KEBERANIAN Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan patut mendapat pujian umat Islam bahkan masyarakat antarabangsa.
Tindakan Erdogan bertikam lidah dengan Presiden Israel dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland pada salah satu sesi dialog perdamaian diharap menjadi pencetus untuk lebih ramai pemimpin Arab dan dunia Islam bangkit mendedahkan kebiadapan Israel terhadap rakyat Palestin di Genting Gaza.
Biar apa pun tanggapan negatif blok Barat dan sekutu Israel terhadap Erdogan dalam insiden yang disaksikan di depan mata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon dan Setiausaha Agung Liga Arab Amr Moussa serta ratusan hadirin WEF, ia boleh dianggap bagaikan ledakan bom untuk mengejutkan dunia tentang sesuatu patut disuarakan tentang rejim Zionis di Gaza.
Turki adalah antara kelompok kecil negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Malah Erdogan selama ini turut memimpin usaha sebagai orang tengah dalam rundingan damai antara Israel dan Syria menjelang hari pertama serangan Zionis ke atas Gaza.
Mungkin 'emosi' Erdogan di Davos boleh menjejaskan kedudukan Turki sebagai perantara proses damai Asia Barat tetapi ia membantu mengukuhkan pengaruh serantaunya dalam jangka masa panjang.
Dunia akan mengingati Erdogan sebagai pemimpin Turki yang mengajar Presiden Israel. Walaupun, daripada sudut pandangan politik, tindakan Erdogan dianggap salah, mungkin juga bodoh. Tetapi seseorang perlu bersuara terhadap Israel.
Pencerobohan Zionis Israel di Gaza yang masih berterusan kini, biarpun diadakan gencatan senjata selepas 22 hari rakyat Palestin diserang, ia langsung tidak mendapat reaksi daripada pemimpin-pemimpin Arab.
Kematian lebih 1,300 orang Palestin dan kemusnahan harta benda termasuk rumah dan kemudahan awam tidak boleh 'dibayar' dengan sumbangan bantuan dalam bentuk wang.
Justeru memang wajar para pemimpin Arab dikritik kerana gagal menghentikan tindak-tanduk Zionis terhadap suku bangsa mereka sendiri.
Jika dunia Arab mahu menyanjungi Erdogan sebagai hero bangsa Arab, ia adalah wajar. Beliau sekurang-kurangnya berani menyuarakan apa yang patut disuarakan oleh pemimpin Arab sejak dulu lagi.
Masyarakat dunia terutama umat Islam telah lama mempersoalkan -- kenapa negara Arab yang mengelilingi Israel tidak dapat melakukan sesuatu yang bermakna terhadap rejim Zionis itu. Paling serius, kenapa pemimpin Arab tiada taring apabila berhadapan dengan kekejaman Israel terhadap Palestin.
Perkembangan itu dapat dikesan selepas beberapa negara Arab mengalami kekalahan berperang dengan Isreal. Malah diburukkan lagi dengan sikap hipokrit pemimpin mereka yang secara tersurat dan tersirat mengiktiraf rejim Zionis, sebaliknya tidak membantu perjuangan rakyat Palestin memerdekakan negara mereka.
Hal ini juga berlaku kerana pemimpin Arab terlampau mahu menjaga 'kuasa'. Sebab itu beberapa ketua kerajaan negara Arab tidak popular di kalangan rakyatnya mendapatkan sokongan Barat untuk mengekalkan kedudukan dan kuasa sejak sekian lama.
Sama ada Erdogan mahu menunjukkan tindakannya di Davos dalam bentuk yang lebih berani dengan memutus hubungan diplomatik dengan Israel, hanya beliau yang tahu. Tetapi Erdogan sudah memberi inspirasi betapa pemimpin umat Islam mesti berani dan tegas terhadap rejim Israel.
Pemimpin Islam di negara- negara Arab digesa bersatu dan tidak mudah tunduk kepada telunjuk Barat lagi. Kalau semua pemimpin Arab bersatu, Israel akan mengkaji tindakan mereka ke atas Palestin.
No comments:
Post a Comment