Memelihara keturunan adalah menjadi salah satu daripada matlamat Islam atau maqasid syariah di mana perkahwinan dijadikan sebagai wasilah utama memelihara keturunan agar terus kekal dan harmoni.
Perkahwinan bukan sekadar bertujuan memenuhi naluri nafsu manusiawi tetapi ia berperanan melahirkan keamanan dan kedamaian bagi manusia.
Dengan kedamaian jiwa, manusia akan terarah tindakannya kepada melakukan perkara-perkara kebaikan yang mendatangkan maslahah kepada kehidupan dan kesejahteraan alam.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (al-Rum: 21).
Di dalam ayat di atas terdapat tiga elemen utama yang menjadi asas pembentukan sebuah keluarga iaitu As-Sakinah, Al-Mawaddah dan Al-Tarahum.
As-Sakinah yang dimaksudkan di sini ialah ketenangan jiwa dan kedamaian perasaan. Perkahwinan bertujuan mengubat hati manusia yang asal kejadiannya ialah berperasaan keluh kesah dan resah gelisah.
Justeru ia memerlukan penawar dan sebaik-baik penawar ialah melalui perkahwinan dan rumah tangga yang akan mendamaikan jiwanya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. (al-Maarij: 19).
Nabi Adam as apabila diciptakan oleh Allah masih keluh kesah jiwanya meskipun tinggal di dalam syurga. Lantas Allah menciptakan Hawa sebagai penenang kepada jiwanya.
Al-Mawaddah pula ialah perasaan saling sayang menyayangi iaitu perasaan cinta yang lahir di atas dasar takwa dan keimanan kepada Allah. Bukannya dibina atas dasar kebendaan atau kecantikan fizikal semata-mata.
Apabila pasangan saling Menyayangi atas dasar iman maka lahirlah rasa tanggungjawab dan semangat pengorbanan bagi membahagiakan antara satu sama lain. Rumah tangga yang dibina tanpa Al-Mawaddah selalunya akan terdedah kepada kecurangan dan kebencian apabila harta atau kecantikan yang dikejar sudah semakin pudar.
Al-Tarahum bererti kasihan belas suami isteri yang lahir dari hati yang tulus ikhlas. Matlamatnya membimbing dan memandu antara satu sama lain ke arah ketundukan kepada Allah di dalam setiap urusan kehidupan.
Justeru rumah tangga akan sentiasa diwarnai dengan suasana kehidupan yang penuh dengan kesefahaman yang tinggi. Kesefahaman inilah yang menatijahkan kebahagiaan yang berkekalan. Kesefahaman akan menghalang sebarang anasir yang boleh merosakkan rumah tangga seperti cemburu, buruk sangka dan sebagainya.
Allah SWT berfirman yang maksudnya: Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. (ali-'Imran: 159).
Proses pembentukan rumah tangga bahagia bermula dari pemilihan pasangan. Bagi seorang lelaki, calon isteri hendaklah dipilih berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadisnya. Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda: Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: Hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah yang beragama, dilumuri tanahlah tanganmu. (riwayat Muttafaqun 'Alaih).
Hadis di atas pertamanya menjelaskan akan hakikat naluri manusia yang meletakkan harta, keturunan dan kecantikan sebagai pilihan utama memilih pasangan. Kedua, Islam memandu manusia agar memilih dengan betul dan menjadikan agama sebagai pilihan utama kerana usia sesebuah rumah tangga akan terjamin apabila perkahwinan diasaskan atas dasar ketaatan kepada Allah dan bukannya untuk keseronokan semata-mata.
Ketiga, hadis di atas membuat satu kiasan tentang kegembiraan yang dikecapi hasil pilihan berdasarkan agama seperti seorang kanak-kanak yang sangat gembira apabila diberi peluang bermain tanah.
Begitu jugalah bagi seorang wanita, pemilihan calon suami dan bakal bapa kepada anak-anaknya mestilah bermula dengan status iltizam dengan agama kemudian barulah aspek-aspek lain seperti yang telah dinyatakan di dalam hadis di atas tadi.
Di samping itu restu ibu bapa juga mesti menjadi keutamaan kerana pemilihan bakal pasangan berdasarkan kecenderungan hati orang muda masih belum cukup matang.
Justeru nasihat orang tua dan mereka yang berpengalaman hendaklah diberi perhatian.
Selepas berkahwin pula apa yang mesti diberikan perhatian ialah ialah pengisian kehidupan rumahtangga dengan nilai-nilai takwa dan iman iaitu melalui amal ibadah bersama seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, memahami al-Quran, menghadiri majlis ilmu dan sebagainya.
Aktiviti sedemikian bukan sahaja menjadi penggilap iman malah ia dapat melahirkan As-Sakinah, Al-Mawaddah dan Al-Mahabbah dalam rumah tangga. Kemudian ia hendaklah disusuli dengan kemahiran berkomunikasi antara pasangan suami isteri di dalam interaksi harian.
Kemahiran komunikasi rumah tangga adalah amat penting bagi mewujudkan suasana harmoni dan saling memahami situasi yang dihadapi oleh pasangan. Kesilapan di dalam berkomunikasi seringkali menjadi pencetus kepada salah faham dan pergaduhan.
Pendidikan anak-anak pula mestilah menjadi tanggungjawab bersama dengan kepada berdasarkan kepakaran dan kesesuaian antara suami isteri. Mendidik anak-anak adalah proses yang panjang. Ia memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi.
Kejayaan rumah tangga amat berkait rapat dengan kejayaan ibu bapa mencorakkan anak-anak mereka. Justeru ia perlulah dipandu oleh metod dan pendekatan bersumberkan al-Quran dan As-Sunnah.
Akhirnya semua usaha membahagiakan rumah tangga bergantung kepada ketentuan Allah SWT yang Maha Berkuasa. Oleh itu, hendaklah suami isteri atau ibu bapa sentiasa berdoa kepada-Nya supaya rumah tangga yang dibina berkekalan dan mendapat rahmat Allah manakala anak-anak yang dianugerahkan menjadi penyejuk mata dan bukan sebaliknya.
No comments:
Post a Comment