Like Blog Ini...

Thursday, February 12, 2009

Kepentingan umat Islam membantu anak-anak yatim

Oleh AZMI ABDUL MALEK


ISLAM menggalakkan umatnya membuat kebajikan terutamanya mendermakan sebahagian daripada hartanya kepada mereka yang memerlukan termasuk golongan anak yatim dan miskin.

Allah berjanji akan memberkati dan melipatgandakan rezeki seseorang jika dia membayar zakat dan bersedekah kepada orang lain.

Berdasarkan pegangan ini, Dewan Industri Buku Melayu Malaysia (DIBMM) menjalankan kerja amal dengan menyumbangkan buku dan kewangan kepada pelajar sekolah dan pusat anak yatim di sekitar negeri Perak, baru-baru ini.

Antara pusat anak yatim dan sekolah berkenaan yang menerima sumbangan DIBMM ialah Budi Mulia Nurul Huda, Chemor, Kampung Tersusun, Tanah Hitam, Chemor, Perak dan Sekolah Kebangsaan Tasek Dermawan, Ipoh.

DIBMM berpendapat pusat anak yatim perlu menyediakan kelengkapan sumber pembacaan kepada penghuninya supaya mereka cemerlang dalam pelajaran sekali gus menjamin masa depan yang lebih gemilang.

Pengerusi DIBMM, Datuk Abdul Ghani Ngah berkata kebanyakan pengendali pusat berkenaan hanya mampu menyediakan tempat tinggal dan makanan kepada anak yatim terbabit hasil sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, pengendali pusat terbabit tidak mampu menyediakan kemudahan bilik bacaan yang lengkap.

"Sehubungan itu saya mengambil inisiatif untuk membekalkan beberapa buku bacaan kepada pusat anak yatim yang memerlukan di negeri ini," katanya selepas menyampaikan sumbangan buku kepada anak yatim dan miskin, Budi Mulia Nurul Huda (BMNH) di Kampung Tersusun, Tanah Hitam, Chemor, Perak, baru-baru ini.

Abdul Ghani berkata, anak yatim perlu dibekalkan ilmu pengetahuan yang cukup supaya mereka boleh cemerlang dalam peperiksaan awam yang diduduki.

Menurutnya, kehidupan mereka akan berubah apabila mempunyai kelulusan akademik dan kemahiran yang lebih baik di samping memperolehi jawatan tinggi dalam sektor awam serta swasta pada suatu masa nanti.

Beliau berkata, pada zaman sekarang ilmu pengetahuan lebih bermakna daripada mempunyai harta warisan yang tidak produktif.

Sehubungan itu katanya, tokoh korporat perlu tampil membantu pusat anak yatim menubuhkan bilik bacaan yang lebih sempurna.

Sementara itu Pengurus BMNH, Shaharudin Razali, 50, berkata pusat anak yatim dan miskin yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu mempunyai penghuni seramai 45 orang iaitu 28 lelaki dan 17 (perempuan).

Menurutnya, kebanyakan mereka yang berumur antara enam hingga 19 tahun tinggal di situ kerana tidak mempunyai ibu bapa dan masalah keluarga miskin.

Menurutnya, setiap pagi mereka dihantar ke sekolah menengah dan rendah berhampiran terutamanya di Sekolah Menengah Datuk Mohd Taib, Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Mahmud, SK Syed Idrus, Ulu Kuang, Chemor.

Seorang pelajar dihantar ke Sekolah Menengah Anderson, Ipoh melalui projek sekolah rancangan khas.

Katanya, selain ke sekolah mereka turut didedahkan dengan pendidikan agama dan kelas tuisyen.

"Setiap Sabtu seramai 36 penghuni dihantar ke pusat Smart Reader di Jalan Kuala Kangsar Ipoh untuk mendalami pengetahuan termasuk Bahasa Inggeris," katanya.

Beliau berkata, BMNH sentiasa mengalu-alukan kehadiran penyumbang ke pusat anak yatim di situ.

Pada majlis berasingan, Abdul Ghani turut menyumbangkan buku bernilai RM1,000 dan wang tunai RM1,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tasek Dermawan (SKTD), Ipoh, baru-baru ini.

Katanya, DIBMM sedia mengadakan kemudahan pameran buku terkini kepada sekolah yang berminat dan menawarkan harga diskaun yang berpatutan.

Katanya, usaha kira-kira 50 syarikat penerbit buku mengadakan pameran dan jualan buku di Kuala Lumpur baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan dan usaha itu akan diteruskan.

Sementara itu, Guru Besar SKTD, Kamariah Mohamad berkata, pencapaian cemerlang sekolah itu dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) amat memberangsangkan hasil kerjasama guru, ibu bapa dan ahli masyarakat sekitarnya.

Katanya, ahli masyarakat sering menghulurkan bantuan ke sekolah itu melalui PIBG untuk membiayai program kecemerlangan murid.

Sementara itu Yang Dipertua PIBG SKTD, Ahmad Sutan berkata, selain menerima sumbangan kewangan pihak tertentu turut menyumbang buku di pusat sumber sekolah.

"Saya berharap kecemerlangan sekolah ini akan berterusan supaya muridnya mempunyai motivasi yang tinggi ketika berada di dalam kelas," katanya.

No comments: