Like Blog Ini...

Wednesday, February 18, 2009

Peluang laksana wakaf tunai

Oleh Mohd. Bakri Ibrahim


Umat Islam kini boleh membuat wakaf tunai selain menyalurkan pelbagai derma kepada mereka yang memerlukan. — gambar hiasan


Allah SWT mencipta manusia dengan sebaik ciptaan. Manusia diberi akal dan fikiran untuk merancang kehidupan seharian, kelebihan ini dianugerahkan oleh Allah SWT tanpa mengira agama dan bangsa. Dengan kelebihan itu manusia diberi tugas untuk mentadbir dan memakmurkan dunia ini.

Hanya dengan ilmu serta akal yang dipaksikan kepada iman dapat menentukan bentuk amalan yang dilakukan oleh manusia. Justeru itu, manusia dapat mengurus dan memakmurkan bumi ini dengan ilmu pengetahuan yang dianugerahkan oleh Allah.

Kewujudan Wakaf Dalam Perundangan Islam

Manusia adalah makhluk Allah yang mempunyai potensi tinggi untuk maju dalam membangunkan dunia dan syiar Islam. Salah satu mekanisme pewakafan bagi membantu masyarakat dan negara ialah Skim Wakaf Tunai.

Skim ini dapat menggalakkan umat Islam berwakaf dengan wang tunai yang dimiliki oleh mereka. Berwakaf dengan cara ini dahulunya dikenali sebagai Waqf al-Naqdy.

Berwakaf wang adalah cara paling mudah bagi membolehkan setiap Muslim melaksanakan ibadah wakaf.

Ganjaran pahala yang berpanjangan diperolehi oleh waqif (pewakaf) seperti mana yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Apabila seseorang itu mati terputuslah amalannya kecuali tiga: Sedekah jariah atau ilmu yang boleh dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh berdoa untuknya. Yang dimaksudkan dengan sedekah jariah ialah wakaf". (riwayat Imam Tarmizi)

Pengertian Wakaf Tunai

Wakaf berasal dari perkataan Arab: Waqafa. Ia membawa berbagai-bagai pengertian, antaranya: berhenti, menegah dan menahan.

Wakaf Tunai pula membawa maksud berwakaf dengan cara menggunakan Wang Tunai sebagai harta yang diberi (mauquf) oleh pewakaf (waqif) kepada mana-mana badan atau tabung yang diamanahkan sebagai pemegang amanah tunggal yang memegang dan menguruskan harta wakaf.

Amalan wakaf tunai, yang dahulunya dikenali sebagai Waqf al-Naqdy atau Waqf al-Darahim telah diamalkan semenjak abad ke 15 dan 16 lagi.

Semasa pemerintahan Uthmaniah di Turki, amalan wakaf yang dilaksanakan pada masa tersebut telah menunjukkan kejayaan serta mampu meringankan perbelanjaan Kerajaan dan menyediakan kemudahan kepada masyarakat.

Banyak sumbangan daripada insan yang bermurah hati disalurkan untuk membiayai projek-projek negara manakala manfaatnya dapat dirasai dan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Melalui pengertian wakaf sebegini, maka ternyata kepada kita bahawa mana-mana harta yang diwakafkan itu menjadi milik Allah SWT yang bersifat ta'bid (kekal) untuk kemaslahatan ummah (kebaikan umum).

Orang bukan Islam juga dibenarkan oleh syariat Islam untuk berwakaf dan wakaf daripadanya adalah sah mengikut hukum Islam.

Pelaksanaan Wakaf Tunai

Hasil pungutan Wakaf Tunai yang diperoleh daripada pewakaf dikumpulkan dalam tabung amanah. Wang daripada tabung amanah tersebut akan diganti (istibdal) dengan harta kekal, seperti tanah, bangunan dan lain-lain yang manfaatnya tidak hilang atau luput dan ia boleh dinikmati oleh masyarakat.

Tanah-tanah yang dibeli akan dimajukan dengan membina pusat pengajian, asrama anak yatim, rumah kos rendah, masjid, madrasah dan sebagainya mengikut konsep asal wakaf iaitu menjamin manfaatnya berterusan dan tidak hilang.

Kejayaan pelaksanaan Skim Wakaf Tunai oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai contoh, sejak tahun 2001 hingga 2008 telah berjaya mengumpul kutipan dana sebanyak RM15, 556,117.53.

Dana ini telah digunakan bagi tujuan pembangunan hartanah wakaf seperti membina Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Taman Bandar Kelana Jaya dengan kos RM8 juta, membeli lima Lot Kedai di Bandar Bukit Puchong dengan kos pembeliannya sebanyak RM1.08 juta serta lain-lain pembangunan dan perancangan yang akan dilaksanakan oleh MAIS mengikut sasaran dan keperluan dari semasa ke semasa.

Cara Menyertai Wakaf Tunai

Kini, individu Muslim yang ingin berwakaf tidak lagi semestinya mempunyai harta kekal seperti tanah dan bangunan terlebih dahulu. Malah dengan hanya sumbangan RM10 sebulan pun, mereka telah mampu berwakaf.

Sumbangan tunai secara bulanan bagi tujuan pembelian harta untuk diwakafkan ini, walaupun kelihatan kecil akan memberi kesan yang sangat besar. Sama ada dari segi pahala kepada pewakaf di akhirat nanti, mahupun kepada impak segera dari segi pembangunan sosio-ekonomi umat Islam di dunia lagi.

No comments: