaysia yang bukan sahaja menaruh belas terhadap anak-anak Palestin yang kini yatim piatu tetapi bantulah mereka bagi meneruskan kehidupan. Kehidupan bagi membolehkan anak-anak itu meneruskan perjuangan si ibu dan si bapa.
Justeru, Yayasan Wanita Islam Malaysia (Yati) menyediakan peluang bagi rakyat negara ini dan umat Islam khususnya bagaimana mereka boleh menjadi ibu bapa atau keluarga angkat kepada kanak-kanak Palestin yang terselamat dalam tragedi kemanusiaan, Disember 2008 yang sangat berdarah itu!
Pada satu majlis yang berlangsung baru-baru ini, Yati melancarkan Program Anak Angkat Palestin (PaPa) yang menyaksikan pendakwah, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood dilantik sebagai Duta Program. Ia bagi membela hampir 10,000 kanak-kanak Palestin yang terperangkap dalam zon perang itu.
Pengarah Projek, Datin Nor Azlin Ibrahim berkata, sama ada perang antara Israel dan Islam ini berakhir atau pun tidak, kanak-kanak Palestin tetap akan menanggung derita.
Katanya, ini menyebabkan Yati proaktif ingin membela mereka berikutan banyak sekolah yang perlu dibina semula, menyalurkan pemakanan yang berzat, kemusnahan tempat tinggal dan anak-anak yang kehilangan ibu bapa.
"Malah yang lebih penting, pengganti ibu bapa mereka perlu dicari walaupun tidak menyamai kasih sayang ibu bapa kandung.
"Dalam kes sekarang, guru-guru dan para penjaga dari kalangan rakyat Palestin yang bertanggungjawab mengambil alih tugas itu, memerlukan bantuan kita agar kanak-kanak itu benar-benar terbela," katanya.
Menurut Nor Azlin, seramai 317 kanak-kanak Palestin yatim piatu yang menanti untuk ditaja telah berjaya dikumpulkan. Ia hasil kerjasama Persatuan As Solah Al Islamiyah di Rafah dan pertubuhan Qariah Athfal SOS di Gaza. Bagaimanapun jumlah ini akan bertambah.
"Insya-Allah suatu hari nanti, akan ada pertemuan antara anak angkat Palestin dengan keluarga angkat mereka yang terdiri dari rakyat Malaysia yang prihatin dan budiman," jelasnya.
Bagi menyahut seruan itu, keluarga angkat diperlukan untuk menyalurkan bantuan wang ringgit mengikut kemampuan masing-masing. Jumlahnya, sama ada dari pakej RM3,500 sehinggalah serendah RM350 bagi tempoh setahun.
Sementara itu, selaku Duta Program ini, Siti Nor Bahyah berkata, membela kanak-kanak dan semua mangsa peperangan menjadi tanggungjawab umat Islam yang lain..
"Kanak-kanak Palestin yang terselamat merupakan pewaris yang akan terus mempertahankan bumi Palestin. Bumi di mana terdapatnya masjid ketiga tersuci dalam Islam, iaitu Masjid Al Aqsa yang begitu dimuliakan.
"Oleh itu janganlah berkira dalam soal membantu anak-anak yatim dari Palestin ini," katanya.
Beliau turut berikrar memastikan bukan sahaja kejayaan program ini tetapi menyampaikan pelbagai mesej bagi membuang sikap tamak dan haloba dalam soal kebajikan.
"Mereka yang jauh dari manusia (memberi bantuan) hanya akan mendekatkan diri mereka ke api neraka," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Yati, Najwa Abdul Aziz pula berkata, keluarga angkat tidak perlu bimbang kerana kesemua sumbangan dijamin akan sampai ke tangan anak-anak angkat mereka.
Katanya, sebelum ini Yati berjaya menghantar bantuan bernilai hampir RM100,000 kepada mangsa-mangsa perang di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin.
"Kita tidak akan menunggu tempoh masa tertentu untuk menghantar bantuan tersebut. Sumbangan akan terus dihantar sejurus diterima dari keluarga angkat bagi menjayakan program pemulihan lepas perang Palestin khusus kepada kanak-kanak Palestin," katanya.
Para tetamu juga tersentuh dan ada yang menitiskan air mata apabila menyaksikan tayangan slaid 'Bingkisan Dari Gaza'. Penerangan mengenai slaid disampaikan oleh Setiausaha Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Sahlan Saruddin.
Ia adalah gambar yang dirakam oleh rombongan sukarelawan tersebut yang berjaya memasuki Gaza, baru-baru ini.
Orang ramai yang ingin menjadi ibu bapa angkat, boleh menghubungi Yati di talian 03-4270 5941, 03-4270 7470 atau faks 03-42706979.
No comments:
Post a Comment