Like Blog Ini...

Tuesday, February 24, 2009

YAANM tidak sendirian bela anak yatim

Oleh AZMI ABDUL MALEK

MEMEGANG amanah menjaga dan membesarkan anak yatim bukanlah satu usaha yang mudah kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

Tambahan pula anak yatim terbabit masih mentah dan perlukan kasih-sayang sepanjang masa.
Pengurus pusat anak yatim mestilah sanggup mengasuh mereka dengan baik serta mengatasi segala macam masalah dihadapi.

Malah kakitangan pusat terbabit harus sanggup menjadi ayah dan ibu yang sentiasa mendengar rintihan dan kepayahan hidup mereka.

Inilah yang dilalui 10 kakitangan Yayasan Amanah An-Nur Maisarah (YAANM) yang diketuai pengerusinya, Dr. Fazillah Nordin.

Dr. Fazillah adalah orang yang bertanggungjawab menjaga beberapa anak yatim antara usia dua bulan hinggalah ke peringkat usia remaja.

Selain dijaga aspek pemakanan mereka, anak yatim ini juga diberi pendidikan sempurna setanding dengan kanak-kanak lain yang masih mempunyai ibu dan bapa.

Yayasan itu yang diamanahkan kepada Jeneral (B), Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid, Datuk Dr. Razak Kechik dan Dr. Fazillah sendiri memulakan operasi mengambil anak yatim sejak enam tahun lalu.

Sehingga kini seramai enam penghuni pusat itu berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.

Mohd. Imran Mohd. Noor, Nurul Liyana Abd. Aziz dan Siti Khatijah Abd. Rahman sedang menuntut di Kolej Teknologi Bestari, Setiu, Terengganu dalam jurusan kejururawatan.
Manakala Zamhaliza Osman, (Multimedia) dan Nurul Wahida Mohd. Noor (Pentadbiran Perniagaan) di kolej yang sama.

Mohd. Shafiq Mohd. Som mengambil jurusan Landskap di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Zairul Attifi sedanmg mengikuti bidang kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pertak, Kuala Kubu Baru, Selangor dalam jurusan pastri.

Yayasan itu kini menjaga tiga orang bayi berumur dua bulan hingga setahun iaitu Nur Ahmad Rizqi (dua bulan), Nur Iman (tujuh bulan) dan Nazimuddin Mustaqimbillah (setahun) berikutan kesempitan hidup keluarga dan kematian bapa.

Dr. Fazillah berkata, yayasan berkenaan mempunyai 56 anak yatim dan miskin dari seluruh negara.

"Sejak ditubuhkan enam tahun lalu, yayasan itu berjaya mendidik anak yatim dalam bidang akademik sehingga enam daripada mereka melanjutkan pelajaran di menara gading," katanya ketika ditemui di YAANM, Chemor, Perak baru-baru ini.

Katanya, seramai 11 penghuni yayasan itu turut berjaya belajar di sekolah asrama penuh dan selebihnya dihantar ke sekolah berdekatan.

"Kami mahu mereka berjaya dalam akademik, sekali gus dapat merubah kehidupan masa depan keluarga masing-masing," katanya.

Pelbagai aktiviti diatur sepanjang hari supaya mereka memenuhi tanggungjawab masing-masing kepada yayasan berkenaan.

Setiap Sabtu dan Ahad rutin mereka bermula dengan solat Subuh sebelum melakukan senaman, mengemas kawasan, bersarapan dan mengulangkaji pelajaran.

Selepas makan tengah hari mereka menyambung aktiviti dengan mengulangkaji pelajaran dari pukul 4 hingga 7 petang.

Selepas solat Maghrib mereka makan malam dan mengulangkaji pelajaran sehingga pukul 10.30 malam.

Pada hari persekolahan, setiap penghuni akan ke sekolah selepas solat Subuh dan bersarapan kira-kira pukul 7.15 pagi.

Mereka akan menjalani kegiatan mengikut jadual harian sebelah petang pada hari Sabtu dan Ahad kecuali sekiranya ada kegiatan kokurikulum di sekolah.

Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengadakan kelas motivasi diri, teknik menjawab soalan peperiksaan dan fardu ain dua kali sebulan.

Sementara Kolej Komuniti Sungai Siput turut mengadakan program pengurusan diri selama lapan jam setiap minggu selain kelas fardu ain, Bahasa Inggeris dan komputer.

Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor pula memperkenalkan reka bentuk landskap dan gerakan minda selama tiga hari di kampus itu pada setiap tiga bulan.
Pada setiap hujung tahun Kolej Taj, Ipoh turut mengadakan kursus komputer kepada beberapa penghuni yayasan itu selama sebulan.

Sementara itu, Dr. Fazillah berkata, beliau sentiasa mengharapkan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pengurusan dan perbelanjaan makan minum penghuni di situ yang dianggarkan lebih RM30,000 sebulan.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya menyumbang RM20,000 setahun, manakala selebihnya disumbangkan pemegang amanah dan orang ramai.
Sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan boleh datang ke yayasan berkenaan atau menghubungi telefon 05-2014 423.

Katanya, setakat ini kanak-kanak di situ diasuh 10 kakitangan tetap termasuk beliau sendiri mengikut peraturan dan disiplin yang ditetapkan.

Sementara itu Dewan Industri Buku Melayu Malaysia (DIBMM) terus menyumbang buku kepada YAANM, di Batu 9, Jalan Ipoh Chemor, Chemor, Perak, baru-baru ini dalam usaha membantu meningkatkan bahan bacaan di perpustakaan pusat anak yatim dan miskin berkenaan.

Presidennya, Datuk Abdul Ghani Ngah berkata, anak yatim perlu diberi ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat menara gading supaya mereka dapat menaiki taraf hidup diri masing-masing apabila dewasa nanti.

Sehubungan itu beliau berkata, golongan korporat bertanggungjawab membantu mereka mencapai matlamat hidup yang diperlukan.

"Salah satu caranya ialah menggalakkan mereka belajar sehingga berjaya lulus di peringkat ijazah dan memperoleh jawatan penting suatu masa nanti," katanya selepas menyampaikan sumbangan buku bernilai kira-kira RM1,000 kepada perpustakaan YAANM, baru-baru ini.
Abdul Ghani berkata, selain menjalankan perniagaan berkaitan buku bacaan, DIBMM turut menyempurnakan tanggungjawab sosialnya kepada golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, setakat ini DIBMM telah menyumbangkan buku di pusat sumber sekolah dan anak yatim untuk membantu kerajaan meningkatkan taraf pendidikan rakyat, sekali gus mengubah status kehidupan mereka suatu masa nanti.

Beliau berharap penerima sumbangan ini dapat menggunakan kemudahan disediakan dengan baik supaya matlamat utamanya tercapai.

No comments: