Like Blog Ini...

Friday, February 20, 2009

Menuju pemodenan perniagaan Muslim

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS (fikrahremaja@yhoo.com)


PERNIAGAAN merupakan satu kaedah untuk memenuhi keperluan atau kehendak orang lain bersandarkan kepada sesuatu nilai tukaran yang berbentuk barangan ataupun mata wang. Natijahnya ialah si pembeli mendapat sesuatu barangan atau perkhidmatan manakala si penjual mendapat pulangan hasil jualan tersebut. 

Perniagaan menjadi satu urusan fardu kifayah yang perlu dipenuhi kerana melalui perniagaan, keperluan barangan dan perkhidmatan tertentu dapat dipenuhi. Perniagaan itu sendiri merupakan sembilan daripada sepuluh sumber rezeki sebagaimana sabda Rasulullah SAW.

Pemodenan dalam Perniagaan

Pemodenan dalam perniagaan bertujuan meningkatkan kapasiti perkhidmatan terhadap pelanggan, menarik lebih ramai pelanggan dan seterusnya menjana lebih banyak keuntungan. Hal ini meliputi aspek model perniagaan, pengurusan, pembangunan premis, penjenamaan serta penyelidikan dan pembangunan. 

Hari ini kita dapat melihat percambahan model perniagaan baru umpamanya rangkaian francais dan pasar raya besar. Secara umumnya corak model perniagaan baru menuju ke arah ekonomi skala besar dan peningkatan nilai komersial. 

Pihak kerajaan juga telah menyediakan pelbagai skim suntikan modal kepada golongan peniaga kita seperti skim pinjaman mikro agar perniagaan dapat dikembangkan lagi ke tahap yang lebih baik. 

Justeru para peniaga Muslim juga sewajarnya berusaha memperbesar perniagaan mereka agar potensi pulangan keuntungan dapat ditingkatkan. Di samping itu, model perniagaan yang tersendiri dapat memberikan kelebihan berbanding kepada peniaga berbanding pesaing yang lain.

Aspek pengurusan pula dapat ditingkatkan dengan aplikasi teknologi maklumat serta automasi mesin. Penggunaan program serta pangkalan data elektronik dalam pengurusan stok dan transaksi jual beli dapat meningkatkan lagi kecekapan pengurusan.

Penggunaan automasi mesin seterusnya dapat meningkatkan keupayaan pengeluaran agar dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat seta mengurangkan tempoh menunggu pelanggan terhadap barangan yang ditempah.

Pembangunan premis turut perlu diberi perhatian kerana hal ini bakal mempengaruhi aspek kebersihan dan keselesaan premis untuk pelanggan. Tapak premis yang luas dapat memudahkan pelanggan membeli belah serta membolehkan lebih banyak barangan jualan dipamerkan. 

Penyelidikan yang berterusan pula dapat menjamin peningkatan kualiti barangan atau perkhidmatan yang disediakan. Pelanggan akan tertarik kepada produk yang sentiasa mengalami evolusi inovasi berbanding produk pesaing yang sedia ada.

Di kala situasi ekonomi semasa yang menuju ketidaktentuan, para peniaga Muslim turut menghadapi cabaran peningkatan kos operasi, penguncupan prestasi jualan serta pengawalan kemudahan kredit oleh pihak bank.

Namun peniaga Muslim boleh terus membuat penambahbaikan terhadap perniagaan mereka dengan pengurusan kos yang lebih efektif, implementasi aliran kerja yang efisien dan strategi pemasaran yang kreatif. 

Kaedah sedemikian mampu menjadikan peniaga Muslim lebih berdaya saing serta maju ke hadapan walaupun menghadapi persekitaran pasaran yang lebih mencabar. Seterusnya kekuatan ekonomi ummah diharapkan dapat terus berkembang di samping aplikasi sistem ekonomi Islam dapat diperluaskan.

Kaitannya dengan Remaja

Perbincangan berkenaan memajukan perniagaan mungkin agak terlalu awal bagi golongan remaja. Namun pada masa ini tentunya sudah ada remaja yang menceburi bidang perniagaan, sama ada sebagai pemilik atau pekerja. 

Namun, sebenarnya isi perbincangan di atas bertujuan membuka mata remaja tentang sejauh mana kemajuan dalam perniagaan bagi peniaga di kalangan kita berbanding peniaga bukan Islam. 

Secara perbandingan mata kasar, kita mungkin boleh melihat contoh sebuah kedai runcit milik orang kita dan bandingkannya dengan kedai runcit milik bukan Islam.

Perbandingan keadaan premis sahaja mungkin sudah menggambarkan perbezaan yang agak jelas dari sudut keselesaan dan kebersihan premis, teknologi transaksi jual beli dan mungkin juga jenis barangan yang ada.

Oleh sebab itu anjakan paradigma tentang pemodenan perniagaan diperjelaskan di sini supaya golongan remaja Muslim dapat melihat hala tuju perniagaan milik kita yang seharusnya berkembang seiring zaman. 

Faktor pemilikan modal yang terhad mungkin merupakan satu cabaran yang dihadapi tetapi ia tidak seharusnya menghalang kita daripada membina cita-cita besar untuk mengembangkan perniagaan. 

Dahulu, Kini, Akan Datang

Jika dahulu berniaga di pasar malam, kini mungkin sudah memiliki premis tetap sendiri. Insya-Allah pada masa akan datang cawangan baru perniagaan dapat dibuka di tempat lain. 

Jika dahulu pengurusan stok dilakukan secara manual, kini mungkin sudah menggunakan teknologi kod bar untuk mengimbas barangan jualan. Insya-Allah pada masa akan datang teknologi pengenalpastian frekuensi radio (RFID) pula akan digunakan.

Jika dahulu jenama produk kita hanya dikenali oleh masyarakat setempat, mungkin kini sudah dipromosikan ke seluruh negara. Insya-Allah akan datang jenama produk kita akan dikenali di peringkat antarabangsa.

Kesimpulan

Pemodenan dalam perniagaan bukan sahaja dapat memperkembang perniagaan ke tahap yang lebih baik, tetapi juga dapat meningkatkan keupayaan peniaga untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan. 

Dari sudut ekonomi makro pula, kekuatan ekonomi ummah juga dapat ditingkatkan di samping mewujudkan produk alternatif keluaran Muslim yang lebih terjamin kualitinya, kesuciannya dan status halalnya.

No comments: