Satu persatu bait-bait puisi Masirah alunan syahdu dari M. Nasir menusuk hati. Seolah-olah terbayang dalam ruangan mata, bagaimana sekujur tubuh anak kecil itu terkulai layu tersandar di ribaan ayahnya.
Anak kecil yang tidak berdosa itu tidak lagi bernyawa, angkara peluru-peluru durjana yang meratah dan mengoyak rabak jasad kecilnya. Alangkah hiba dan sayunya mengenangkan saat-saat itu! Itulah kisah Abu Durrah dan anaknya, secebis peristiwa hitam menyayat hati di Netzarim, Gaza Palestin yang dirakam dalam bait-bait lagu Masirah.
Ia adalah salah satu peristiwa yang telah menyingkap wajah sebenar rejim Zionis dan membangkitkan rasa amarah dunia pada suatu ketika dahulu.
Tidak pernah kami menyangka, sebenarnya satu hari nanti kami akan ‘dibawa’ menyaksikan tanah Netzarim, tempat peristiwa kejam itu berlaku. Sedikitpun tidak pernah terlintas di fikiran, suatu hari kami akan menjadi saksi keperwiraan pahlawan-pahlawan Gaza mempertahan kedaulatan tanah air mereka. Juga tidak pernah terlintas kami akan menyaksikan sendiri kesan kekejaman rejim Zionis yang menghancurkan Gaza yang tidak ubah seperti Tsunami membadai Acheh.
Melalui catatan ini, mudah-mudahan kami dapat berkongsi pengalaman tentang detik-detik perjalanan, peristiwa-peristiwa, pemikiran dan bicara hati sepanjang perjalanan kami di bumi Gaza.
Perjalanan merbahaya
Kata seorang teman, “Berhati-hatilah, perjalanan kamu ke sana bukan perjalanan biasa”. Benar, perjalanan kali ini bukan perjalanan biasa kerana risikonya yang tinggi. Silap langkah, nyawa menjadi taruhan. Gaza adalah zon peperangan, bukan tempat pelancongan. Namun segalanya adalah terletak kepada kuasa Allah SWT.
Setibanya kami di Mesir, kebetulan gencatan senjata dicapai dan pintu sempadan pula dibuka. Maka, saat yang ditunggu-tunggu itulah yang menjadi permulaan kepada pengembaraan yang cukup istimewa ini.
Perjalanan ini sungguh istimewa, kerana dari sana kami dapat mengutip pelajaran-pelajaran berharga, yang sama sekali tidak akan dapat kami lupakan atau perolehi di mana-mana.
Tugas kami dari Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) dalam misi kali ini ialah untuk membawa bantuan, merintis jalan dan membawa beberapa kumpulan media Malaysia ke tengah-tengah zon peperangan di bandar Gaza. Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor turut terlibat dalam Misi Bantuan oleh pasukan Pemuda Masjid kali ini.
Sekembali kami dari sana, diharap agar kami dapat menyampaikan pula berita-berita eksklusif dari Gaza kepada rakyat Malaysia.
Seumur hidup, inilah satu-satunya tugas yang paling sukar dan mencabar pernah dilalui. Namun, demi menyaksikan sendiri penderitaan umat Islam di Gaza, segala keperitan ditelan dan segala kepayahan diredah juga.
Tidak dapat dibayangkan, betapa sedihnya hati di saat kaki melangkah keluar dari rumah di Pangsun, Hulu Langat Selangor meninggalkan keluarga tercinta, kerana perjalanan ini boleh menjadi pemergian yang terakhir. Saat perpisahan memang sedih.
Namun, perasaan sedih itu ditahan-tahan jua. Apatah lagi ketika bersalaman, perasaan yang memuncak di pendam sedalam-dalamnya, yang ada hanya lidah kelu membisu tanpa mampu berbicara. Yang ada hanya suara dan air mata yang dari lubuk hati.
Kala itu hanya kepada Tuhan Yang Maha Melindung, Mengasihi, Memberi Rezeki dan Maha Mengatur tempat kami berserah segala-galanya. Hanya Dia yang mampu membalas segala pengorbanan mereka yang ditinggalkan.
Gaza
Tiba-tiba sahaja nama Gaza meletus dan hampir setiap orang mula mengenali Gaza. Tidak terkecuali anak-anak kecil yang belum bersekolah dan orang-orang awam yang sebelum ini agak jarang memberi perhatian kepada isu politik di Asia Barat.
Apakah keistimewaannya sehingga ia menjadi rebutan Israel yang sanggup bermaharajalela sedemikian rupa? Inilah satu persoalan yang bermain di fikiran, yang tidak ditemui jawapannya melainkan setelah kami berada di bumi Gaza itu sendiri.
Dahulu Gaza adalah tempat persinggahan pedagang dan pengembara dari Afrika maupun negara pesisir Mediterranean yang hendak berdagang atau mengembara ke Tanah Arab. Kini Gaza mampu menjadi bandar pelancongan yang amat berpotensi jika dibiarkan terus membangun. Ia adalah sebahagian dari bumi Palestin yang terletak di sebelah barat.
Sebahagian besar tanahnya bersempadan dengan Israel, di sebelah kirinya bersempadan dengan laut Mediterranean yang terbentang luas. Pantainya panjang, airnya biru, pasirnya putih dan halus, ombaknya sesuai untuk peminat sukan luncur air.
Lautnya kaya dengan beraneka hidupan laut. Dari sempadan selatan hingga ke utara, panjangnya hanya lebih kurang 40 kilometer (km) lebih. Lebarnya pula hanya dalam lingkungan 15 hingga 20 km. Seluruh keluasan tanah Gaza hanya sekitar 300 km persegi sahaja.
Tanahnya subur, dihiasi tanam-tanaman bagaikan hamparan yang hijau. Di sana tiada sungai, sumber air diperolehi daripada bekalan air bawah tanah dan juga sumber air daripada negara berdekatan.
Masyarakat Gaza
Orangnya berkulit putih, mulus kemerahan. Wanita-wanitanya sopan dan lembut, dengan kain tudung yang membalut rambut dan pakaian labuh yang menyerlahkan kesopanan dan keperibadian si pemakainya.
Anak-anak kecilnya bermata bundar, berambut perang lurus dan comel-comel belaka. Tidak jemu menatap keletah dan betah mereka, yang leka bermain seolah-olah tiada apa yang berlaku. Di antara mereka, pasti ada yang telah kehilangan ibu atau bapa tempat menumpang kasih.
Sayang sekali, jika nasib permata-permata yang berharga ini juga berakhir di hujung senjata Yahudi dan terkubur di bawah puing-puing runtuhan bangunannya, sama seperti pemergian ayah bonda mereka.
Rata-rata penduduknya terdiri dalam lingkungan 40-50 tahun ke bawah. Dahulunya mereka adalah anak-anak kecil yang telah biasa dengan dentuman meriam kereta kebal, letupan bom yang memekak telinga dan bunyi muntahan peluru yang bagai bertih digoreng. Kini mereka menjadi rakyat yang rela terkorban demi mempertahankan maruah diri, kebebasan dan kedaulatan di tanah air sendiri.
Masa lapang mereka di isi dengan usaha mencari nafkah hidup dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Tiada waktu untuk dibuang. Tiada istilah mat rempit, minah bohsia, bohjan, dadah seperti yang berlaku kepada sebahagian anak-anak muda kita.
Alangkah baiknya jika generasi muda dapat melihat contoh jiwa yang tegar dan mulia ini, dan melihat betapa kesusahan hidup yang mereka sedang lalui.
Kehebatan panorama dan sketsa bumi Gaza, bertambah cemerlang apabila dikaitkan dengan cahaya keluhuran peribadi orang-orangnya. Di sana kami tidak merasa asing, malah seolah-olah berada di kalangan saudara sendiri, kerana sikap mereka yang lemah lembut, ramah, wajah-wajah manis yang dihiasi senyuman dan sikap semulajadi mereka yang amat memuliakan tetamu.
Keluhuran jiwa dan kesantunan budi pekerti mereka, menghimbau ingatan kami kepada penduduk di kota Madinah yang ramah dan mulia akhlaknya, persis seperti orang-orang Gaza. Tidak seperti sikap sesetengah orang Arab di negara tertentu, yang tutur katanya kasar dan rendah mutu adab kesopanannya.
Adakah persamaan ini disebabkan kerana kesan budi pekerti yang mengalir disebabkan pegangan mereka, dan pertalian mereka dengan nasab yang baik? Ada kemungkinan, namun hakikatnya Allah sahaja yang lebih mengetahui.
Di sebalik nama Gaza
Menurut maklumat yang kami perolehi daripada beberapa penduduk tempatan, Gaza lebih dikenali dengan gelaran Ghazzatul Haasyim (Gaza Tanah Tumpah Darah Hasyim).
Gaza dinisbahkan kepada Hasyim kerana dipercayai bahawa Hasyim bin Abdi Manaf, nenek Nabi Muhammad SAW pernah tinggal, menghembuskan nafas terakhir dan disemadikan di bumi Gaza.
Abdu Manaf, bapa Hasyim menjadi tempat pertemuan rantai keturunan Abdullah dan Aminah, ayahanda dan bonda Nabi Muhammad SAW.
Kami juga difahamkan bahawa Imam as-Syafie, pengasas Mazhab Syafie (150H/767M) mempunyai kaitan dengan nasab keturunan Nabi Muhammad dan beliau juga lahir di Gaza.
Oleh kerana itu, tidak mustahil di bumi Gaza hari ini terdapat ramai lagi mereka yang mempunyai pertalian nasab dengan Nabi SAW.
Aspek ini mungkin boleh menjadi bahan yang menarik kepada sesiapa yang berminat mengkajinya.
Selain itu, Gaza adalah tempat tercetus Intifadah Palestin yang menjadi inti perjuangan rakyat Palestin bagi membebaskan bumi mereka dari cengkaman penjajahan rejim Zionis. Isu ini akan dikupas lebih lanjut pada siri-siri yang akan datang, insya-Allah.
No comments:
Post a Comment