Like Blog Ini...

Thursday, August 6, 2009

Fakulti Pertanian UM di Gemas

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 23 Julai - Universiti Malaya (UM) akan membuka Fakulti Pertanian dan Biotek di Gemas dua tahun lagi bagi menyelidik dan mencari formula terbaik memperkasakan sektor pertanian negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengumumkan perkara itu dalam ucapan perasmian Ekspo Agro dan Biotek peringkat negeri di sini berkata, fakulti berkenaan akan ditempatkan dalam satu kawasan yang dinamakan 'Lembah Biotek' di daerah itu.

Beliau yang ditemui pemberita kemudian menjelaskan, pembinaan fakulti berkenaan merupakan 'pembukaan semula' Fakulti Pertanian yang pernah diwujudkan oleh universiti tersebut untuk melahirkan graduan tani terbaik negara.

''Fakulti itu akan dibina dengan kos lebih RM200 juta selepas pihak universiti berkenaan mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Mohamad memberitahu, fakulti itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 202.34 hektar bersebelahan kawasan yang kini dijadikan 'Lembah Daging' - lokasi penternakan besar kambing dan lembu selain berhampiran Kem Sirajuddin di Gemas.

''UM akan membina seratus peratus kampus fakulti tersebut di kawasan yang telah disediakan oleh kerajaan negeri di mana jaminan permulaan pelajar apabila siap kelak adalah seramai 1,500 orang," tegas beliau.

Katanya, persetujuan yang dicapai oleh pihak universiti itu merupakan susulan daripada saranan kerajaan negeri agar agensi kerajaan yang diberikan tanah dapat segera membangunkan kawasan masing-masing.

''Pada awalnya UM telah membuat surat akuan hanya membangunkan sebuah Pusat Penyelidikan Biotek iaitu makmal mereka di Jelebu dengan kos pembinaan sebanyak RM25 juta," kata beliau.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, oleh kerana daerah Jelebu merupakan kawasan sensitif alam sekitar dan tidak boleh diteroka keterlaluan, maka satu pertemuan semula telah diadakan dengan UM baru-baru ini.

''Pihak universiti telah menerima cadangan kerajaan supaya membuka fakulti mereka di Gemas dan UM telah pun memperoleh peruntukan RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan tersebut," kata beliau.

Perkembangan itu nyata menggembirakan kerajaan negeri kerana 'Lembah Biotek' yang luas akan wujud di Gemas sekali gus mempercepatkan proses pembelajaran, kajian dan penyelidikan berkaitan teknologi pertanian.

Sementara itu, Mohamad juga mengumumkan, kerajaan negeri turut meluluskan tanah seluas 424.9 hektar kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membangunkan pusat penyelidikan pertanian berteknologi tinggi di Gemas.

''Selain itu, ketika ini kerajaan negeri telah membangunkan Pusat Nangka seluas 120 hektar di Gemas yang sudah pun memberikan hasil yang baik," ujar beliau.

Kata Mohamad, kerajaan negeri mahu menjadikan Negeri Sembilan bukan hanya dikenali sebagai 'Lembah Ilmu' di Enstek, Nilai tetapi juga sebagai 'Lembah Biotek' untuk membantu sektor pertanian berkembang dengan cemerlang selain 'Lembah Daging' yang telah beroperasi.

No comments: