Oleh SITI AINIZA KAMSARI
SEKOLAH-SEKOLAH di banda raya Kuala Lumpur diakui sering memberikan cabaran yang paling getir kepada para tenaga pengajarnya. Atas faktor bandar raya besar itu, ia begitu memberikan impak kepada mutu disiplin para pelajarnya.
Begitu pun situasi masalah disiplin dan keruntuhan moral para pelajar sebenarnya dialami tanpa mengira tempat dan keadaan.
Ini kerana yang penting, jangan ada perkataan putus asa atau kecewa bagi mengembalikan semula para pelajar yang terjebak ke pangkal jalan. Ini kerana atas nama institusi keluarga, kepada pihak sekolah, para pelajar tidak ubah seperti anak kandung mereka sendiri. Lantaran itu, ibu bapa mana yang sanggup melihat anak mereka terbiar hanyut dibawa arus.
Begitupun tanpa bantuan pelbagai pihak di luar sekolah, tugas pendisiplinan dan pengukuhan sahsiah para pelajar merupakan satu episod yang sangat sukar untuk dipikul oleh pihak sekolah. Masalah kewangan lazimnya menjadi kekangan menyebabkan sebarang rancangan hanya tinggal menjadi lakaran pada kertas sahaja.
Justeru Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman dalam sebuah majlis baru-baru ini telah membuka satu tawaran yang sangat menarik.
Katanya, PPZ sedia menimbangkan permohonan pihak sekolah yang ingin menganjur dan menjayakan program-program yang mengutamakan pembentukan sahsiah, peningkatan motivasi para pelajar, khususnya para pelajar yang bermasalah.
"Jika tanpa sokongan kewangan, program seperti ini dikhuatiri sukar untuk mencapai matlamat secara menyeluruh dan berkesan maka PPZ sedia membantu," katanya.
Sebenarnya bantuan seperti ini telah banyak dihulurkan oleh PPZ kepada beberapa sekolah di sekitar ibu negara.
"Tidak sahaja untuk menjayakan program sahsiah dan motivasi malah PPZ tidak mempunyai masalah untuk menjayakan program kecemerlangan bagi pelajar yang menghadapi peperiksaan seperti Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Tajaan Akhbar dan Penyerahan Buku Sejarah kepada Sekolah-sekolah Terpilih di Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Wisma PPZ, Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.
Turut hadir ialah Pengurus Besar PPZ, Mohd. Rais Alias dan wakil-wakil sekolah yang menerima sumbangan.
Sebanyak 20 sekolah menerima beberapa set buku sejarah, iaitu buku naskhah tebal bertajuk Citra Merdeka 1957 - 2007 (Penerbitan Utusan Publication) dan Jubli Emas Merdeka 30 Ogos 1957 (Penerbitan Arkib Negara).
Sumbangan buku-buku tersebut bertujuan memperkayakan lagi pengetahuan sejarah di kalangan para pelajar di samping memupuk semangat cintakan negara (hubbul watan minnal iman).
Sementara itu, empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, SMK Yaacob Latif Jalan Peel, SMK Zon R1 Wangsa Maju dan SRK Seri Nilam, Taman Koperasi Polis Fasa 2 menerima tajaan 50 naskhah akhbar Berita Harian dan 50 naskhah akhbar The New Straits Times.
Tajaan akhbar tersebut sebagai penghargaan pihak PPZ terhadap sekolah yang berjaya meningkatkan bilangan dan jumlah pembayar zakat menerusi potongan gaji di kalangan kakitangan termasuk guru, guru besar dan pengetua sepanjang tahun lalu.
Menurut Mustafa, pembayaran zakat menerusi potongan gaji di kalangan guru dan kakitangan sekolah semakin meningkat.
Pada tahun ini seramai 929 warga pendidik dari 149 sekolah menengah dan 38 lagi dari 11 sekolah rendah di seluruh Wilayah Persekutuan telah menunaikan ibadat zakat pendapatan mereka dengan jumlah kutipan sebanyak RM694, 947.
"Kita mempunyai seramai 19,095 warga pendidik di seluruh Wilayah dan ini menjadikan sasaran kutipan kami pada tahun ini sebanyak RM1 juta," jelasnya.
Sasaran itu dapat dijayakan dengan kesediaan PPZ mengadakan pelbagai kempen dan sedia memberikan ceramah mengenai zakat ke semua sekolah yang ada.
Mustafa turut menyeru supaya lebih ramai umat Islam tampil sebagai pembayar zakat.
Ini bagi membolehkan PPZ melakukan lebih banyak sumbangan kembali kepada umat Islam di negara ini.
"Sebenarnya kesemua sumbangan dari PPZ ini adalah dari upah amil yang kami terima, iaitu 1/12 dari jumlah kesemua pungutan zakat yang diterima setiap tahun.
"Lebih banyak pungutan yang kami terima maka lebih tinggi bahagian upah amil yang kami terima yang boleh kita gunakan untuk pelbagai tujuan kebajikan dan pembangunan ummah, terutamanya dibidang pendidikan seperti ini," katanya.
No comments:
Post a Comment