Like Blog Ini...

Sunday, February 1, 2009

Serah amanah kepada yang berhak

Amanah merupakan suatu yang penting dalam kehidupan. Amanah yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang itu, wajib dipelihara sebaiknya. Setiap orang mempunyai amanah yang perlu ditunaikan sama ada amanah kepada Tuhannya, dirinya, keluarganya, majikannya, masyarakatnya mahupun negaranya. 

Mereka yang tidak menjaga amanah dianggap sebagai seorang yang khianat. Bukan semua orang layak menerima sesuatu amanah. Pemilihan mereka yang berhak menerimanya hendaklah dibuat berasaskan kelayakan dan kebolehan dengan memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan. 

Sekiranya sesuatu amanah diserahkan kepada mereka yang tidak layak dan tidak mampu menanggungnya, maka akan berlaku kucar kacir dalam masyarakat kerana khianat pula yang berleluasa di mana-mana. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Apabila dipertanggungjawabkan sesuatu kepada yang bukan ahlinya, tunggu sajalah masa kehancurannya.” (riwayat Bukhari) 

Pemimpin yang amanah pula akan bersikap adil terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas rakyatnya tanpa membezakan antara ahli keluarganya ataupun tidak. Dengan ini, masyarakat berasa puas hati hingga tidak timbul soal balas dendam dan persengketaan. Mereka dapat hidup dengan aman dan tenteram di bawah pimpinan pemimpin yang adil dan beramanah.

Kesimpulan

Bukan semua orang dapat memikul amanah dan kepercayaan yang diserah kepada mereka. Hanya mereka yang betul-betul layak sahaja berhak menerima amanah itu. Mereka adalah dari kalangan orang-orang yang berilmu dan tinggi ketaqwaannya kepada Allah SWT. 

Mereka takut mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan kerana tahu balasan yang bakal mereka terima sekiranya mereka mengkhianati amanah itu.

No comments: