Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS
fikrahremaja@yahoo.com
HH bosannya belajar! Hari-hari tengok buku, tengok cikgu. Kan seronok kalau hari-hari cuti.."
"Eh kau ni Din, kenapa tiba-tiba mengeluh ni? Tak baik tau. Cikgu kita bersungguh-sungguh mengajar supaya kita jadi pandai".
"Aku bukan apa Mat, ni haa.. sekolah dah nak mula balik lepas cuti seminggu. Liat pula rasanya nak belajar balik. Aku seronok la balik kampung pergi mengail dan menjala, hehe..."
"Mmm sebab tu rupanya.. Ok lah aku fahamlah perasaan kau tu dapat menikmati kehidupan di kampung, memang menarik. Tapi tak baik la kau cakap yang kau bosan belajar semata-mata kerana cuti sekolah dah habis.."
Bersyukur lahir di Malaysia
"Iskk..Ok, ok la aku minta maaf. Aku tak sengaja la Mat.."
"Din..Aku ni bukan apa, tapi aku rasa kita patut bersyukur pada Allah sangat-sangat sebab lahir di Malaysia ni. Makan minum kita melimpah ruah, pendidikan percuma pun dapat sampai ke peringkat menengah tau."
"Mmm..."
"Cuba kau bandingkan dengan nasib rakyat negara lain, umpamanya di Bangladesh, masih ramai yang hidup susah. Mereka yang sebaya dengan kita ada yang tidak dapat menikmati persekolahan kerana tiada kemudahan dan kemampuan."
"Sesetengah yang bersekolah, ada yang berhenti separuh jalan kerana perlu bekerja demi membantu keluarga. Yang kau ni Din, macam nak berhenti belajar lak sebab begitu teruja nak mengail..ish..ish.."
"Ehehe.. Jangan la cakap camtu kuat-kuat Mat, malu aku.. Tapi aku tak bermaksud nak berhenti belajar tau.. Err sambung lagi cerita kau tu Mat.."
"Kita perlu sedar, Din. Pendidikanlah sebagai jalan untuk kita mengubah nasib kehidupan kita. Dengan pergi ke sekolah, kita dapat menimba ilmu. Kalau kita tidak berpelajaran, entah bagaimana kita hendak melalui cabaran kehidupan moden hari ini."
"Tapi pendidikan bukan sekadar demi memenuhi keperluan material sahaja, malah pemikiran dan akhlak yang baik akan dapat terbentuk melalui proses pendidikan yang kita lalui."
"Waah..Hebat sekali kata-kata kau tu, Mat. Macam seorang profesor, tapi memang betul apa yang kau cakapkan tu. Kita ke sekolah ni bukan setakat nak belajar untuk lulus cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja tapi juga untuk membentuk keperibadian diri yang unggul berteraskan nilai-nilai kehidupan yang sejahtera, kan".
"Yaa..Kau memang bijak, Din. Dapat tangkap maksud sebenar ayat aku tadi. Bagi aku kau pun sebenarnya tajam pemikiran, tapi kalau orang lain tengok mesti mereka anggap kau jenis yang suka bermain-main.. Hehe.."
"Hehe.. Nak buat macam mana, Mat. Ni memang karekter aku sejak kecil. Tapi sebenarnya dalam hal-hal pelajaran aku tetap ambil berat. Walaupun kehidupan kita sekarang ini sudah senang, soal pelajaran ni memang penting supaya masing-masing jadi orang berguna kelak".
"Betul tu. Lagipun kita golongan remaja inilah yang bakal mewarisi negara kita kelak. Kalau tidak ada ilmu, kemahiran dan keterampilan yang berkualiti, macam mana kita nak terajui negara kita."
"Kita ni juga makin lama makin dewasa. Lama kelamaan tamatlah pengajian kita di sekolah menengah. Lepas tu kita perlu ada hala tuju baru pula. Insya-Allah peluang untuk sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi itu ada asalkan ada asas kelayakan seperti SPM beserta keputusan yang baik."
