JUMAAT lepas aku dan sukarelawan dari Yayasan Salam Malaysia berjemaah di sebelah sebuah masjid yang ranap akibat bedilan peluru berpandu dan bom Israel. Jemaah berkumpul di tanah lapang yang biasanya digunakan sebagai tempat letak kereta. Apabila kami sampai di situ, khatib sedang membaca khutbah dengan suara yang lantang dan penuh semangat.
Dua buah van berwarna kuning diletakkan di hadapan jemaah dengan beberapa pembesar suara yang besar. Suara khatib itu boleh didengar dengan jelas, dan jemaah duduk berbaris berdiam diri mengikuti khutbah dengan khusyuk. Aku memang tak tahu berbahasa Arab tetapi beberapa perkataan yang disebut jelas memberi gambaran bahawa tajuk khutbah ialah keganasan tentera dan rejim Israel terhadap Gaza, yang serba kurang.
Di sekeliling jemaah, anak-anak muda berdiri memegang bendera Palestin dan bendera parti Hamas yang memerintah Gaza. Terdapat juga bendera Turki yang menawan hati rakyat Palestin ekoran tindakan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan di Davos, Swiszerland tempoh hari. Tindakan Erdogan meninggalkan dewan setelah bertekak dengan penganjur mendapat liputan besar sedunia, sekali gus menyuntik semangat baru kepada pejuang Hamas.
Apabila pengerusi majlis mendesak Erdogan untuk memendekkan hujahnya setelah Peres diberi 25 minit untuk berhujah, Presiden Turki itu bangun dan bergegas meninggalkan majlis. Tindakan itu dilihat oleh rakyat Palestin, khususnya yang tinggal di Gaza, sebagai sokongan kuat terhadap perjuangan mereka untuk menentang kekejaman dan penindasan rejim Zionis Israel. Jemaah mengibarkan bendera Turki dengan megah sementara menanti sembahyang bermula.
Ramai wartawan, jurufoto dan kakitangan televisyen hadir untuk merakamkan perarakan yang dirancang selepas sembahyang Jumaat. Aku bernasib baik dapat mencelah di saf kedua.
Sebaik-baik sembahyang selesai, jemaah bangun dan berdiri menunggu isyarat untuk berarak. Semuanya dilakukan dengan penuh disiplin. Beberapa orang jurutera dari Jordan yang bertugas di Gaza turut berbaris menunggu isyarat. Pengerusi majlis mengarahkan dua van kuning itu bergerak dengan perlahan-lahan yang diikuti oleh jemaah dengan meneriakkan dua kalimah syahadat.
Aku masuk barisan dan berarak sama. Aku lihat jemaah begitu bersemangat sekali dan sempat berbual dengan seorang ahli perniagaan, Ashraf Abu Mahadi. Dia dan rakan-rakannya bersalaman dengan aku sambil mengucapkan ‘terima kasih’ kepada Malaysia yang menunjukkan keprihatinan terhadap penduduk Gaza. Mereka memuji Malaysia dan menyebut nama mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkali-kali.
Ashraf memberitahu bahawa penduduk Gaza tidak akan mengalah dan akan berdiri teguh di belakang pemimpin mereka. Katanya, penduduk Gaza tidak ada pilihan lain selain berjuang demi menegakkan kebenaran dan menentang keganasan rejim Zionis itu. Apabila mereka melaungkan dua kalimah syahadat sebelum memulakan perarakan, ini bermakna mereka bersedia mati jika diserang oleh bala tentera Israel ketika berarak.
“Saudara, kami rela mati daripada terus ditindas, dicemuh dan hidup tanpa maruah di bawah telunjuk Israel. Ini tanah tumpah darah kami. Kami akan pertahankannya sehingga titisan darah yang akhir. Mengapa perlu takut jika kita berada di pihak yang benar?" kata anak muda yang berusia dalam lingkungan 30-an itu.
Di barisan belakang sekali, sekumpulan wanita berjubah hitam berarak sama sambil melaungkan kalimah dan bertakbir. Salah seorang daripada mereka menjadi ketua dan melaungkan kata-kata yang diikut oleh pengikutnya. Aku bertanya pada Ashraf, apa yang dilaungkan oleh ketua kumpulan itu.
Ashraf berhenti sejenak dan mendengar laungan itu dengan teliti. Katanya: “Ah... saudara, mereka melaungkan kata-kata semangat. Secara ringkas, mereka memberi perangsang kepada pejuang supaya jangan undur bila berjuang. Kami sedia mengambil tempat kamu jika ada antara kamu yang gugur! Pergilah berjuang. Doa kami mengiringi mu selalu!”
Wah! Berdiri bulu romaku mendengarnya. Aku teringat lagu Perwira Ku yang dimainkan di radio Kuala Lumpur.
Ashraf bercerita lagi: “Dalam serangan Israel selama 22 hari, ramai wanita yang kehilangan suami, anak, kekasih mahupun bapa, ibu, rakan dan taulan. Inilah yang mendorong mereka untuk bersama kami berbaris dan menunjukkan kesediaan untuk berjuang bersama!”
Perarakan berakhir di Masjid al-Kholafaa, sebuah lagi masjid di tengah kota Gaza yang musnah sama sekali. Di atas timbunan batu-bata masjid itu, anak-anak muda Palestin mengibar bendera negaranya dengan megah tanpa menghiraukan keselamatan diri mereka.
Sesekali, aku mendongak ke langit, takut-takut jika jet pejuang F16 Israel menghantar ‘pesanan’ melalui bom dan peluru berpandu mereka. Alhamdulillah, majlis tamat tanpa sebarang insiden dan aku kembali meronda kota Gaza mencari erti kepada kekejaman yang jelas terbukti.
DATUK AHMAD A. TALIB ialah
Pemegang Amanah Yayasan Salam Malaysia.
No comments:
Post a Comment