ZUBAIDAH adalah cucu kepada al-Mansur, Khalifah Kerajaan Abbasiah. Al-Mansur sangat menyayangi Zubaidah dan menumpukan perhatian kepadanya semenjak kecil lagi.
Al-Mansur juga yang memilih namanya yang bermakna pancaran cahaya. Kecantikan Zubaidah menjadi pujaan dan tumpuan setiap orang pada zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiah.
Datuknya memberi pendidikan sempurna kepada Zubaidah agar boleh membaca, menulis, menghafal pelbagai hadis, mengetahui sejarah hidup beberapa tokoh Islam dan tentang syair.
Hasil didikan datuknya, Zubaidah membesar menjadi remaja yang memiliki kemahiran bersyair dan bersastera. Bilik tidurnya dihiasi dengan kain tirai yang mempunyai rangkap-rangkap syair yang indah.
Oleh sebab memiliki paras rupa yang menawan dan baik budi pekertinya, Zubaidah sering menjadi sebutan dan contoh masyarakat. Zubaidah bernikah dengan sepupunya, al-Rasyid ketika berusia 17 tahun.
Empat tahun selepas itu, Zubaidah dikurniakan seorang putera bernama Muhammad al-Amin. Pada tahun 170 Hijrah, al-Rasyid yang berusia 25 tahun telah dilantik menjadi Khalifah menggantikan abangnya, Musa untuk mengemudi pemerintahan Kerajaan Abbasiah.
Pada ketika itu Kerajaan Abbasiah membentang dari barat Benua Afrika sehingga ke sempadan India dan China yang memberikan harta benda yang melimpah ruah kepada pemerintahnya.
Zubaidah memilih dayang-dayang istana yang pandai menulis dan membaca syair. Seratus dari mereka terkenal sebagai penghafal al-Quran dan sering memperdengarkan bacaan mereka sehari semalam.
Setiap seorang mendapat giliran untuk membaca 1/10 daripada al-Quran. Kedengaran sayup-sayup bacaan al-Quran menghiasi istana Khalifah al-Rashid pada setiap masa menghiburkan hati Zubaidah.
"Kita bersyukur kepada Allah kerana mempunyai seorang permaisuri seperti Zubaidah yang dermawan.
"Permaisuri Zubaidah banyak membina sekolah, rumah sakit, telaga dan rumah untuk orang miskin dari harta kekayaannya yang melimpah ruah.
"Kita memohon supaya Allah memberi umur yang panjang dan memberkati segala kebajikan dan kebaikan hatinya," kata salah seorang pemimpin penduduk yang kagum dengan sikap Zubaidah yang banyak melakukan kerja-kerja sosial untuk penduduk Kota Baghdad.
"Kita harus menggelarnya permaisuri dermawan di atas segala kebajikan dan kebaikannya terhadap kita semua," cadang salah seorang penduduk yang mendengar kata-kata pemimpin itu.
Begitulah perbualan-perbualan mengenai Zubaidah yang sering kedengaran di merata tempat di kota Baghdad.
Semua penduduk kasih dan cinta pada kebaikan dan kebajikan yang disumbangkan oleh Zubaidah kepada penduduk di bawah pemerintahan suaminya.
Pada tahun 186 Hijrah, Khalifah al-Rashid mengajak Zubaidah menunaikan ibadah haji bersamanya. Rombongan khalifah ini diiringi oleh beberapa orang pembantu, dua orang puteranya, al-Amin dan al-Makmun serta seorang menteri bernama Jaafar bin Yahya.
Persiapan rapi dilakukan oleh para pengiring dan pengawal istana yang dipercayai oleh Khalifah al-Rashid. Mereka mempersiapkan berbagai-bagai keperluan yang berkaitan dengan keselamatan dan bekalan.
Beberapa kuda terbaik dikeluarkan untuk tunggangan Khalifah dan keluarganya dalam menempuh perjalanan yang jauh.
"Beta dan ahli keluarga tidak akan menunggang kuda-kuda ini. Gunakan untuk mengangkut bekalan dan barang-barang keperluan yang lain," keputusan Khalifah itu membuatkan pengawalnya tercengang seketika.
"Beta mahu menunaikan ibadat haji dengan berjalan kaki," sambung khalifah lagi sebelum memulakan perjalanan ke kota Mekah.
"Ini akan menjadi pengalaman paling berharga dalam hidup saya. Saya akan merasa kesukaran dan kepayahan yang dialami oleh rakyat biasa yang berjalan kaki ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji.
"Saya berharap pengalaman ini mendidik saya dari pelbagai aspek untuk mematangkan diri saya," Zubaidah menerima keputusan suaminya dengan hati terbuka dan ikhlas.
Zubaidah merasakan betapa hausnya mula mengusik kerongkongnya. Bibirnya sudah mula kering dan pedih akibat panahan matahari padang pasir.
Namun, beliau tidak mahu merungut dan menimbulkan keresahan pada suaminya. Dia hanya mendiamkan diri sehingga mereka tiba di tempat perhentian bagi membasahkan tekak dengan air dari telaga.
"Almarhum Khalifah al-Mahdi, datuk kamu membangun dan menggali beberapa telaga air di tempat-tempat perhentian ini bagi kegunaan rombongan haji pada setiap tahun. Di samping itu ada kolam-kolam tertutup dibina pada jarak tertentu.
"Pada setiap musim haji, ada petugas khas yang menjaga dan mengisi kolam-kolam ini supaya tidak kering bagi menolong mereka yang kehausan dan tak membawa bekalan air," jelas Zubaidah kepada dua orang puteranya yang meneguk air untuk membasahi tekak mereka yang kering.
Mereka berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan ke kota Mekah. Setelah beberapa lama mengharungi perjalanan yang hebat dan sukar, akhirnya rombongan Khalifah al-Rashid tiba di kota Mekah.
Perjalanan panjang yang meletihkan itu menyedarkan Zubaidah tentang satu perkara iaitu erti seteguk air. Perjalanan manusia dari pelbagai bangsa dan pelosok dunia akan menjadi perjalanan yang menyeksakan tanpa kehadiran air.
Air menjadi satu komoditi penting bagi keperluan Muslimin yang berkumpul di kota Mekah untuk melakukan pelbagai aktiviti ibadah haji.
Zubaidah akhirnya memberi cadangan untuk membuat satu projek penyaluran air ke kota Mekah. Sumber mata air yang dikenali sebagai Ain Zubaidah atau mata air Zubaidah yang terletak di tengah Kota Mekah .
Penyaluran air ini memberi manfaat kepada ribuan jemaah haji yang datang ke Kota Mekah sehingga mereka tidak perlu lagi memikul bekas air yang berat.
Di samping itu, Zubaidah membiayai penggerudian sebuah mata air lain yang terletak dua belas kilometer dari mata air Ain Zubaidah bagi menambah lagi bekalan air ke Kota Mekah untuk kegunaan jemaah haji yang semakin bertambah pada setiap tahun.
Walaupun projek penyaluran ini menelan perbelanjaan yang besar, namun Zubaidah telah menggunakan hartanya untuk membiayai projek itu.
Zubaidah meninggal dunia pada usia 69 tahun di kota Baghdad pada tahun 316 Hijrah. Kehilangan Zubaidah meninggalkan kesan yang mendalam di kalangan masyarakat kota Baghdad.
No comments:
Post a Comment