Like Blog Ini...

Saturday, August 1, 2009

Jariah sambil menikmati Air Mineral UAdC

Oleh ZUARIDA MOHYIN

KERANA nila setitik, rosak susu sebelanga. Begitulah peribahasa yang digunakan bagi menggambarkan natijah buruk yang disebabkan sikap segelintir mereka yang tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas.

Malah persepsi yang sama turut diterima segelintir pengendali atau pemegang amanah terutamanya yang menguruskan hal ehwal berkaitan anak yatim, waima apa yang dilakukan itu adalah secara telus dan beretika.

Pun begitu, pelancaran minuman mineral berjenama UAcD oleh Yayasan Al-Ijabah, baru-baru ini, bermatlamat menjana sumber ekonomi atau kewangan bagi Rumah Ijabah Anak Yatim Al-Hafiz, Subang Jaya, Selangor. Sekali gus menolak tohmahan tidak berasas pihak tertentu serta bebas daripada perbuatan meminta-minta.

Majlis Prapelancaran Air Mineral UAcD disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Basori Umar selepas ceramah Israk Mikraj di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Yayasan Restu, Shah Alam, Selangor.

Ceramah Israk Mikraj disampaikan oleh penceramah bebas, Muhammad Abdullah yang juga merupakan Pemegang Amanah rumah tersebut. Malah jenama air mineral yang dipilih itu diambil daripada nama blog beliau iaitu www.ustazamin.com.

"Selari dengan moto kami, Jariah Sambil Menikmati, maka dengan setiap pembelian air mineral berisi padu 500 mililiter (ml), penderma atau pembeli tidak sahaja menikmati kesegaran air mineral yang diusahakan bersama ALC Trade (M) Sdn. Bhd. tetapi pada masa sama menderma.

"Ia juga memberi peluang kepada orang ramai untuk melayari laman web saya yang banyak mengandungi nasihat serta perkongsian pengalaman sama ada di dalam negara mahupun ketika lawatan ke luar negara. Laman ini dikenali sebagai Universiti Kehidupan," kata Muhammad.

Beliau berharap produk terbaru ini menjadi penghubung atau perantaraan sesama insan yang pada hakikatnya, saling memerlukan bimbingan, panduan dan nasihat berterusan.

Sementara itu, Pengasas Yayasan Al-Ijabah, Mohd. Nor Azizi Awalludin berkata, Rumah Ijabah Anak Yatim Al-Hafiz yang ditubuhkan pada 2006 beroperasi di USJ 4, Subang Jaya, Selangor dan sehingga kini menyewa tiga unit rumah di Jalan USJ4/9D, Subang Jaya, Selangor.

"Rumah kami bermula dengan enam anak yatim dan anak orang susah terus membela nasib mereka dengan menjaga pembelajaran dan kebajikan mereka. Kini telah ada 70 orang anak yatim dan anak orang susah (lelaki dan perempuan) di bawah jagaan kami.

"Yayasan membelanjakan sejumlah RM25,000 sebulan bagi menampung segala keperluan bermuda dengan sewaan rumah, perbelanjaan makan minum, yuran sekolah (akademi dan agama), penggajian guru tahfiz dan warden, pembayaran bas sekolah, aktiviti hujung minggu dan sebagainya," katanya.

Mohd. Nor Azizi turut berbesar hati sekiranya ada pihak-pihak yang mahu menjadi wakil pengedar dari seluruh Malaysia. Bagi yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 019-306 4814 atau 03-5880 1886.

Mereka yang berhasrat menyalurkan sumbangan boleh mengisi borang derma serta nyatakan nama dan alamat lengkap untuk pengiriman resit rasmi (pengecualian cukai pendapatan) atau atas nama Yayasan Al-Ijabah menerusi akaun Bank Muamalat 14010 005674714.

No comments: