Oleh: ARSHAD HUSSIN
DALAM dunia yang semakin canggih ini, institusi dakwah perlu mempelbagaikan metod menyebarkan agama Islam. Biarpun, kemudahan Internet semudah di hujung jari, namun kaedah konvensional iaitu turun padang tidak boleh dikesampingkan.
Itulah yang dilakukan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) apabila membuat kunjungan hormat kepada Menteri di Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah, Datuk Nasir Sakaran, di Wisma Innoprise, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Rombongan yang diketuai Timbalan Yang Dipertua Yadim, Shabudin Yahya itu disertai oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Amri Suratman dan Pengurus Besar Pentadbiran dan Kewangan Yadim, Dr. Abdul Ghani Mohamad.
Turut hadir ialah Setiausaha Rendah 1 JKM Sabah, Datuk Ag. Sharin Alimin dan Setiausaha Perhubungan Menteri JKM, Shamsolo Baharry Kairin.
Lawatan itu bertepatan dengan misi Yadim yang antara lainnya membina imej Islam sebagai agama yang benar dan adil. Ia supaya lebih ramai orang tertarik kepada Islam dan menerimanya sebagai agamanya.
Ia juga bertujuan menarik lebih ramai generasi muda terlibat dalam kegiatan dakwah melalui pendekatan kemasyarakatan Yadim.
Sempena kunjungan itu, Shabudin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Nasir berbincang mengenai perkembangan hal ehwal agama Islam semasa di negeri Sabah.
Turut dibincangkan ialah bulan dakwah 1430H peringkat kebangsaan yang akan berlangsung 19 Februari 2009 serta cadangan bulan dakwah negeri Sabah pada awal Mac tahun ini.
No comments:
Post a Comment