Tentunya ramai yang boleh bersetuju dengan pendapat yang mengatakan zakat merupakan sumber utama dalam menjana ekonomi dan kewangan Islam. Ini kerana kedudukannya sebagai salah satu daripada lima rukun Islam yang mempunyai hubungan terus dengan sistem ekonomi dan kewangan.
Zakat sebagai pembersih harta ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada akhlak yang buruk)...(at-Taubah: 103)
Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil, zakat boleh memainkan peranan secara berkesan membantu membangunkan ekonomi umat Islam.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. HATIM MAZLAN menemu bual Eksekutif Zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS), Uda Kasim bagi mengupas isu ini.
Mega: Apakah kedudukan zakat sebagai sumber utama kegiatan ekonomi Islam?
UDA: Zakat adalah salah satu cabang kewangan Islam yang menyumbang kepada menjana ekonomi umat. Kalau dilihat kepada lapan asnaf yang layak menerima zakat, memang bantuannya lebih banyak kepada menjana ekonomi.
Institusi zakat mengajak orang kaya mengeluarkan zakat. Dengan itu, harta mereka tidak beku seterusnya dapat menggerak dan mengembangkan ekonomi negara.
Dari segi agihan pula, zakat menjana ekonomi umat. Sebabnya, ada di kalangan kita yang mempunyai ilmu dan kekuatan tulang empat kerat tetapi tidak ada modal. Jadi zakat boleh membantu memberi modal kepada mereka.
Ada yang tidak ada ilmu, jadi wang zakat boleh digunakan untuk memberi latihan supaya mereka boleh berdikari mencari rezeki.
Dalam zaman moden kini, institusi zakat bukan sahaja bagi bantuan tetapi turut memasarkan produk keluaran golongan asnaf. Ini antara yang dilakukan di LZS melalui Asnaf Edarnya yang dapat menjana ekonomi para asnaf.
Bagi kategori fisabilillah pula, contohnya sebuah keluarga yang miskin melalui bantuan pelajaran kepada anak-anak, ia dapat mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan. Melalui pelajaran yang ada mereka mampu mencari pekerjaan.
Dalam kegawatan ekonomi global, bilangan yang memohon zakat dijangka bertambah. Bagaimana hendak berhadapan dengan keadaan ini?
UDA: Memanglah apabila ekonomi meleset, kita menjangka lebih ramai diberhentikan kerja dan akan memohon bantuan zakat.
Dalam agihan bantuan zakat, ia diberi berdasarkan keperluan asnaf iaitu melihat kepada mereka yang pendapatannya kurang daripada keperluan.
Kita tidak melihat kepada harta beku mereka sebelum itu. Tidak kira siapa walaupun sebelum ini mereka itu mempunyai rumah dan kereta besar. Kita tidak boleh suruh mereka jual aset beku itu. Sebabnya, kini mereka sudah diberhentikan kerja.
Dalam situasi ini, mungkin ada yang diberhentikan kerja berfikir untuk berniaga tetapi tidak ada modal. Justeru, golongan fakir miskin boleh datang kepada institusi zakat seperti LZS memohon bantuan kewangan.
Syaratnya hendaklah disertakan kertas kerja. Jika dirasakan ia mampu menjana pendapatan, tidak ada halangan bagi institusi zakat memberi bantuan modal.
Pada masa yang sama, dakwah kepada golongan kaya akan diperhebatkan. Mereka jangan takut bersedekah. Sebabnya, sedekah yang paling afdal adalah semasa seseorang itu amat memerlukan. Jangan takut jadi fakir atau miskin dengan bersedekah.
Apabila bersedekah atau berzakat maka kita akan merapatkan hubungan silaturrahim. Ingatlah sabda Rasulullah yang bermaksud, barang siapa yang mahu Allah membuka pintu rezeki baginya hendaklah dia merapatkan silaturrahim.
Jangan pula disebabkan ekonomi gawat kita tidak lagi menghadiri jemputan kahwin rakan dan saudara. Sebabnya bimbang kalau bersalam tidak ada sampul untuk diberikan kepada tuan rumah.
Sepatutnya, lagi tertekan dan sempit hidup kita, makin banyak kita bersedekah. Oleh itu, orang kaya kini kena jumpa saudara mereka yang fakir untuk memberi bantuan selain membayar zakat di kaunter yang disediakan.
Ada di kalangan umat Islam yang membayar zakat kerana mahukan rebat cukai pendapatan. Betulkah niat sebegini?
UDA: Memang betul kerajaan memberi keistimewaan mendapat rebat cukai pendapatan dengan zakat yang ditunaikan. Tetapi jangan jadikan ia sebab keluar zakat. Zakat ditunaikan kerana pematuhan kepada perintah Allah SWT.
Selain itu, ia juga tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Rebat cukai itu hendaklah dianggap sebagai hadiah Allah di dunia atas kebaikan yang kita lakukan.
Jika kita niatkan zakat untuk rebat cukai dibimbangi ia akan menghilangkan pahala. Kita juga bimbang, berzakat tidak dapat mendidik kita menjadi pemurah, bersyukur dan kasih kepada orang miskin. Ini sekali gus sudah lari daripada objektif membayar zakat.
Bagaimana hendak meyakinkan masyarakat supaya membayar zakat melalui institusi yang dilantik oleh kerajaan?
UDA: Yang pertama, jangan terima khabar angin bulat-bulat. Terutama daripada orang yang kita tidak tahu berpengetahuan atau tidak dalam bidang zakat.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita, periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan satu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (al-Hujurat: 6)
Kadang-kadang memang ada kesilapan sebab yang melaksanakannya adalah manusia. Namun, masalah itu adakalanya boleh diselesaikan dengan satu mesyuarat sahaja.
Masyarakat perlu bersangka baik dan siqah (percaya) pada institusi zakat. Sebabnya, kita sentiasa membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa. Ini termasuk adanya juru audit dalam dan luar.
Kita pun seperti umat Islam yang lain. Kita takut pada Allah takkan kita mahu membuat sesuatu yang dimurkai Allah.
Selain itu, masyarakat perlu mengambil tahu tentang institusi zakat. Kadang-kadang kita sedih walaupun hebahan dibuat menerusi media massa termasuk laman web tetapi ia hanya dipandang sepi.
Seterusnya, masyarakat perlu memahami tentang zakat. Kadang-kadang kita pertikai kenapa si pulan itu tidak dapat tanpa mengetahui latar belakangnya. Kita kena tahu had kifayahnya.
Institusi zakat di negara kita adalah antara yang dibanggakan di peringkat antarabangsa. Banyak negara lain yang datang belajar kepada kita. Jangan kita membuat kesimpulan tanpa meneliti dan membuat penyelidikan tentang dakwaan yang dibuat.
Pada zaman Khalifah Abu Bakar, beliau menentang golongan yang enggan bayar zakat dalam al-Riddah. Hari ini, ada orang Islam yang tidak bayar zakat dan tidak rasa bersalahpun berbuat demikian. Bagaimana mengatasinya?
UDA: Sejarah pensyariatan ibadat dalam Islam ada beberapa peringkat. Contohnya dalam bab pengharaman arak.
Walaupun arak adalah kegemaran penduduk Arab tetapi apabila dididik dengan iman dan memahaminya mereka boleh balik ke rumah dan memecahkan tempayan arak masing-masing. Keimanan adalah penggerak ketaatan kepada Allah.
Yang kedua, kita belum ada faktor perundangan untuk menghukum orang yang tidak berzakat. Dakwah kepada mereka itu boleh tetapi bukan semua boleh dilentur tunai zakat. Namun melalui dakwah itu pun membuahkan hasil yang baik.
Cuma kita berharap, pelaksanaan enakmen zakat untuk dakwa golongan yang enggan bayar zakat ini dapat diwujudkan. Walaupun undang-undangnya sudah sedia ada tetapi ia tidak cukup untuk menggerunkan masyarakat.
Bagaimana pula menyelesaikan kes orang yang ‘tertinggal’ mendapat bantuan zakat disebabkan perbezaan ideologi politik?
UDA: Saya berpendapat kes-kes begini adalah terpencil. Apa yang kerap berlaku adalah terlepas pandang. Sebab yang bekerja mencari golongan asnaf itu manusia.
Pemilihan fakir miskin dilakukan oleh para nazir dan juga amil. Kes-kes begini kadang-kadang tidak disengajakan.
Contoh, semasa buat bancian, individu itu ok tetapi bila dah selesai dan tiba masa pengagihan, orang itu jatuh miskin, kematian suami, bankrap dan sebagainya.
Setakat ini, kita di LZS duduk di zon bebas. Etika kita ialah menjadi mata dan telinga kepada umat kerana apabila virus miskin melanda ia tidak kenal mana-mana ideologi.
No comments:
Post a Comment