Like Blog Ini...

Thursday, February 12, 2009

CD kaifiat azan

Oleh ZUARIDA MOHYIN


ACAP KALI berkumandang azan sama ada secara langsung mahupun menerusi corong radio atau televisyen, ramai yang sekadar mendengar kosong tanpa sedikitpun menjiwai seruan yang mengajak serta memberi isyarat kepada umat Islam akan kewajipan mereka menunaikan solat fardu lima waktu.

Kurangnya penghayatan ini berkemungkinan kerana kita sudah terbiasa ataupun ia sudah semacam rutin dalam kamus hidup seorang Muslim.

Hakikatnya, azan sebenarnya bukan sekadar satu isyarat untuk memaklumkan tentang masuknya waktu solat fardu tetapi dengan alunannya yang indah, namun ia mampu melenturkan hati yang keras untuk jatuh cinta kepada agama Islam.

Ini dibuktikan menerusi pengakuan segelintir saudara baru yang menerima hidayah Ilahi yang bertitik-tolak menerusi kuasa 'penawar' daripada azan itu. 

Menyedari akan keistimewaan dan keunikan 'kuasa' azan, Islamic Media Edutainment menerbitkan sebuah cakera padat (CD) berjudul Kaifiat Azan - Panduan Azan dan Iqamah. 

Album yang telah berada di pasaran sejak 23 Januari lalu mengandungi 15 trek yang lengkap dengan panduan berkaitan azan dan iqamah. 

Bilal Masjid Al-Mukarramah di Bandar Sri Damansara, Ustaz Ibrahim Mat Dalop menyumbangkan suara dan kemahirannya sebagai muazin manakala Azwan dari kumpulan Far East berperanan sebagai pengulas.

Album ini dimulai dengan alunan taslim yang cukup indah daripada Azwan dan diikuti oleh alunan azan Subuh daripada Ustaz Ibrahim. Seterusnya, bacaan doa selepas azan dan penerangan ringkas oleh Azwan berkenaan takrif dan hukum berkaitan azan. 

Diikuti pula alunan azan Zuhur dan beberapa potong ayat dari surah al-Jumuah dari ayat sembilan hingga 10 oleh Azwan. Kemudian disusuli dengan huraian ringkas tentang sejarah dan dalil berkaitan azan.

Pendengar akan diperdengarkan pula oleh azan Asar sebelum disediakan dengan penerangan adab, tertib dan sunat azan serta hadis yang berkaitan. Setelah itu, terdapat alunan azan Maghrib dan bacaan ayat al-Quran dari surah al-Maidah ayat 58, penerangan tujuan azan dan ditutup dengan alunan azan Isyak.

No comments: