Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Memorandum itu adalah berkaitan program berkembar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunnah dengan kepujian secara kawal selia oleh USIM.
Melalui program ini, lepasan diploma Darul Quran boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunah dengan Kepujian yang dijalankan di Darul Quran.
Program ini juga mendapat kelulusan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
"Bagi memastikan kejayaan program ini, Jakim telah mengambil langkah-langkah perlu terutama menambahkan prasarana untuk kemudahan pengajian Darul Quran serta penambahan kakitangan," kata Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz semasa berucap pada majlis tersebut.
Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin, kerjasama itu membuka peluang lebih luas untuk calon Sekolah Menengah Agama memasuki USIM dan Darul Quran melalui kelayakan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan sebagainya.
Kerjasama ini bertujuan melahirkan graduan tahfiz yang berkemahiran selaras perkembangan semasa di samping mengeratkan kerjasama dan mempertingkatkan kefahaman terhadap prinsip-prinsip koloborasi yang telah ditetapkan.
Majlis menandatangani memorandum itu disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
No comments:
Post a Comment