Ilmu di persekolahan memandu cita-cita
"..Tapi kalau ada yang berminat untuk terus bekerja, berniaga, atau menjadi usahawan, asas ilmu yang kita pelajari sejak sekolah rendah hingga ke sekolah menengah itu tetap penting untuk kita untuk berjaya dalam bidang yang kita ceburi..."
"...Umpamanya jika minat berniaga, ilmu Matematik yang kita pelajari membolehkan kita membuat perhitungan jual beli, untung baki dalam perniagaan kita. Ilmu agama yang kita pelajari dalam Pendidikan Islam pula menjadi panduan kepada kita agar kita menjadi peniaga yang jujur, amanah, ikhlas, adil serta menunaikan zakat."
"Dan buat kau pula, Din. Kalau kau memang berminat memancing dan nak jadikannya sebagai kerjaya, kau boleh menjadi usahawan ternakan ikan air tawar kelak. Tapi kau tetap akan perlukan ilmu asas seperti Matematik serta BM dan BI untuk berinteraksi dengan pelanggan kau."
"Hmm... Ye tak ye juga. Nampaknya ilmu yang kita pelajari di sekolah amat penting untuk masa depan. Memang rugi kalau tak menguasainya semasa di sekolah, lebih-lebih lagi kalau ponteng sekolah. Berlibur ke sana sini bukannya mendatangkan hasil, malah mungkin kita boleh terjebak ke dalam kegiatan yang tidak bermoral".
"Apabila kita bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, hal ini juga dapat mendatangkan kegembiraan buat ibu bapa kita yang telah bersusah payah membesarkan kita selama ini. Bagi ibu bapa, kejayaan kita dalam pelajaran itu adalah sebenarnya untuk diri kita sendiri jua, dan mereka tumpang gembira atas kejayaan kita."
"Apatah lagi sekiranya kita turut berakhlak mulia serta menghormati ibu bapa. Hal ini insya-Allah mampu membawa keberkatan dalam hidup kita. Din, kau masih ada kedua-dua ibu bapa, aku harap kau hargailah pengorbanan mereka dengan berbakti kepada mereka. Aku ni hanya punyai nenek tercinta. Dengan dialah kasihku tercurah."
"Mat... bersabarlah ye... Insya-Allah aku sentiasa akan berbakti buat kedua-dua ibu bapaku. Buat kau, semoga amal perbuatan kau sentiasa dapat mendatangkan kegembiraan buat nenek. Perjuangan kita dalam pelajaran ini bukan sahaja untuk diri kita dan keluarga, tetapi juga demi umat Islam, bangsa dan negara."
"Aku turut sedih melihat nasib umat Islam masa kini. Ada yang ditindas dan diserang. Pada masa yang sama ada juga yang hanyut jauh daripada panduan hidup sebagai Muslim. Lumba haram, dadah, mabuk, pergaulan bebas.. Yang peliknya statistik menunjukkan ramai yang terlibat adalah di kalangan umat kita sendiri."
"Itulah yang aku turut risaukan. Entah bagaimana nasib umat kita nanti kalau kita tidak menyumbang untuk memperbaiki keadaan. Aku harap aku dapat melakukan sesuatu untuk membangunkan umat. Tapi buat masa ini, aku rasa perjuangan kita untuk cemerlang dalam pelajaran sekarang ini adalah cara terbaik yang mampu kita lakukan."
"Betul tu, Mat. Iyeaahh! Sekarang aku rasa lebih bersemangat untuk menghadapi pelajaran! Terima kasih buat kau ye atas kata-kata perangsang kau tadi."
"Sama-sama. Terima kasih atas pandangan kau juga. Semoga kita berjaya dalam pelajaran kelak. Mmm, tapi ada satu perkara yang kau kena lakukan, atas keterlanjuran keluhan bosan kau mula-mula tadi, nampaknya kau perlu meminta maaf kepada semua cikgu di sekolah kita hehe..."
"Erkk.. Begitu ke.. Adeihh!"
No comments:
Post a Comment