Oleh ZUARIDA MOHYIN
LUMRAH apabila menyentuh hal-hal yang bersangkutan fardu kifayah seperti pengurusan jenazah, adab ketika menziarahi orang sakit, menghafaz al-Quran, waima soal salam sekalipun, ramai daripada kita tidak mengambil pusing mengenainya atau mengkelaskan ia sebagai perkara remeh.
Sedangkan hakikatnya, fardu kifayah adalah perkara yang wajib dilakukan oleh sesebuah komuniti umat Islam yang baligh dan berakal.
Meskipun ia tidak perlu dilakukan ke atas setiap orang Islam kerana kewajipannya itu telah dilakukan segolongan yang lain, namun perlu ada usaha daripada individu Islam itu untuk sekurang-kurangnya mempelajari serta menguasai cabang ilmu ini.
Yang pastinya, dengan penguasaan pelbagai ilmu berkaitan fardu kifayah, masyarakat akan mempunyai kekuatan. Sesungguhnya ilmu ini adalah asas penting ke arah kemantapan sesebuah masyarakat, sekali gus mampu berdikari serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka sendiri.
Terpanggil dengan keperluan memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai kepentingan penguasaan ilmu fardu kifayah dalam kehidupan seharian serta menjelaskan kekaburan yang wujud natijah daripada kurang keprihatinan masyarakat Islam itu sendiri, Astro Oasis mengambil inisiatif menyiarkan program yang diberi nama Bicara Kifayah.
Program yang berkonsep dokudrama (gabungan dokumentari dan drama) telah mula bersiaran pada 26 Disember lalu menerusi saluran 106 yang dikemudikan oleh ikon Oasis terkenal, Datuk Abu Hassan Din al-hafiz.
"Idea awalnya datang daripada Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar lebih setahun yang lalu. Sungguhpun ruang perbincangan mengenai ilmu fardu kifayah amat terbatas.
"Namun memandangkan keperluan dan desakan daripada beliau, maka saya cuba menyiapkan skrip-skrip dan alhamdulillah diterima dan terus melalui proses penggambaran," kata beliau.
Menurut Abu Hassan, dengan menggunakan kaedah dokudrama ini, mesej yang cuba dihantar lebih sampai kepada sasarannya serta berkesan kepada para penonton setia Astro Oasis.
Malah, selepas beberapa siri penayangan program Bicara Kifayah tersiar, beliau diberitahu bahawa rating dan respons yang diterima begitu memberangsangkan serta tidak ketinggalan pujian. Ini membuktikan pendekatan yang cuba diketengahkan Astro Oasis berjaya dan diterima penonton, khususnya yang beragama Islam.
"Di samping itu, usaha Astro Oasis yang semakin serasi dengan imej berdakwah menerusi media elektronik tidak sia-sia. Apa lagi dengan situasi orang semakin sibuk dengan urusan kerja sehingga tiada masa untuk menghadiri mana-mana majlis ilmu.
"Apabila program ini sentiasa diulang tayang, jadi memberi peluang mereka menonton mengikut kelapangan sendiri," terang Abu Hassan, mantan Pegawai Agama Istana Negara yang juga pernah mengendalikan program Bicara Haji dan salah seorang panel bagi program Jemputan Umrah.
Akui Abu Hassan lagi, beliau tidak menghadapi masalah menyiapkan skrip kerana memang meminati bidang penulisan skrip drama. Ditambah dengan pengalaman menulis sejak 1970-an sama ada untuk media cetak mahupun media elektronik.
Malah boleh dikatakan, kekuatan dokudrama ini juga adalah kerana faktor olahan jalan ceritanya yang banyak berlandaskan kepada pengalaman luas beliau sebagai tokoh agama yang disegani. "Sesuatu tajuk yang dipilih juga adalah merujuk kepada realiti yang berlaku di dalam kemelut kehidupan seharian umat Islam itu sendiri, bukan yang direka-reka," jelasnya.
Orang mengantuk disorongkan bantal
Oleh itu, apabila adanya pelawaan daripada pihak Astro Oasis, Abu Hassan menganggapnya seperti 'orang mengantuk disorongkan bantal'.
Selain sebagai satu peluang untuk beliau meluaskan serta mempelbagaikan bentuk dakwah ia juga 'keluar' daripada kebiasaan dalam penyampaian dakwah cara tradisi seperti berceramah.
Harapan Abu Hassan, semoga usaha ini dapat menarik perhatian generasi Muslim untuk memahami dan mudah menghayati kepentingan menguasai ilmu fardu kifayah ini. Ini kerana medium seperti televisyen diakui amat rapat dengan generasi muda masa sekarang.
Untuk program malam ini, Astro Oasis mengetengahkan episod bertajuk 'Menghafaz al-Quran' akan bersiaran pukul 7.30 malam di siaran saluran 106. Pada minggu-minggu akan datang penonton akan disajikan dengan tajuk seperti 'Bertani', 'Menjaga Keselamatan', 'Menjadi Nelayan' dan 'Kedoktoran'.
Bagi mereka yang tidak berpeluang menyaksikan program Bicara Kifayah pada hari Jumaat berkesempatan menonton siaran ulangannya PADA SABTU, PUKUL 2.30 PETANG DAN RABU 11.30 PAGI.
No comments:
Post a Comment