Malam Ekspresi Palestin, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi medan lontaran warga UPM mengutuk kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Gaza.
Majlis deklamasi dan nyanyian lagu puisi yang diadakan pada 23 Januari lalu menunjukkan sokongan warga UPM terhadap penduduk Gaza di samping mengutip derma untuk disalurkan ke Tabung Khas Gaza UPM.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah berkata, malam ekspresi ini diadakan untuk menzahirkan empati terhadap penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
"Kita wajib membela dan meringankan penderitaan saudara kita dengan mengambil tindakan menghulurkan bantuan dan memberi sokongan moral," katanya ketika merasmikan majlis tersebut.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.
Malam Ekspresi Palestin dianjurkan oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Wisata Seni fakulti tersebut.
Seramai 300 pelajar dan staf UPM hadir pada majlis tersebut yang melihatkan deklamasi puisi, persembahan pentomen, nyanyian, pameran gambar mangsa peperangan di Gaza dan kutipan derma.
Pada majlis berasingan, UPM menyerahkan RM25,172 kutipan sumbangan Tabung Kemanusiaan Gaza daripada pelajar dan kakitangan universiti itu kepada Kementerian Pengajian Tinggi.
Ia diserahkan oleh Nik Mustapha kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa Majlis Amanat Tahun Baru 2009 Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya, baru-baru ini.
Majlis itu dihadiri oleh 500 orang termasuk perwakilan Institusi Pengajian Tinggi Awam lain.
No comments:
Post a Comment